‘Malam Takdir’ bawa tema ketentuan, politik dan keluarga ke pentas opera

Produksi yang dibawa oleh Five Arts Centre ini diinspirasikan oleh karya epik Mahabharata. BASKL berkesempatan untuk bersembang dengan dua orang kuat persembahan ini, Chee Sek Thim dan Johan Othman dalam mengenal gubahan disebaliknya.

Oleh NABILA AZLAN

Penulis duduk sebentar bersama pengarah, Chee Sek Thim, serta penulis, komposer dan pengarah muzik, Johan Othman dalam mempelajari susun atur opera Malam Takdir. Judul ini adalah keluaran kontemporari Johan yang sebelum ini disusun sebagai sebuah pementasan di Pulau Pinang pada tahun 2019.

Buat pengetahuan penonton, Chee dan Johan sebenarnya pernah bekerja bersama-sama dalam penghasilan opera pertama Johan yang dinamakan The Conference of the Birds (2008), selain bergabung tenaga dalam produksi kecil lain. Chee adalah seorang penggiat seni teater merangkap ahli Five Arts Centre yang berpangkalan di Pulau Pinang, manakala Johan pula seorang pensyarah muzik di Universiti Sains Malaysia.

Menurut Chee, Johan memilih untuk mereka opera baru ilham Mahabharata kerana berbanding epik Ramayana, ia jarang-jarang dipersembahkan di pentas umum.

Malam Takdir yang diilhamkan daripada teks klasik ini mengisahkan seorang Raja Buta yang bakal melalui pengakhiran yang dahsyat. Mengikut tilikan Pengiring, seratus orang puteranya akan mati di medan perang selepas dibunuh oleh lima orang anak saudaranya, lalu mengembalikan takhta raja kepada susur galur adiknya. Dalam opera ini, Raja Buta menggunakan khidmat Pengiring untuk memilih jalan terbaik buat keturunannya walaupun dibelenggu dengan kepahitan yang sudah tertulis.

Mengupas elemen yang wujud di dalam opera ini selain tema-tema ‘berat’ yang dipersembahkan, Chee dan Johan turut mengulas sinergi belakang pentas serta harapan mereka terhadap produksi kali ini.

Gubahan asal dan baru

Johan: Versi baru ini memuatkan gubahan muzik. Tetapi sejak awal projek ini lagi, idea asal saya memang untuk menulis sebuah opera. Disebabkan ia dipersembahkan dalam bentuk pementasan sebelum ini, libreto opera (teks karya muzik) dicipta kemudian. Perkara pertama yang kami cuba lihat adalah jika susunan skrip yang ada masih menjadi, walaupun selepas gubahan menjadi sebuah opera. Kebanyakan opera ditulis bersama gubahan muzik untuk mengetengahkan idea cerita dan inilah juga yang penonton akan ingat selepas ia habis. Namun, pelakon yang kami tampilkan bukan semuanya penyanyi. Fokus kami, untuk mempamerkan bakat para pelakon, selain menambah elemen muzik. Aspek teater itu sendiri memainkan peranan yang amat penting.

Chee: Proses ini kami setujui sekitar pertengahan tahun 2018. Kami berdua pun dah banyak kali bertemu untuk mengembangkan asas projek ini; ia hasil tujuh atau lapan kali perbincangan. Hasil duduk bersama, karya ini pun siap dalam Bahasa Inggeris tetapi sesampainya saya di rumah, saya fikir, “Siapa yang sebenarnya Johan bayangkan sebagai audiens sasaran?” Katanya, dia nak sampaikan drama ini kepada komuniti Melayu. Sebab itulah, skrip asal cerita diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia. Kami juga berhadapan dengan dilema dalam menyampaikan cerita ini dalam bentuk yang sesuai difahami; dari situlah Johan mula memuatkan naratif tambahan (karakter Suara) berbentuk nyanyian Soprano yang bertujuan menceritakan kisah ini di samping penampilan barisan pelakon.

“Kisah Mahabharata ini tak asing lagi dengan benua kita. Apa yang saya cuba lakukan, untuk fokuskan kepada aspek kemanusiaan yang ada dalam cerita ini. Keindahan teks epik seperti ini, kalau anda setia dengan jalan ceritanya, elemen-elemen kompleks ini akan keluar dengan sendirinya.”

Chee Sek Thim

Dinamika tema cerita dan para pelakon

Chee: Kami masih belum pasti tentang kejayaan persembahan ini, namun ini fenomena yang saya rasa menarik. Di Pulau Pinang ini, penduduknya bercakap dengan pelbagai jenis bahasa berlainan. Jarang-jaranglah ada silang antara bahasa – contohnya, sukar untuk orang yang berbahasa Melayu untuk datang ke pementasan Bahasa Cina. Jadi, jumlah penonton agak terhad. Mungkin untuk sesetengah orang, opera Bahasa Malaysia nampak pelik sedikit. Karya ini dikenali merentasi benua, tapi Bahasa Malaysia digunakan dalam persembahan ini! Kami ada ramai pelakon Cina yang berbahasa Cina dalam opera ini, jadi ia akan kelihatan seperti sebuah opera Malaysia.

Johan: Bekerja dengan apa-apa isu bahasa pun bagi saya adalah menarik, walaupun dalam Bahasa Inggeris sebab tak semua orang boleh tampil begitu saja dengan gaya tutur yang sesuai, lagi-lagi di atas pentas. Amat penting untuk kami ambil berat tentang cara penyampaian persembahan ini, supaya semua yang hadir mudah faham, seakan-akan mereka bercakap seperti biasa (bukan sebagai pelakon).

Hilyati Ramli memikul watak Raja Buta

Chee: Malam Takdir juga menampilkan Hilyati Ramli sebagai Raja Buta sebelum ini, dari zaman dia seorang pelakon muda. Bercerita tentang kisah warisan raja dan penggantian, kedua-duanya berkait dengan patriarki. Dengan adanya dia sebagai pelakon, mungkin ia dapat mengalihkan perhatian penonton kepada isu ini dengan berkesan. Ia menimbulkan persoalan tentang isu waris, kehilangan, kuasa dan juga obsesi. Semuanya dalam dunia lelaki.

“Betapa bertuahnya saya kerana Johan percayakan saya untuk bersama dengannya dalam produksi ini. Saya bersyukur sebab proses ini milik dia, tetapi dia tanpa ragu-ragu menjemput saya untuk turut sekali dalam perjalanan ini.”

Chee Sek Thim

Wajib hadir

Chee: Sejujurnya, kami tak mampu untuk memilih jenis penonton yang kami ‘mahukan’ untuk persembahan ini! Datanglah sesiapa saja untuk menyaksikan opera ini, kami akan berasa sangat gembira. Saya harap ada juga yang datang mengikuti corak kerja saya dan Johan, serta perkembangan kami dari tahun ke tahun. Kami amat mengalu-alukan barisan penonton baru, harapnya barisan pelakon kami dapat menarik peminat yang selama ini selalu mengikuti persembahan mereka.

Johan: Tak ada formula lain, datang dengan rasa terbuka dan ingin tahu!

Chee: Mesti tengok sekumpulan orang yang berbakat bercerita tentang kematian dan kemusnahan!

Opera Malam Takdir menampilkan barisan pelakon Hilyati Ramli, Tan Jin Yin, Kabilan, Desmond Ngooi Chi Xian, Teoh Chee Lin and Wong Wei Hern dengan Tan Hock Kheng sebagai pengurus projek. Persembahan dalam Bahasa Malaysia dengan sarikata Bahasa Inggeris ini akan menemui penonton pada 21 hingga 23 Julai di KOMTAR, Pulau Pinang (beli tiket di sini) serta 5 dan 6 Ogos di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama (beli tiket di sini).

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites