Lingkaran Syaitan atau ‘Vicious Cycle’ adalah merupakan rantaian kompleks beberapa peristiwa dan perlakuan yang memerangkap pelaku berpusing dalam gelung yang tidak ada kesudahahan dengan kesan yang buruk. IQ. Rock sebuah pementasan teater yang cuba untuk membahaskan kemurungan fenomena ini melalui tema pendidikan.
Oleh AZUWAN AHMAD
Anomalist Production (Anomalist), sebuah rumah produksi teater bakal mempersembahkan kepada anda sebuah pementasan teater yang berjudul IQ. Rock bertempat di Damansara Performance Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya selama 4 hari bermula 1 Dis hingga 4 Dis. Persembahan teater ini bukan kali pertama menemui penonton kerana ia sudah pun dipersembahkan dengan jayanya dan menerima sambutan luar biasa pada tahun 2018 serta dicalonkan bagi beberapa anugerah di BOH’s Cameronian Awards, yang mana ia telah mendapat pengiktirafan, Best Original Script dan Best of 2018. Antara pelakon yang bakal menjayakan persembahan ini ialah Fimie Don, Ranessa Theyakaraja, Megat Adli dan Maza Maamor.
Judul IQ.ROCK sebenarnya mainan kata dari perkataan Arab, Iqra’ yang membawa maksud Bacalah! Melalui judul ini, mudah untuk kita fahami bahawa pementasan ini membawa tema mengenai pendidikan dan realitinya. Secara asasnya, Anomalist mengajak orang ramai untuk berfikir dan mencerna fikiran menngenai akar permasalahan serta isu pendidikan anak-anak di pendalaman.
Sedikit mengenai jalan cerita pementasan ini, ia mengisahkan tentang seorang remaja lelaki bernama Azim yang bersekolah di SMK Sri Serting berazam untuk keluar daripada kampungnya melalui jalan pendidikan. Sikap rakan-rakan di sekolahnya yang tidak minat untuk berjaya dan hanya tinggal pasrah menerima takdir mereka sebagai bakal penoreh getah mengikuti tradisi keluarga mereka di kampung tersebut dirasakan berlawanan dengan tekad Azim yang suka membaca. Azim dan rakan-rakan kemudiannya bertemu dengan Teacher Mary, seorang guru yang membawa watak reformasi dalam membuat perubahan dan mempunyai keazaman untuk membaik pulih sistem pendidikan anak-anak di sekolah. Dia melalui fasa naik turun dalam usahanya membawa anak-anak di kampung itu untuk keluar dan mengubah nasib hidup.
Sebenarnya cerita dibawakan teater ini diinspirasikan daripada kisah sebenar Azmi Hud (Jimi), penulis bersama skrip pementasan ini yang hidup membesar di kawasan Felda. Pengalaman Jimi membawa pengamatan dalam dirinya dimana pendidikan di kawasan seperti felda tidak diberi perhatian secukupnya dan sering dipinggirkan. Kekurangan pendidikan dan bimbingan menjadi punca kepada banyak masalah sosial anak muda seperti perlumbaan motorsikal haram, hubungan seks bebas dan penderaan domestik. Jimi sendiri hanya menduduki semula sijil SPM pada usia 22 tahun dan kemudiannya berjaya mendapatkan Diploma. Dapat dirasakan bahawa IQ.ROCK memang benar-benar dekat dengan jiwa dan sanubari Jimi. Barangkali ia menjadi medium pelempiasan apa yang terbuku dalam hatinya selama ini.
Berkongsi mengenai produksi IQ. ROCK ini, selepas pementasan tahun 2018 ia terus berkembang di Malaysia dan di luar negara. Walaupun ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, mereka berjaya mengumpul 1500 orang di alam maya untuk menonton sesi bacaan skrip pada tahun 2020. Pada tahun berikutnya, skrip ini berlayar ke Hong Kong hasil usaha sebuah syarikat produksi teater tempatan di sana untuk bacaan skrip secara fizikal dalam dialek Kantonis! Didorong oleh keyakinan melalui maklumbalas yang baik dari ramai pihak membuatkan pengarah teater ini, Khairi Anwar, 30, untuk mementaskannya kali ketiga di Malaysia. “Cerita ini masih relevan dan terus mendapat sokongan yang besar dari orang ramai. Saya rasa ia wajar dipentaskan kembali selepas 4 tahun ianya pertama kali dipentaskan pada tahun 2018,” katanya.
Berbalik kepada cerita ini, penulis merasakan wajar sekali untuk kita terus membahaskan isu pendidikan di kawasan luar bandar secara lebih terbuka dan kerap walaupun melalui medium seni seperti ini. Lingkaran syaitan yang terus membungkam nasib anak-anak di pendalaman harus segera dibuka gemboknya dan menghalang anak-anak ini dari terus disedut dalam lohong kegelapan.
Maka, sering kita dengar kata-kata ini bila membahaskan fenomena lingkaran syaitan. “Datuknya penoreh, bapaknya penoreh, anak dan cucunya nanti juga akan jadi penoreh”. Jangan disalah anggap mengenai kenyataan ini memberi maksud penghinaan kepada pekerjaan penoreh getah. Ini adalah pekerjaan yang menghidupkan ramai orang dan keluarga untuk tempoh yang lama dalam sejarah negara kita. Namun, ia lebih kepada gambaran peluang untuk generasi seterusnya meneroka minat dan peluang yang lebih baik dalam menentukan hala hidup mereka sendiri tanpa dihimpit ketidakpastian dan ketiadaan pilihan. Oleh kerna itu, satu-satunya kunci untuk membuka belenggu ini hanya satu, iaitu pendidikan yang baik.
Teater ini yang dipersembahkan dalam dwibahasa serta menyediakan sarikata dalam Bahasa Inggeris menawarkan harga tiket bermula dari RM45. Anda yang berminat untuk menonton persembahan teater ini boleh mendapatkan tiket di anomalistproduction.com dan produksi ini boleh diakses juga melalui laman Instagram Anomalist.
Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di Baskl :