Kolaborasi terbaru Dato’ Sri Siti Nurhaliza bersama David Foster ini direalisasikan selepas sembilan tahun lalu, kali terakhir mereka bersua muka dan tenaga kreatif.
Oleh NABILA AZLAN
Seramai 3000 penonton berpeluang menikmati gandingan hebat suara-suara merdu di pentas Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur sempena konsert HITMAN: David Foster and Friends Asia Tour 2023 Isnin lalu.
“Besar hati saya untuk kembali ke sini (Malaysia). Saya harap anda semua dapat saksikan semuanya seperti yang saya saksikan,” kata komposer muzik terkenal, David Foster, membuka tirai konsert pada malam tersebut.
Seperti edisi-edisi konsertnya yang lalu, Foster membawakan barisan penyanyi hebat berskala antarabangsa untuk bersamanya di atas pentas – kali ini dengan Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred, dan Katharine McPhee. Edisi Kuala Lumpur dengan bangganya juga menampilkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza untuk turut serta dalam kegemilangan malam tersebut.
Siti yang sempat membuat ramai orang berteka-teki tentang dua buah lagu yang bakal dibawanya ke pentas HITMAN sejurus sidang media konsert ini beberapa bulan lalu , memberikan ‘jawapan’ yang merdu. Dia yang sebelum ini menyatakan bahawa sukar untuk dia membuat keputusan memilih lagu yang sesuai ke pentas tersebut mendendangkan dua buah karya istimewa, iaitu The Power of Love (bawaan asal Jennifer Rush dan dipopularkan oleh Celine Dion) serta sebuah lagu dari album terbaharunya, SITISM, yang berjudul Sehebat Mentari. Kedua-duanya dimainkan dengan iringan piano dan susunan muzik Foster sendiri.
Digelar ‘Celine Dion Malaysia’ oleh netizen, Siti yang membawakan lagu pertamanya itu dengan caranya yang tersendiri amat mengagumkan Foster, kata komposer tersebut, “Sangat merdu suaranya, saya sukakan dia (She has a beautiful voice, I love her)!” Melalui usikan Foster, Siti turut ‘dijerat’ untuk menyanyikan korus lagu popular All By Myself sebagai nyanyian encorenya. Tentunya, nyanyian spontan yang memerlukan not tinggi itu turut menerima tepukan gemuruh dari penonton!
15 lagu dari carta popular, rata-ratanya hasil gubahan Foster menggamatkan pentas Mega Star Arena pada malam 7 Ogos 2023. Antara lainnya, dendangan yang tidak boleh dilupakan pada hemat penulis adalah lagu-lagu klasik filem animasi Disney, iaitu A Whole New World dari filem Aladdin (dinyanyikan oleh Peabo Bryson dan Loren Allred) serta Beauty and the Beast (dinyanyikan oleh Peabo Bryson dan Katharine McPhee). Foster berjaya mengajak penonton untuk nyanyi bersama-sama dalam dendang spontan Hard To Say I’m Sorry, nyanyian asal kumpulan Chicago yang saya kira, antara babak ‘mahal’ yang dapat diingati. Dan yang penting sekali, suara Michael Bolton yang tidak ubah seperti rakaman studio mengembalikan nostalgia terutamanya melalui nyanyian lagu When A Man Loves A Woman dan Said I Love You But I Lied!
HITMAN: David Foster and Friends Asia Tour 2023 membawakan sesuatu yang istimewa kepada para peminat. Penonton yang membesar dengan lagu-lagu yang dinyanyikan akan berasa gembira kerana dapat mendengar versi lagu tersebut secara langsung. Untuk penonton yang baru mendengar sebahagian daripada koleksi lagu yang dinyanyikan, ia membuktikan bahawa kesemuanya memang tak lapuk dek zaman – pentingnya gubahan yang berkualiti dengan iringan suara-suara lunak profesional. Juga, Malaysia wajar berbangga dengan bakat tempatan yang ada. Dengarlah saja suara Siti yang serupa ‘telan kaset’!
Gambar oleh Mohd Rezduan
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: