Maya Karin Teguh Bermaya

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Jelitawan, karyawan dan sekali imbas sosok tubuhnya ada juga bak seorang bangsawan. Kesemua ungkapan ini mampu memberi cebisan gambaran bagi seorang wanita bernama Maya Karin tatkala pertama kali menatap wajahnya. Tengah hari itu, dirinya tiba berpakaian longgar bewarna putih kehijauan, sesuai dengan dirinya yang seringkali menjadi wajah buat pelbagai kempen dan promosi kelestarian alam semulajadi yang pernah kita lihat sebelum ini. Memasuki ruang makan di Whitestudio, Hulu Langat dengan penuh kelembutan dan alunan gemalai rambut coklat gelapnya yang ikal mayang, kehadirannya menyinari suasana. 

Maya Karin bukanlah seperti seniwati lain yang pernah ditemui sebelum ini, sifatnya yang begitu rendah diri dan penuh kesopanan terpancar daripada perilaku dan cara perbicaraannya tanpa diberitahu. Diri terkesima dan terkedu melihat keindahan ciptaan Tuhan ini, namun perjuangan mesti diteruskan dan wawancara perlu dilakukan. Pada suatu hari isnin yang tidak begitu lama dahulu, pasukan BASKL telah diberi penghormatan untuk mengupas cebisan kisah hidup Maya Karin, sebuah nama yang telah bertapak di dalam dunia seni tanah air lebih dua dekad lamanya.

Namun sebelum memulakan perbicaraan kami mengenai kerjaya seninya yang sudahpun menjadi pengetahuan umum, kami terpanggil untuk mendalami sebuah lagi perkara yang amat dekat dengan dirinya iaitu alam semulajadi. Kongsi Maya, falsafah hidup mengenai alam semulajadi ini merupakan pegangannya sejak kecil lagi. “Saya dibesarkan untuk menjadi prihatin tentang alam semulajadi dan Malaysia merupakan antara 11 negara paling kaya dengan khazanah alam. Sayangnya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak sedar akan perkara itu,” ujar Maya yang jelas agak kecewa dengan sikap sesetengah rakyat. 

“Rakyat Malaysia memang selalu ke London, wow hebatnya London!” kata Maya secara sinis. Maya berkongsi, beliau selalu bertanya kepada kenalannya di sana, jikalau kita menaiki keretapi dari kota London ke Manchester, cuba kita kira berapa jumlah haiwan yang boleh kita lihat sepanjang perjalanan itu? Mungkin kita akan terlihat seekor arnab, seekor kambing biri-biri dan itu sahajalah yang boleh kita lihat. 

“Ada suatu ketika itu, saya berada di London dan jiran saya terlihat beberapa ekor musang. Wah! Ada musang! Nampak tak musang tu tadi?” kongsi seniwati ini yang turut melakonkan situasi itu kepada kami. “Saya pun kata, kami di Malaysia ada harimau, ada gajah dan anda semua teruja dengan musang? Alahai! Kat Malaysia kalau kita nak ke Pantai Timur, akan ada sahaja gajah yang bersantai di tepi jalan.” Betapa tinggi cinta dan bangganya Maya akan negara Malaysia ini. 

Itu soal haiwan, bicara soal kehijauan hutan pula Maya menceritakan kepada kami tentang aktivitinya sewaktu kecil. Maya seringkali melakukan aktiviti-aktiviti luaran seperti bermandi di sungai, mengutip buah dan sebagainya. “Setiap hujung minggu, ayah saya akan berusaha untuk membawa kami adik-beradik sama ada untuk bermandi di pantai, membuat unggun api ataupun mandi sungai,” kongsi Maya. Maya turut mengimbau kenangan lama sewaktu ayahnya mengajar mereka sekeluarga untuk berenang. 

Orang dahulu tidak seperti sekarang katanya, “ayah saya akan campak kami ke dalam sungai dan kami pun akan terkapai-kapai untuk berenang. Ayah kami kata kalau kami benar-benar hampir lemas barulah dia akan datang selamatkan kami adik beradik tetapi selagi tidak terjadi, awak bertarunglah sendiri.”Begitulah kehidupan Maya Karin sewaktu kecil, seorang yang cukup cakna dan dekat dengan keindahan alam semulajadi. Sewaktu zaman persekolahan pula, Maya menghabiskan masanya bersekolah di Sumatera dan juga di Bandung. Di situlah jiwa seni Maya lebih berkembang.

“Seni telah diterapkan di dalam hidup saya sejak kecil namun bukanlah semata-mata untuk berlakon atau untuk menjadi terkenal,” jelas Maya. Maya juga turut berkongsi bahawa seluruh keluarganya mempunyai latar belakang muzik khususnya muzik klasik dan hampir kesemua ahli keluarganya mampu bermain salah satu alat muzik klasik sama ada piano, violin, oboe dan pelbagai jenis peralatan muzik klasik yang lain. Ramai yang mungkin mengenali seniwati ini dari layar panggung sahaja tetapi Maya sendiri sebenarnya mempunyai kemahiran bermain piano dan telah memulakan latihan piano seawal usia 5 tahun. 

Bermula sebagai seorang peragawati di Indonesia, Maya mula mendapat tawaran paling awalnya semasa umurnya 14 tahun. Kemudian pada umur 17 tahun, beliau pulang semula ke Malaysia. “Saya mula bekerja di kedai buku MPH dan juga di sebuah kedai keju pada usia 17 tahun. Saya bekerja 7 hari seminggu dan setiap hari saya jalan ke tempat kerja,” jelas Maya. Di situlah seorang wakil syarikat peragawati telah datang untuk bertanya jika beliau ingin menjadi seorang peragawati tanpa mengetahui bahawa Maya memang telah membina namanya sebagai seorang peragawati di Indonesia.

Di situlah bermula kerjayanya di dalam dunia seni di Malaysia. Daripada menjadi seorang peragawati, kemudian mendapat tawaran mengacara dan berlakon, sehinggalah menjadi pemenang untuk pelbagai anugerah di dalam dan di luar negara, semuanya pernah dilalui oleh Maya. Sehingga kini Maya masih aktif berlakon di layar perak. Wataknya sebagai Izzah di dalam filem Ombak Rindu merupakan antara watak yang paling sinonim dengan dirinya. Namun Maya telah melakonkan pelbagai karakter.

“Projek terbaharu saya yang bakal muncul berjudul Telaga Suriram, ia akan ditayangkan pada tahun 2024 ini. Banyak penggunaan tenaga fizikal untuk filem itu, saya terpaksa berguling di atas lalang pada jam 5.30 pagi. Sebaik sahaja selesai sekitar pukul 7.30 pagi, badan saya dipenuhi luka dan calar.” Dan ini hanyalah satu contoh watak yang memeras tenaga fizikal Maya saat bekerja, dirinya memang terkenal melakukan aksi lagak ngeri sendiri sejak bertahun lamanya.

Primadona Filem Melayu mahupun tidak, itu hanya sebuah gelaran tidak rasmi yang diberikan oleh para peminat di luar sana. Bukanlah sebuah piala yang boleh ditayang atau sebuah gelaran rasmi yang berpaut pada nama seseorang dan Maya Karin terbukti tidak memerlukan semua itu, Maya Karin dengan sendirinya kekal, Teguh Bermaya.

DI SEBALIK TABIR BINTANG BASKL

Bintang BASKL: Maya Karin

Editor BASKL & Penyelaras: Shah Shamshiri

Pembantu Penyelaras : Azuwan Ahmad

Teks Bahasa Malaysia: Shafique Danial

Penata Gaya: Shah Shamshiri & Chandra Shegar

Dandanan & Solekan : Chandra Shegar

Busana : Wan and Mary

Jurugambar & Arahan Seni: Bustamam Mokhtar Official, White Studio

Lokasi: White Studio, Sungai Lui, Hulu Langat

Rekaletak Sampul Digital: Daniel Halim

Ikuti kisah Bintang BASKL yang lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites