Cerita dongeng melalui arca kayu oleh Anniketyni Madian dalam Susey

Susey mempersembahkan 15 arca kayu dinding dan juga lantai hasil dua tahun setengah usaha Anniketyni Madian

Oleh DANIAL FUAD

Cerita dongeng rakyat merupakan suatu bentuk komunikasi yang diamalkan seluruh dunia. Terdapat pelbagai sebab cerita dongeng dicipta di mana antaranya adalah sebagai nasihat kepada generasi seterusnya, mengisi masa lapang atau pun menceritakan sejarah. Kebiasaannya cerita begini dipersembahkan secara lisan tetapi Anniketyni Madian memberi kelainan dalam adaptasinya berkenaan cerita dongeng.

Untuk pameran solo terbarunya yang berjudul Susey, Anniketyni telah melakukan adaptasi cerita dongeng Sarawak dalam bentuk arca kayu. “Idea untuk melakukan pameran ini datang apabila saya meluangkan banyak masa di rumah ketika berpantang. Sebagai seorang ibu, saya merasakan perlu untuk menyambung cerita tradisi ini kepada anak dengan cara yang berbeza,” ujar Anniketyni.

Cukup terkenal dengan karya berasaskan kayu di mana ia telah menempa nama Anniketyni dalam persada seni, bukan sahaja di Malaysia, mahal di peringkat antarabangsa. Bercakap tentang penggunaan kayu, terdapat pelbagai proses seperti pemilihan bahan mentah, cara perawatannya dan kemasannya di mana beliau telah mengulas, “Bagi sesetengah orang, mereka melihat kerja kayu ini melibatkan proses yang sangat rumit. Untuk saya, minat mendalam terhadap bahantara ini menjadikan perkara-perkara itu seperti proses penyembuhan dalam diri saya.”

Selain daripada itu, kepelbagaian yang wujud dalam bahantara kayu ini juga membuatkan Anniketyni minat untuk meneroka lebih mendalam tentangnya. “Mengambil contoh, saya pernah meluangkan masa di Nevada, USA untuk program residensi dan di sana, budaya DIY sangatlah luas berbanding di Malaysia. Pilihan jenis kayu yang ada terlampau banyak dan membuatkan proses penerokaan kayu ini sesuatu bahantara yang sangat menarik untuk dikaji,” tambah Anniketyni.

“Saya mengambil corak Pua Kumbu sebagai estetik utama dalam karya saya adalah kerana ia sangat sinonim dengan masyarakat Sarawak. Kita sering melihat corak ini hadir dalam dunia tekstil tetapi sedikit tidak terkenal dalam dunia seni halus jadi ia menimbulkan rasa dalam diri saya untuk mengetengah corak ini,” ulasnya tentang pemilihan corak utama dalam hasil karyanya. Beliau mengambil corak Pua Kumbu semenjak daripada permulaan kerjayanya pada tahun 2008 yang sering digunakan oleh masyarakat penenun Sarawak dalam kehidupan seharian. “Saya mengambil pelbagai sumber dalam kajian saya kerana pemahaman mendalam penting sebelum saya boleh menerangkan karya saya dengan lebih lanjut,” tambahnya lagi.

Sebanyak 15 buah karya telah dihasilkan oleh Anniketyni untuk pameran tunggal terkininya. Setiap satu karya dipadankan dengan cerita-cerita dongeng hasil daripada kajian di mana menurutnya, “Salah seorang sumber saya adalah guru semasa di tingkatan tiga di mana saya bersekolah di Kuching ketika itu. Selain daripada itu, saya juga menghubungi rakan-rakan yang sudah melakukan kajian berkenaan Borneo dan juga seorang pengkaji daripada London.” Anniketyni juga menambah, “Saya tidak menumpukan kepada satu suku sahaja tetapi mengambil cerita daripada Iban, Melaunau dan cerita tempatan Sarawak kerana ramai yang tidak tahu tentang kewujudan cerita-cerita ini.”

Karya-karya Anniketyni semenjak daripada permulaan kerjayanya boleh dikatakan sebagai kolaj kayu. Dia akan memotong kayu-kayu berdasarkan bentuk yang diinginkan kemudian mencantumkannya semula. Jika sebelum ini karyanya lebih menumpukan kepada satu bahan sahaja iaitu kayu, beliau telah menambah beberapa lagi bahantara untuk pameran tunggal kali ini.

“Saya ada juga menggunakan resin, fabrik, keluli tahan karat dan juga plat besi untuk pameran kali ini. Setiap karya ada ceritanya yang tersendiri dan bahantara yang digunakan rapat dengan cerita yang ada,” ulasnya. “Seperti dalam karya Legenda Puteri Santubong terdapat fabrik di dalamnya di mana saya mengaitkan dengan kisah di mana Puteri tersebut sememangnya penenun,” tambahnya lagi. Karya Lagenda Puteri Santubong ini juga merupakan karya paling besar pernah Anniketyni hasilkan dengan ukuran 244 cm x 549 cm.

Susey yang membawa maksud bercerita dalam dialek Sarawak ini telah dibawakan oleh galeri Art Cube dengan kerjasama Balai Seni Visual Negara, CIMB Foundation dan juga Yayasan Hasanah manakala KLGCC Resort dan Sime Darby selaku rakan kerjasama dalam menyediakan ruang. “Pameran ini merupakan suatu peristiwa yang sangat penting bagi perjalanan hidup saya dan semua ini masih ibarat mimpi bagi saya kerana saya hanyalah mengikut minat saya dalam penghasilan karya. Tidak pernah terfikir untuk sampai ke tahap ini sehingga dapat bekerjasama dengan pelbagai badan korporat yang sebelum ini dirasakan sangat susah,” ujar Anniketyni.

Pameran Susey oleh Anniketyni Madian berlangsung di International Gallery @ KLGCC Resort, Bukit Kiara sehingga Feb 27 2023 (hari ini). Galeri dibuka setiap hari daripada jam 9:30pg hingga 6:30ptg dan tiada sebarang temu janji perlu dibuat untuk melawat. “Saya cadangkan untuk para pengunjung mengambil masa untuk menghayati setiap karya yang ada kerana ada sesetengah karya perlukan sedikit masa untuk memahaminya kerana cerita berkaitan sedikit sarat,” ujar Anniketyni.

Terdapat juga sebuah bicara seni yang bakal berlangsung pada hujung minggu hadapan di mana beliau akan menceritakan tentang proses pengkaryaannya. Sebarang kemaskini untuk Anniketyni boleh didapati melalui laman sesawang dan juga Instagramnya.

Ikuti pautan di bawah untuk kisah menarik lain yang terdapat di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites