Nuansa Zapin 2.0 membangkit sejarah permainan Johor

Setelah Nuansa Zapin dipertontonkan secara atas talian pada 2022, persembahan ini kembali lagi secara fizikal dan diberí judul Nuansa Zapin 2.0. Tiket menonton permainan selama tiga malam itu telah habis dijual. BASKL sempat menjenguk acara anjuran Nyala Dance Theatre ini pada malam terakhir.

OLEH AZUWAN AHMAD

Pada hujung minggu lepas, tepatnya pada 16,17 dan 18 Jun 2023 bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) telah diadakan acara permainan Nuansa Zapin 2.0 yang dikelolakan oleh Nyala Dance Theatre. Acara yang laku keras sehingga tiket habis dijual selama 3 malam itu merupakan versi yang kedua setelah Nyala Dance Theatre mengadakannya pada tahun lepas di premis yang sama.

Lebih kurang 40 orang penari lelaki dan perempuan memeriahkan acara persembahan ini. Permainan zapin ini dikoreografikan dan diarah secara artistik oleh Khairulazhar Mokhtar atau mesra disapa Kerol. Kerol merupakan anak jati Johor dan sekarang sedang melanjutkan pengajian dalam Sarjana Seni Tari di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dia pernah berkhidmat sebagai pensyarah tari dan lakonan di Fakulti Filem Teater dan Animasi Uitm  Puncak Perdana selama 10 tahun. Selain menjadi penggerak utama kepada kumpulan tarian Nyala Dance Theatre, dia juga telah terlibat di dalam lebih kurang 18 produksi koreografi.

Permainan Zapin Johor dikaitkan dengan kedatangan Arab Hadrami ke Negeri Johor statu ketika dahulu.

Apa yang menarik mengenai Nuansa Zapin 2.0 kali ini adalah semua tarian Zapin yang dipersembahkan berasal daripada daerah-daerah negeri Johor. Permainan pada ketiga-tiga malam ini diiringi oleh kumpulan muzik secara langsung yang menyanyikan lagu-lagu tradisional Melayu yang pasti membangkitkan semangat penari dan penonton permainan lama Melayu ini. Pada malam terakhir persembahan, wakil rakyat dari Muar iaitu Syed Sadiq Syed Abdul Rahman juga turut memeriahkan acara. 

Kesemua persembahan pada malam itu sungguh menarik dan mengujakan. Antara permainan Zapin yang disaji kepada penonton pada malam itu adalah Selat Panjang, Tanjung Labuh, Tenggelu dan Zapin Pulau. Persembahan ini dibuka oleh Kerol sendiri melalui qasidah yang memuji Baginda Nabi Muhammad S.A.W dan di antara setiap 3 persembahan Zapin, penari-penari telah berhenti seketika untuk memberi ruang kepada Prof Anis, pakar subjek Zapin di Malaysia untuk memberi penerangan  mengenai sejarah dan asal-usul setiap persembahan tersebut. 

Kerol mengalunkan qasidah Nabi dengan begitu lunak dan merdu sekali.

Penulis tertarik dengan penjelasan daripada Prof Anis mengenai sebab mengapa Zapin mudah diterima dan sangat dekat dengan orang Melayu. Menurutnya, ketika orang-orang Arab Hadrami daripada Yaman datang ke Johor untuk menyebarkan dakwah Islam, mereka membawa sekali permainan ‘Zafin’ ini yang dari segi bahasa bererti pergerakan kaki cepat mengikut rentak pukulan. Jelasnya lagi rentak Zafin (yang kemudian dipanggil Zapin oleh orang Melayu) ini adalah aspirasi kepada zikir secara batin di dalam diri yang diterjemahkan dalam bentuk pergerakan. Hal ini sangat-sangat berkaitan dengan gerakan tarekat Islam yang dibawa oleh Arab Hadrami. Malah negara Yaman sendiri memang terkenal sebagai sebuah negara dan daerah yang mempunyai susur-galur keturunan Baginda Rasul yang terakhir. Maka, masyarakat Melayu mudah tertarik dengan Zapin kerana dekatnya kita dengan agama Islam, kemudian gerakan-gerakan ini diperhaluskan lagi menurut cita rasa Melayu. 

Penonton kenyang dengan persembahan Zapin yang sangat cantik dan mempunyai makna yang mendalam.

Setiap persembahan permainan Zapin Nuansa 2.0 ini dilakukan dengan cermat supaya gerakan asal daripada daerah masing-masing dapat dibawa dengan penuh kecantikan. Melalui persembahan ini juga, kita dapat mengetahui bahawa bangsa Melayu sangat dekat dengan alam sekitarnya. Sebagai contoh, Zapin Pulau mempunyai gerakan kaki ke samping di mana ia mengambil inspirasi daripada gerakan ketam yang berjalan menyeget. Zapin Tanjung Labuh pula hanya dimainkan oleh kaum perempuan hasil emansipasi wanita dalam menyikapi Zapin yang dahulunya hanya dimainkan oleh kaum lelaki. 

Secara keseluruhan Nuansa Zapin 2.0 sangat menghiburkan. BASKL memberi dukungan sepenuhnya kepada kumpulan seperti Nyala Dance Theatre untuk terus membuat persembahan permainan seperti ini yang mempunyai nilai sejarah dan makna yang mendalam. Hal yang paling penting adalah supaya orang-orang yang hidup 100 tahun kemudian tahu dan kenal apa itu permainan Zapin. 

Segala maklumat yang anda ingin ketahui mengenai Nyala Dance Theatre Boleh didapati di laman sosial facebook mereka NyalaDance dan juga laman Instagram mereka, nyaladancetheatre . Anda juga boleh menghubungi Kerol Mokhtar di talian 018 7877974.

Ikuti kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites