‘Joget Mengikut Rasa’ temukan irama etnik Sabah dengan rentak joget!

'Joget Mengikut Rasa' keluaran Luncai Emas adalah nyanyian penyanyi asal Sabah iaitu Jaclyn Chia.

Jaclyn Chia atau nama sebenarnya Chia Jia Yi merupakan seorang penyanyi dan penari berasal dari Sabah yang telah dipilih untuk menyanyikan single Joget Mengikut Rasa.

Jika di Sabah, dia banyak menyertai pertandingan nyanyian dan tarian sejak beliau berumur empat tahun lagi. Sering sahaja dia tampil sebagai juara pertandingan dan bakatnya membuahkan hasil bukan sahaja di tanah kelahirannya, malah di luar negara misalnya di Beijing, China.

Kata penyanyi itu, “Inilah lagu baharu nyanyian saya berbentuk irama etnik Sabah yang telah dihasilkan dibawah label Luncai Emas. Saya sangat berterima kasih kerana diberikan peluang untuk menyanyikan single ini, sebuah lagu irama Malaysia yang menunjukkan kesungguhan terhadap warisan seni muzik Malaysia yang kaya.”

Joget Mengikut Rasa mengguna pakai irama etnik dari Sabah sambil mengekalkan rentak joget melalui alat-alat muzik seperti Sompoton, Bungkau, Rebana, Kulingtangan dan Gong. Rakaman produksi ini dirakam di Sabah sepenuhnya dan dikelolakan oleh penerbit single, Shaiffulhan Saidin dengan kerjasama Jinn sebagai penggubah dan jururakam.

Menurut Shaiffulhan, “Ini satu percubaan yang baik dalam penghasilan sebuah karya. Joget Mengikut Rasa adalah hasil ciptaan saya yang terbaharu di bawah Luncai Emas.” Buat pengetahuan pembaca, dia sebelum ini merupakan penerbit karya artis tempatan Sabah, antaranya Romeo Ikan Masin (Ebi Kornelis), Ku Takkan Mengalah (Cici Paimin) serta Keseorangan (Santiana Ramli).

Penggambaran video muzik Joget Mengikut Rasa nyanyian Jaclyn Chia yang berlatarbelakangkan Kampung Binsolok Membakut, Sabah adalah hasil arahan Bryan Kouju.

Penulis lirik lagu ini iaitu S. Amin Shahab pula sememangnya banyak menghasilkan lirik-lirik hits, contohnya lagu Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah), dan Suci Dalam Debu (Iklim). Namun, katanya, “Saya tidak banyak menulis lirik untuk lagu joget, tetapi lagu Joget Mengikut Rasa ini cukup untuk buat saya rasa puas, gembira dan sangat terhibur bagai ingin turut menari. Sejujurnya, lirik ini menyimpan makna yang tersendiri; antaranya, hati harus ikhlas dan bebas daripada menyimpan perasaan negatif. Kita harus menghayati gerak jiwa di dalam diri dengan memandang keindahan, keajaiban alam dan manusia dengan kehendaknya.”

Dengarkan single ini di platform muzik utama bermula 22 Jun 2023!

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites