Festival EXPOSURE+ PHOTO kembali dengan tema ‘A Different Light’

September ini, Exposure+ Photo bakal menampilkan 20 artis dari seluruh dunia termasuk Malaysia sebagai bukti kesungguhan penganjur menghasilkan serta memupuk fotografer bertaraf antarabangsa dari kalangan generasi baru.

Setelah kejayaan penganjuran kali pertama pada Februari 2022, festival fotografi EXPOSURE+ PHOTO kini bersedia untuk festival kedua yang dijadualkan bermula pada 21 September selama dua minggu sehingga 1 Oktober 2023. Pengasas festival tersebut yang juga merupakan jurugambar tersohor, Steven Lee dan Nadirah Zakariya, menegaskan bahawa EXPOSURE+ PHOTO adalah inisiatif bebas dengan konsep akar umbi, dan beroperasi sebagai sebuah projek yang tidak berteraskan keuntungan atau ‘non-profit’ melalui kolaborasi aktif bersama para penaja, rakan kerjasama dan para penyokong festival tersebut. 

Mengekalkan format pameran di pelbagai lokasi di sekitar Kuala Lumpur, festival ini bakal berlangsung di 10 lokasi terkenal ibu kota seperti GMBB, REXKL, KLoé Hotel dan The Zhongshan Building. Lokasi menarik yang tersenarai adalah di BookXcess, LOKL Coffee Co, High Street Studios (HSS), Triptyk, Kantata dan Zontiga. Program lain seperti bengkel, reviu portfolio, bual bicara, forum dan berbagai acara lain berkaitan fotografi juga akan diadakan untuk menyokong penganjuran festival dan terbuka kepada umum.

Festival ini dianggap unik kerana mendedahkan jurugambar Malaysia kepada konsep open call (panggilan terbuka) di mana penyertaan dibuka kepada semua jurugambar yang berminat dari seluruh dunia. Ini termasuk juga program-program khas yang direka dengan kelainan dan pastinya segar agar ia dapat memberikan inspirasi serta manfaat kepada sesiapa sahaja yang terlibat terutamanya para pengunjung.

Dikenali sebagai The Open Call 2023, panggilan kepada semua jurugambar dari seluruh dunia untuk menghantar permohonan dilancarkan pada Januari 2023 dengan tema A Different Light.

Menurut Nadirah Zakariya, pengasas bersama EXPOSURE+ PHOTO yang baru sahaja selesai mempersembahkan pameran solonya yang ketiga di Kuala Lumpur dan menerima sambutan hangat, berkata, “Fokus festival ini adalah mengenengahkan projek fotografi termasuk video yang dekat dengan hati dan jiwa audiens festival di mana pengalaman peribadi dan penceritaan disatukan secara visual dalam bentuk ekspresi fotografi. Tema yang dipilih penganjur adalah cukup luas untuk diinterpretasikan dalam genre fotografi yang berlainan dan boleh dianggap sebagai tema yang boleh dibawa ke pelbagai arah.”

Steven Lee, seorang lagi pengasas bersama festival EXPOSURE+ PHOTO dan amat dihormati di dalam industri fotografi berkata, “Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa kami menerima lebih dari 160 permohonan dari seluruh pelusuk dunia walaupun festival ini boleh dianggap baru di kalangan komuniti kreatif global. Daripada jumlah ini, panel juri kami terdiri dari nama-nama besar industri termasuk Ihiro Hayami, pengarah T3 Photo Festival Tokyo dan Carol Körting, editor foto majalah LFI (Leica Fotografie International) telah berjaya memilih 20 artis dengan projek yang memberikan impak terbesar. Sebagaimana 11 artis yang dipilih tahun lepas, hasil karya mereka akan dipamerkan di festival ini di lokasi yang berbeza di sekitar Kuala Lumpur”.

“Kami ingin berterima kasih kepada para penaja, rakan kerjasama, penyokong festival ini sama ada dalam atau di luar talian dari serata dunia; serta rakan-rakan dan keluarga yang telah bersama kami sejak idea tentang penganjuran festival ini pertama kali diutarakan. Tanpa bantuan serta motivasi dari mereka, festival ini pasti tidak dapat diadakan sebagaimana yang dirancang. Bagi pihak penganjur festival, saya ingin menjemput semua peminat seni fotografi terutamanya rakyat Malaysia untuk mengunjungi festival ini di lokasi-lokasi yang ditetapkan dan mengambil bahagian di dalam program yang telah pun dirancang,” kata Lee penuh semangat.

EXPOSURE+ PHOTO bermatlamat untuk menggalakkan fotografi sebagai satu cabang seni dan ekspresi di Malaysia. Dengan menyediakan platform bagi penggiat seni fotografi mempamerkan hasil kerja mereka, pengunjung yang datang berpeluang menyaksikan sendiri kehebatan, kepentingan serta kuasa yang ada pada sesuatu imej sebagai satu cara berkomunikasi. Slogan EXPOSURE+ PHOTO adalah ‘Photography For All’ atau ‘Fotografi Untuk Semua’ dan mereka berharap agar festival ini dapat menjadi rujukan sebagai pemangkin dunia moden dalam dunia fotografi terutamanya di rantau ini.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites