Oleh DANIAL FUAD
Hidup di zaman serba canggih ini, kita sering mengejar pembaharuan demi pembaharuan atas nama kemajuan. Perkara ini juga tidak asing dalam latar seni Malaysia di mana seniman dijangka menghasilkan karya baru untuk setiap pameran yang mereka sertai. Namun begitu, karya-karya lama juga sering dipamerkan semula tetapi tidak kerap dan hanya berlaku dalam pameran retrospektif. Untuk melawan tanggapan negatif mengulang pamer karya lama, A+ Works of Art mempersembahkan pameran berkumpulan terbaharu mereka yang diberi judul Paraphrase.
Tajuk pameran berjudul Paraphrase membawa maksud ‘menggunakan perkataan yang berlainan daripada asal untuk menyatakan semula maksud kenyataan’. Ia amatlah sesuai untuk pameran kali ini. “Kami menyedari setelah melakukan banyak projek di luar kawasan dan kebanyakan karya di sini belum lagi dipamerkan untuk khalayak di Kuala Lumpur,” ujar Denise Lau yang merupakan pembantu kurator di A+ Works of Art. Karya-karya yang telah dipamerkan di luar daripada Kuala Lumpur telah dikumpul dan disusun semula mengikut konsep dan visual.
“Kita akan sentiasa mendapat hubungan dan pemahaman yang baru terhadap karya bergantung kepada tempat dan khalayak,” Denise menambah. Dari situlah datangnya judul Paraphrase dan untuk bahagian pertama ini, seramai 12 seniman telah mempamer semula karya mereka yang sebelum ini berada di luar Kuala Lumpur di lokasi seperti bilik hotel, pusat konvensyen dan lain-lain.
Bercerita tentang bagaimana karya-karya pameran ini dihubungkan, Denise telah menghurai, “kebanyakan karya dalam bahagian pertama ini banyak menyoalkan tentang apa itu seni kontemporari dan dalm bentuk apa ia boleh hadir.” Seperti contoh, terdapat sebuah batu besar yang dihasilkan dengan cetakan foto dan bongkah polyester, ia adalah hasil karya Alvin Lau yang telah dipamerkan di CIMB Artober Hotel Art Fair November tahun lalu.
Berjalan di sekitar galeri, pengunjung akan terserempak dengan beberapa cetakan barang harian yang telah dibingkaikan. Pada mulanya mungkin ia tidak dilihat sebagai sebahagian karya dalam pameran tersebut, tetapi ia merupakan hasil seniman yang hanya menggelarkan dirinya 0. Karya-karya tersebut dihasilkan dengan konsep karya meniru persekitaran pameran; akhirnya memberi kekeliruan dan ia berfungsi dengan sangat baik!
“Terdapat juga karya yang menceritakan tentang muhasabah diri seperti dalam karya Hirendran yang meneroka identitinya sebagai seniman dan juga karya Mary Pakinee yang menceritakan tentang dunia dalaman yang gagal beliau luahkan dengan kata-kata,” ulas Denise lagi. Selain daripada hubungan konseptual, terdapat juga hubungan bahantara dan bagaimana seniman yang berlainan meneroka bahantara yang sama.
Menurut Denise lagi, sebahagian daripada niat A+ Works of Art menganjurkan pameran ini adalah untuk melawan tanggapan bahawa mempamer semula karya lampau tidak penting. Denise mengulas, “kita sering mengharap bahawa terdapat perubahan yang banyak bagi perjalanan kerjaya seniman di masa yang singkat dan sering ingin melihat sesuatu yang baru setiap kali pameran. Sebenarnya, kita perlu memberi masa untuk seniman merenung lebih mendalam tentang karya mereka.”
Pameran Paraphrase ini sedang berlangsung dari sekarang sehingga 27 Mei 2023 di A+ Works of Art yang bertempat di D6-G-8, d6 Trade Centre, Kuala Lumpur. Lawatan ke galeri adalah berdasarkan temu janji sahaja dan orang ramai boleh menghubungi A+ Works of Art melalui Instagram untuk membuat temu janji.
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: