KALEIDOSCOPE mempersembahkan keupayaan kohort kedua TUTAS

KALADEISCOPE mempersembahkan 9 pementasan daripada 10 orang pelajar tahun akhir TUTAS.

oleh DANIAL FUAD

Pada awal 2020 yang lalu, Taylor’s University telah mengumumkan bahawa mereka menawarkan Ijazah Konservatori bagi Seni Persembahan. Ijazah ini terhasil daripada kerjasama universiti tersebut bersama The Actor’s Studio dibawah kelolaan Datuk Faridah Merican dan suaminya Joe Hasham. “Program ini merupakan satu-satunya yang ditawarkan di rantau ini dengan kerjasama The Actor’s Studio, Kuala Lumpur Performing Art Center dan juga pengamal seni persembahan,” ujar Professor Dr Pradeep Nair, Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Akademik bagi Tayor’s University.

Perkara inilah yang membezakan Ijazah Konservatori berbanding Ijazah lain, di mana para pelajar ditempatkan terus dalam industri dan mereka belajar secara langsung dari pengamal teater profesional di Kuala Lumpur Performing Arts Center. Namun begitu, untuk sampai ke tahap sini bukanlah suatu yang mudah. Menurut Joe, “Kami telah mengambil masa lebih kurang tiga hingga empat tahun merangka rancangan sebelum kami menyertai Taylor’s.”

Setelah segala usaha keras dicurahkan, kini program TUTAS yang diambil daripada gabungan Taylor’s University dan juga The Actors Studio akhirnya membuahkan hasil, di mana kini mereka mempunyai 55 orang pelajar. “Kami juga menawarkan program ini sebagai elektif percuma kepada 10,000 pelajar dan setiap semester. Kami mempunyai lebih kurang 60 pelajar luar seperti pelajar perubatan, kejuruteraan dan psikologi yang mengambil tempat,” tambah Professor Dr Pradeep lagi.

Untuk kali ini, seramai sepuluh orang pelajar bakal menamatkan ijazah mereka dan mereka telah diberi tugasan untuk menghasilkan sebuah persembahan sebagai tugasan akhir. Maka lahirlah KALEIDOSCOPE, “Kami mempunyai sepuluh pengarah yang menghasilkan sembilan projek. Dua pementasan pergerakkan, satu drama asli oleh dua orang pengarah dan enam lagi pementasan drama dan juga komedi. Sama seperti kaleidoscope yang sentiasa berubah-ubah,” ujar Joe dan Faridah.

Salah satu pementasan pergerakkan adalah daripada Feyee Bethany yang bertajuk Drifting Off to You. “Berdasarkan daripada apa yang ditulis dalam diari saya, persembahan ini juga menceritakan tentang ketakutan dan sifat terlalu banyak berfikir apabila berkenaan dengan cinta,” ujar Bethany tentang pementasan beliau.

Berbanding Drifting Off to You yang mempunyai seramai lapan ahli persembahan, pementasan pergerakkan kedua hanya mempunyai dua orang penari dan seorang pemain piano. Pementarasan berjudul I love you, Skylar Lim mengambil inspirasi daripada aktiviti yang dilakukan semasa kelas pementasan di sekolah menengah. Mengikut Skylar, “Semakin difikirkan, semakin saya sedar bahawa bahawa saya jarang sekali mengucapkan ‘I love you’ kepada orang. Akan tetapi terdapat perkara yang saya hanya lakukan kepada orang yang saya sayang, jadi mungkin itu cara luahan cinta saya.”

Terdapat dua pengarah yang menghasilkan drama asli mereka dan salah seorangnya adalah Nicholas Lai dengan pementasannya yang berjudul Nightswim. Cerita ini mengisahkan tentang dua orang rakan yang bertengkar kerana seorang ingin mandi di tasik di waktu malam manakala seorang lagi memberi pelbagai jenis alasan untuk tidak keluar. “Saya sering mengambil inspirasi daripada filem, jadi mengarah pementasan adalah sesuatu yang baru dan ini merupakan cabaran bagi saya,” ujar Nicholas.

Mengambil inspirasi daripada persahabatan mereka sepanjang tiga tahun, Jelissa Lim Fidelis dan Zoey Lee telah menghasilkan The Last Time. “Pementasan ini menceritakan tentang kehampaan dan desakan untuk berkomunikasi antara dua pihak yang berlawanan,” ujar Jelissa. Zoey pula telah menghasilkan puisi untuk pementasan ini di mana dia menyatakan, “Saya telah memutuskan untuk mengetengahkan sebaik mungkin bakat saya dalam projek tahun akhir ini.”

Antara persembahan yang terbaik pada pendapat penulis, Time, What Is It? arahan Nandagopall mengambil penulisan daripada Lindsay Price dengan judul yang sama. “Antara sebab saya memilih karya ini sebagai pementasan adalah kerana saya dapati bahawa ianya comel, aneh dan huru hara dalam masa yang sama,” ujar Nandagopall. Gandingan Keith Toh dan Jelissa Lim Fidelis sebagai pelakon mempunyai dinamik yang sangat kuat dalam pementasan ini.

The Wedding Story arahan Chloe Lee juga telah menarik perhatian penulis di mana ia merupakan karya asal Julianne Homokay. Cerita ini mengisahkan tentang bagaimana seorang penglipur lara bergaduh dengan watak dalam ceritanya dalam nada komedi. “Pada mulanya, saya sangkakan cerita tersebut mempunyai skrip yang mudah. Namun begitu, semakin saya mendalami cerita tersebut, baru saya sedari bahawa cerita tersebut sangatlah kompleks,” ujar Chloe.

Janusha Laxmi pula telah mengadaptasi cerita Bruce Kane, Hitting on Women 101 di mana seorang jejaka sering datang ke bar untuk mengorat wanita berlainan setiap malam. “Persembahan komedi ini telah menarik minat saya apabila membaca skrip yang penuh dengan guraun dan jenaka,” ujar Janusha.

Menukar suasana komedi kepada persembahan drama, Carmen Khoo telah mengambil filem asal oleh Sam Levinson dan mengadaptasi ke teater dengan Malcom & Marie.  Menurut Sam, “Cerita ini telah menarik perhatian saya pada pertama kali saya menontonnya dan telah membuat saya berfikir bagaimana mereka boleh mengeluarkan kata-kata kasar kepada orang yang kita sayang?” Persembahan ini menceritkan tentang pertengkaran antara pasangan suami isteri setelah mereka pulang acara anugerah yang diterima oleh suami.

Mengambil secebis petikan daripada persembahan oleh D.M. Larson yang berjudul Flowers in the Dessert, Sally Lee telah menghasilkan WEIRD. Menceritakan tentang kisah dua orang anak yatim yang tinggal bersama dan salah seorangnya merasakan dirinya pelik dan kawannya meyakinkan dirinya bahawa dia belum bertemu dengan orang yang betul menghargainya. “Terdapat banyak babak dalam persembahan ini yang rapat dengan saya. Ilham untuk babak-babak tersebut datang ketika saya merasa sangat sedih atau pun ketika saya mahu bersendirian,” ujar Sally.

KALEIDOSCOPE telah berlangsung daripada 11 hingga 14 Ogos lalu dan syabas diucapkan kepada kesemua pelajar yang telah memberikan sepenuh tenaga dan masa untuk menghasilkan menjayakan pementasan ini. Dapat dilihat pendedahan mereka kepada pemain industri membuka mata mereka dan berjaya menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi. Tambah Professor Dr Nair lagi, “Pelajar juga dapat belajar dengan pemain industri lain yang hebat seperti Mark Beu De Silva, Zhafir Muzani, Tung Jit Yang, Omar Ali, Ian Chow, Yusman Mokhtar dan Chris Higgs.”

Kemasukkan untuk TUTAS dibuka setiap Januari, Mac dan juga Ogos dan maklumat lanjut berkenaan program ini boleh didapati di laman sesawang Taylor’s University.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites