Oleh SHAH SHAMSHIRI
Lama sebelum sedutan filem ini dipromosi, ia sudah pun menimbulkan pelbagai cerita dalam kalangan penggiat filem serta pengamal media. Mana tidaknya, Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah merupakan sebuah filem berkonsep epik Melayu yang dijangka akan memecah panggung sebaik sahaja ia mula ditayangkan. Namun, kisah-kisah mengenai apa yang berlaku di sebalik tabir karya ini nampaknya sudah memberikannya liputan seranta yang tidak dijangka.
Sebabnya, filem ini diterbitkan oleh Kembara Studio, pihak sama yang telah menghasilkan kisah Mat Kilau yang telah mendapat sambutan luar biasa oleh penonton Malaysia sekitar setahun lalu. Walau bagaimanapun, apa yang membuatkan filem ini menjadi bahan bualan adalah sutradaranya. Berbeza dengan Mat Kilau yang diarahkan oleh pengarah tersohor Syamsul Yusof, filem Pendekar Awang menerima sentuhan beberapa pengarah yang berbeza. Karya yang menelan kos sehingga RM15 juta ini pada awalnya disutradarai saudara Areel Abu Bakar. Namun, atas sebab-sebab yang tidak diketahui, Areel digugurkan dan pihak penerbitan telah memilih penulis layarnya sendiri, iaitu Shaharudin Mat Dali serta Saiful Reza bin Abdul Shukor untuk mengambil alih tampuk arahan seterusnya. Inilah punca filem ini menelan kos yang besar kerana banyak adegan yang perlu diolah semula di bawah pimpinan pengarah baharu.
Oleh sebab ia diterbitkan oleh pihak yang sama, maka tidak hairanlah sekiranya filem ini bakal dibandingkan dengan karya Mat Kilau yang telah mencipta sejarah dalam kutipan panggung Malaysia. Dan seperti Mat Kilau, sedutan promosi filem Pendekar Awang juga memainkan peranan yang penting dalam menarik minat penonton. Sesiapa sahaja yang sudah menonton sedutan iklan filem ini pasti akan terpegun dan akan menjangkakan kehebatan yang mungkin sama, atau tidak jauh dari apa yang pernah dipaparkan dalam Mat Kilau.
Dan, pendapat itu mungkin ada benarnya. Selepas menonton filem ini, penulis dan beberapa rakan media lain tidak dapat menafikan bahawa ada banyak persamaan dengan filem Mat Kilau sebelum ini. Selain temanya yang berdasarkan tokoh sejarah yang benar-benar wujud iaitu Pendekar Awang, sahabat karib Mat Kilau, cara alur penceritaannya juga agak sama sehingga ada yang merasakan seperti ada satu templat yang ditiru. Penonton mungkin akan dapat meneka apa yang akan terjadi selepas babak-babak tertentu berkat jalan ceritanya yang mirip dengan filem sebelum ini. Biarpun kisah Pendekar Awang ini semestinya berbeza dengan Mat Kilau, namun cara ia disampaikan dalam filem ini memang banyak persamaan dengan filem tersebut.
Bertujuan menyemarakkan semangat penonton dalam mempertahankan identiti bangsa (juga seperti Mat Kilau), filem ini sememangnya ada potensi. Namun seperti Mat Kilau, ia juga mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki. Logika penonton akan dicabar lagi seperti filem Mat Kilau dahulu. Kadang-kadang, ada dialog yang kedengaran janggal jika dituturkan oleh rakyat Tanah Melayu pada zaman tersebut kerana ia berbunyi seperti petikan dialog dari perbualan masa kini. Selain itu, penggarapan tata busananya juga sudah dibahas dalam ruang media sosial.
Biarpun pakaian watak para srikandi telah dipastikan benar menurut kajian penulis filem ini, kita semua tahu cara pemakaian wanita Melayu umum yang lain pada zaman dahulu memang jelas berbeza dengan zaman sekarang. Penulis diberitahu, pihak penerbitan ini ingin cuba mengelak daripada pendedahan aurat bagi pelakon wanita (khasnya bagi yang Muslim), namun pada masa yang sama penulis ada melihat watak wanita bukan Melayu yang mengenakan sari tanpa berhijab dalam filem tersebut.
Ini bererti, pihak penerbitan boleh sahaja menggunakan pelakon bukan Islam untuk memainkan watak wanita Melayu yang rata-rata pada zaman tersebut tidak berhijab atau bertudung litup. Tetapi ini semua berbalik lagi kepada idea serta prinsip penerbit serta penulis filem.
Seterusnya, ia filem yang berpaksikan sejarah Melayu yang katanya telah dirujuk dengan teliti. Jadi jika ada adegan yang tidak logika atau tidak sesuai dengan fakta, pasti ia akan dipersoalkan. Namun, penerbit filem ini sempat mengatakan jika penonton boleh menerima perkara yang tidak masuk akal dalam filem adiwira Hollywood seperti Spiderman, kenapa adegan yang dianggap tak masuk akal dalam filem ini sukar diterima.
Pada penulis, kenyataan itu sahaja sudah menjawab pertanyaan tadi. Sebuah filem fiksyen yang bukan berpaksikan sejarah dan fakta semestinya boleh digarap sesuka hati kerana ia adalah fiksyen dan fantasi.
Tanggungjawab untuk menerbitkan filem beralaskan fakta sejarah sememangnya tidak mudah. Jadi jika belum siap untuk menggalas pertanyaan media yang bertubi-tubi, mungkin pihak penerbit harus lebih berhati-hati. Sungguhpun begitu, filem ini dijayakan oleh barisan pelakon yang sememangnya popular dan berbakat. Bagi penulis, itu merupakan senjata utama filem ini dan ia jelas menyerlah lewat kehadiran pelakon seperti Nam Ron, Wan Hanafi Su, Fattah Amin, dan semestinya bekas pemenang anugerah pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia, Nur Fazura.
Fazura yang memainkan watak Sayang, isteri kepada Pendekar Awang berjaya menghidupkan karakternya dengan begitu baik. Apatah lagi sewaktu babak pertempuran menggunakan busur dan panah yang pasti bakal disukai ramai.
Turut memberikan lakonan yang mantap adalah pelakon muda yang semakin meningkat naik, Nadhir Nasar, yang melakonkan watak Tahir, adik kepada Pendekar Awang. Nadhir berjaya memberi penghayatan yang meyakinkan biarpun ini merupakan filem sulungnya.
Sungguhpun begitu, penulis berpendapat walaupun Fattah Amin memberikan mutu lakonan yang baik, watak Fattah sebagai Awang lebih berkesan dalam Mat Kilau dibanding dalam karya ini. Namun, kami yakin filem ini akan mendapat sambutan daripada pencinta filem Melayu. Mungkin tidak sebesar Mat Kilau tapi pasti akan mendapat kutipan yang banyak.
Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sudah mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 11 Januari 2024.
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: