Hasil ujikaji sepanjang 12 tahun oleh Amar Shahid

Tempus Fabrica - A Version Of Time merupakan hasil kajian Amar Shahid tentang gambar arkib arwah ayahnya yang telah berjalan selama 12 tahun

Oleh DANIAL FUAD

Fotografi sebagai seni halus sering didebatkan kerana pelbagai faktor. Antaranya ada yang menganggap, kamera hanya mampu merakam sesuatu secara objektif sahaja. Namun begitu, perkara sedemikian tidak mengekang ramai seniman menggunakan fotografi sebagai bahantara dalam karya mereka. Seniman seperti Minstrel Kuik dan Annabelle Ng merupakan antara nama yang pernah menggunakan fotografi dalam catan mereka.

Juga tidak asing apabila seniman fotografi seperti Ismail Hashim, Eric Peris dan Jeffrey Lim menggunakan teknik mewarna gambar hitam putih mereka. Fotografi dan seni halus tidak dapat dipisahkan; kini kita dapat melihat fotografi juga digantung di samping catan-catan dalam pameran. Kemampuan kamera untuk merakam terutamanya perkara bersejarah merupakan sifat yang digemari seniman.

Sifat itu jugalah yang diminati seniman Amar Shahid sehingga beliau meneroka perkara tersebut sejak 12 tahun lamanya. “Siri ini bermula sebagai sebuah uji kaji dalam kebendaan,” ujar Amar di mana segalanya bermula apabila beliau ingin mengarkib gambar-gambar lama simpanan ayahnya.

Menurut Amar, “Arwah ayah saya, dengan kamera di tangan telah merakam pembangunan negara melalui lensa seorang rakyat. Bermula sebagai hobi dan kerja sampingan bagi penerbitan universitinya, ia telah menjadi sebuah rakaman ‘zeitgeist’ yang telah menyelubungi Malaya dalam tahun-tahun awal pembangunan negara dan pembinaan identiti.”

Tertarik dengan perkara tersebut, Amar telah melukis semula gambar-gambar yang beliau pernah arkibkan dan kini, karya-karya tersebut sedang dipamerkan di Cult Gallery. “Pada titik mana yang kita boleh tegaskan bahawa apa saya hasilkan bukanlah catan tetapi hanya salinan jasmani gambar tersebut?” ujar Amar tentang apa diteroka melalui siri ini.

Diberi judul Tempus Fabrica – A Version of Time, karya-karya yang digantung di Cult Gallery ini menunjukkan kemahiran Amar dalam menghasilkan catan. Tempus Fabrica berasal daripada perkataan Latin yang jika diterjemah secara harafiah membawa maksud peranti masa. Dan ia sangatlah sesuai dengan apa yang dipamerkan kerana Amar telah melukis semula pelbagai situasi daripada acara rasmi hingga aktiviti riadah.

Perkara seperti berikut tentunya mengimbau kenangan nostalgia orang ramai tetapi menurut Amar, dia cuba mengelakkan sebarang konotasi nostalgia. Semestinya ia sesuatu yang sangat sukar kerana gambar-gambar tersebut milik seseorang yang sangat penting untuk Amar. “Minda empirikal saya telah bergelut untuk menegaskan dominasi analitis karya dan sering menafikan sifat nostalgia dalam objek,” ulas Amar.

“Saya terpesona dengan sifat yang ada pada permukaan gambar dan warna suam yang telah menjadi sebuah bejana yang sempurna bagi memori dan maklumat,” Amar mengujar tentang apa yang telah menarik minatnya untuk meneroka siri ini.

Dapat dilihat dalam setiap karya bahawa beliau telah meniru apa yang wujud dalam gambar tersebut secara penuh, lengkap dengan ketidaksempurnaan yang ada. “Kerosakkan daripada air, kereputan filem, semuanya harus ditiru sama ada secara langsung atau disimulasikan semula melalui kimia yang menghakis,” tambah Amar.

Amar juga merupakan bekas pemulihara di Muzium Kesenian Islam dan di situ beliau telah banyak mempelajari teknik pulihara daripada Barat dan juga Timur. Salah satu teknik yang menarik minatnya datang daripada Jepun iaitu kintsugi sebuah teknik memulihara tembikar menggunakan emas. “Daripada membuat perubahan yang tidak kekal, ia membuat perubahan estetik secara kekal dan meraikan ketidaksempurnaan,” ujar Amar.

Minatnya terhadap Kintsugi (seni memperbaiki tembikar pecah Jepun) telah diterjemahkan di dalam karya-karya dalam Tempus Fabrica ini. Amar telah menggunakan kerajang emas dalam karya-karyanya untuk menutup ketidaksempurnaan yang ada. Seperti dalam karya Three Figures, beliau telah menggunakan falsafah kintsugi untuk menutup kerosakan yang ada akibat daripada kebanjiran dalam studionya.

Kini dapat dilihat Amar semakin matang dalam penerokaan, kini pada tahun kesembilan beliau mengubah sedikit cara berkarya. Beliau telah menghasilkan gambar-gambar sendiri yang tidak ditiru seepenuhnya dan menambahkan simbol-simbol berlainan dalam karyanya bagi menghasilkan anjakan semantik.

Ujar Amar, “Saya beruji kaji dalam memanfaatkan kekuatan anjakan semantik dengan mencuba untuk menghasilkan perubahan dalam makna bagi simbol visual.” Kini dapat dilihat dalam karyanya halo seperti dalam karya Barat dan juga terdapat simbol burung, epal dan pelesit ibarat dalam karya Witch from Eden dan juga Vastador Mundi.

Tempus Fabrica – A Version of Time telah dipamerkan di Cult Gallery daripada Mei 20 – Jun 1 2023 dan kini, Amar sedang meluangkan masa di Rimbun Dahan sebagai seniman tamu di sana. Beliau juga sedang menyiapkan diri untuk pameran tunggalnya hasil daripada menjadi salah seorang pemenang untuk Malaysian Emerging Artist Award 2022. Kemaskini untuk aktiviti beliau boleh didapati melalui Instagram dan juga Facebooknya.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites