Sebuah teater kompilasi tulisan dan arahan Afiza Asram, 'Kerana Percayakan Siti' merupakan gabungan tiga buah cerita iaitu 'Perempuan Perang', 'Terang Malam' dan 'Sa-Balik Baju'.
Storyteller Production, sebuah rumah produksi tempatan yang aktif menghasilkan kandungan kreatif untuk platform digital dan TV akan menerbitkan sebuah pementasan teater kompilasi berjudul Kerana Percayakan Siti pada 4 hingga 6 Oktober 2024 bertempat di Blackbox Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya.
Barisan pelakon yang akan membintangi pementasan ini adalah Nadia Brian, D’Boy Hamdan, Farah Ahmad, Sharifah Sofia, Firdaus Karim, Swarna Naidu dan Anwar Rusdini. Kesemua mereka adalah bakat-bakat yang awalnya lahir di pentas teater dan berjaya memecah masuk serta mencipta nama di dalam industri seni dan hiburan tempatan. Pementasan ini seolah-olah peluang untuk mereka ‘pulang ke kampung’ dan kembali mengisi pentas yang mula-mula menaikkan nama mereka.
Teater kompilasi ini ditulis dan diarahkan oleh pengarah muda, Afiza Asram yang telah memahat namanya sebagai seorang pengarah pertama kalinya melalui filem Sa-Balik Baju yang telah menduduki carta nombor 1 tontonan tempatan buat 4 minggu berturut-turut di saluran Netflix. Dia kemudian menulis dan mengarah beberapa lagi drama seperti Kau vs Aku dan paling terbaru untuk saluran Astro Gempak, Ke Kodiang With Love. Afiza merupakan lepasan Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) dalam bidang teater (majoring acting).
Kerana Percayakan Siti merupakan gabungan tiga buah cerita iaitu Perempuan Perang, Terang Malam dan Sa-Balik Baju.
Perempuan Perang dipentaskan pertama kali pada tahun 2016 dan pernah mewakili Malaysia dalam Festival Teater Tiga Negara di Pahang pada tahun 2017. Ia mengisahkan tentang seorang wanita bernama Laila yang menghadapi konflik dan krisis setelah suaminya, Ibrahim ditangkap kerana kesalahan sodomi. Pada pementasan kali ini, Sharifah Sofia diberi kepercayaan untuk membawa watak Laila dan digandingkan dengan D’Boy Hamdan sebagai Ibrahim serta Firdaus Karim yang memegang watak Mukhtar. Cerita Terang Malam pula akan dilakonkan oleh Nadia Brian dan Anwar Rusdini manakala Sa-Balik Baju kali ini akan dibawakan oleh Farah Ahmad dan Swarna Naidu.
Storyteller Production melalui Penerbit Eksekutifnya, Azuwan Ahmad sangat berbangga dengan barisan pelakon yang sudi menyertai pementasan kali ini dan merasakan bahawa ia merupakan rezeki yang tidak disangka dapat bekerjasama dengan pelakon yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakonan. Dia juga berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia kerana menyokong pementasan ini melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024.
Pemilihan pelakon-pelakon ini adalah sesuai berdasarkan watak dalam setiap cerita dan Storyteller Production percaya mereka mampu untuk menggalas tanggungjawab ini.
Tiket-tiket untuk pementasan Kerana Percayakan Siti masih boleh diperolehi melalui laman web www.cloudjoi.com pada harga serendah RM 60 sehingga RM 100. Maklumat terkini boleh didapati di laman Instagram storyteller_my.
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: