Lima buah kugiran berentap di Bahau bagi Battle of the Band 2026 anjuran MyCreative Ventures
oleh KU SYAFIQ KU FOZI
Dalam perjalanan ke Bahau untuk liputan pertandingan Battle Of The Bands 2026 anjuran MyCreative Ventures (MyCV), saya melalui pekan-pekan kecil yang sebahagiannya menyimpan sejarah muzik negara.
Jauh dalam perut Negeri Sembilan, ada Kuala Pilah yang melahirkan The Bollocks, kugiran punk pertama negara yang menerbitkan album dalam format piring hitam. Pekan itu tidaklah besar, malah tiada bangunan megah yang boleh dibangga, tapi ia pernah mekar dengan semangat punk melalui The Bollocks dan komuniti Chaos KP.
Di situ juga tempat saya menetap selama lebih setahun sewaktu Tingkatan Enam, di asrama lelaki SMK Tuanku Muhammad. Pekannya saya susur setiap Jumaat untuk ke masjid yang berjiran dengan tokong Cina, selain untuk berjalan-jalan ketika outing hujung minggu.
Di hujung sempadan timur laut Kuala Pilah, mukim Juasseh, ada satu lagi pekan yang lebih kecil, lebih terpencil, iaitu Jemapoh yang saya fikir hanya dikenali orang selepas Hishamuddin Rais mengarahkan filem ‘Dari Jemapoh Ke Manchestee’.
Filem kultus itu ialah filem komersial pertama yang menggunakan runut lagu-lagu kugiran underground tempatan. Sesiapa yang menonton di panggung wayang ketika ia ditayangkan mungkin pertama kali mendengar lagu-lagu Carburetor Dung, Koffin Kanser dan banyak kugiran lain dengan sistem bunyi mewah.
Ada masanya, ketika melintas Jemapoh menghampiri Bahau, saya terasa diri seperti Jorji dan Mafiz yang ada impian besar, yang naif tapi nekad, yang mahu gagah merempuh semua dugaan demi mencapai mimpi. Dan mungkin berpeluang berjumpa gadis secantik Fariza Azlina di waktu muda.
Bahau bandar yang unik. Ia kecil, ekonominya setempat tapi secara fizikal, ia tiada ciri pekan lama; contohnya seperti Kuala Pilah, kita masih boleh nampak banyak tinggalan bangunan lama, malah di Johol pun, tapi tak begitu banyak di Bahau. Atau mungkin saya yang tak cukup mengembara.
Ia seperti bandar yang tak pernah berjaya capai potensinya. Saya masih ingat, ketika kecil, Bahau agak dipandang tinggi. Walaupun Tampin nampak lebih maju dengan KFC-nya, stesen basnya, Tampin Square dan lokasinya yang dekat dengan Melaka, tapi Bahau ada satu kelebihan yang tak dapat dilawan Tampin, iaitu panggung wayang. Ia terletak di pusat beli-belah Kiara Square.
Dahulu, kalau tak mahu atau tak mampu nak ke Seremban, kami ke Bahau untuk menonton wayang.
Sekarang, tiada lagi panggung wayang di Kiara Square. Pusat beli-belah itu juga hanya betul-betul hidup di tingkat bawah. Dan Bahau mati selepas pukul 11 malam.

Saya bercerita panjang tentang Bahau sebab ia hal paling unik tentang Battle Of The Bands 2026 yang pusingan akhirnya berlangsung pada 25 Julai lalu.
Pada hari itu, lima kugiran yang kebanyakannya dari Kuala Lumpur mengembara masuk ke bandar Bahau, yang entah pernah dijejak entah tidak, untuk mencuba nasib. Mana tahu boleh menang RM6,000 dan peluang beraksi di acara kendalian MyCreative Ventures (MyCV.)
Dalam majlis penutup Battle Of The Bands 2026, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCV, Zainol Haqim Zainol Rashid berkata, pihaknya mahu menghidupkan aktiviti muzik di kawasan luar bandar yang menjadi sebab lokasi seperti Bahau dipilih.

Beliau percaya bahawa bakat muzik ada di mana-mana sahaja dan pertandingan seperti Battle Of The Bands boleh menjadi tapak yang membuka peluang kepada mereka meluaskan bakat yang ada.
Pertandingan di Bahau adalah yang pertama. Seterusnya, pertandingan sama akan dibuat di negeri lain, seperti Perak dan Melaka, dengan fokus dan tujuan yang sama.
Versevil, anak nogori berdiri di puncak
Sebanyak lima kugiran berjaya menempatkan diri di peringkat akhir Battle Of The Bands 2026 selepas melalui saringan yang dibuat secara dalam talian. Kelima-lima kugiran itu ialah Versevil, The Rudean, Kugiran Akustika, The Mezzo dan Betta.
Versevil diangkat sebagai pemenang, menewaskan The Rudean di tempat kedua, Betta di tempat ketiga dan Kugiran Akustika serta The Mezzo masing-masing menerima hadiah saguhati.
Kugiran asal Negeri Sembilan itu menyampaikan lagu ciptaan sendiri, ‘Solusi’ yang memaparkan kekuatan identiti serta kemahiran teknikal mereka.

Saingan sengit turut diberikan The Rudean dengan lagu ‘Babe’ serta Betta dengan lagu ‘Sang Pari-Pari’. Tiga tempat teratas pertandingan itu dimenangi kugiran yang membawakan lagu ciptaan sendiri, menandakan kecenderungan penjurian ke arah kekuatan identiti kugiran yang bertanding.
Hal itu turut diakui salah seorang juri, Ilham dari kugiran Pitahati yang meletakkan identiti sebagai keutamaan penjuriannya.
“Saya mencari apa yang menjadikan mereka lain daripada yang lain,” katanya. “Sudut teknikal agak subjektif, jadi saya lihat apa yang menjadikan mereka berbeza daripada kugiran yang sedia ada di Malaysia.”
Versevil yang membawakan genre post-metal menyerlah pada susunan muzik dan komposisi lagu yang tidak berpaut pada gaya lazim genre tersebut. Dan ia disokong persembahan yang bersih dan berkesan, terutamanya melalui persembahan penyanyinya.

Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 untuk tempat pertama, RM4,000 untuk tempat kedua, RM2,000 untuk tempat ketiga dan masing-masing RM1,000 untuk pemenang saguhati.
Lebih penting lagi, MyCV akan bekerjasama untuk memberi peluang kepada pemenang beraksi dalam acara anjuran mereka, termasuk Rock’N RIUH pada Oktober dan November ini.
Demi muzik di semua ceruk
Bahau bandar yang kecil tetapi hangat. Pada waktu malam, kedai-kedai makan banyak diisi keluarga yang sekali-sekala akan keluar menikmati hidangan dari luar dapur sendiri. Di tengah siang hujung minggu, kereta penuh di pusat perniagaan Kiara, baik untuk berbelanja di pusat beli-belahnya atau deretan kedai-kedai yang ada.
Kata Ilham, Bahau bandar yang psikedelik. Mungkin sebab pengalamannya mengenali dua anggota asal Ramayan, Nadz dan Amin yang berasal dari situ.
Kalau psikedelik bermaksud memberi pengalaman memecah akal, mungkin ada benarnya. Tapi ia bukanlah boleh dialami dengan menetap sehari dua di sana. Psikedelik Bahau ada pada penghuninya dan ia perlu didekati, diramahi dan dirapati berminggu, mungkin berbulan, mungkin bertahun.
Ada sebahagian warga Bahau hadir menonton persembahan di Garden View Hotel pada sebelah malam. Persembahan dibuka dengan set separa akustik dari Chelsia Ng yang ditemani dua gitaris. Banyak lagunya yang manis-manis dan comel-comel, buat dewan persembahan jadi terang dan riang.
Kemudian Ramayan datang memerahkan pentas melalui alunan lagu-lagu dari album terbaharu mereka, ‘Ini Adalah Ujian Transmisi’ yang diterbit tahun lalu. Ia Ramayan yang berbeza berbanding zaman Amin dan Nadz tetapi pati identiti mereka tetap ada, tetap intens dalam gaya psikedelik yang lebih pop.

Kemudian Pitahati menutup persembahan dengan pilihan lagu dari album yang baru dilancarkan bulan lalu, ‘Algoritma 432’. Tak ketinggalan, dua lagu yang lebih mesra di telinga pengikut, ‘Sahabat’ dan ‘Bintang Biru Kristal Salju’ turut dinyanyikan, menyambut permintaan berkali-kali dari peminat yang hadir.
Seperti menutup pertandingan dengan pendidikan—para peserta yang menunggu pengumuman keputusan dapat melihat bagaimana persembahan daripada kugiran dan pelagu yang matang, yang sudah kukuh identitinya, yang sepenuhnya selesa dengan haluan muzik sendiri.
Ketika acara di kemuncak, Versevil diangkat menjadi juara dan para peserta semua bergembira dengan keputusan yang diumumkan, Bahau jadi serentak psikedelik, akustik dan melankolik. Di luar, bangunan-bangunan sudah ditutup lampunya, para penghuni bandar sudah di rumah bersama keluarga, tapi ada sekumpulan manusia meraikan muzik di Garden View Hotel.

Masih terlalu awal untuk dikatakan apa-apa tetapi hasrat Zainol Haqim yang mahu muzik dihidupkan ke pelbagai pelosok, bandar atau luar bandar, boleh mula bersinar di Bahau.
Tiada apa-apa yang mahu dimegahkan kalau muzik tempatan hanya bergema di kawasan tumpuan, di ibu kota, di ibu negeri. Biarlah ia melata merebak ke pekan-pekan kecil, ke bandar-bandar yang gagal memenuhi potensi. Ke Jemapoh, ke Kuala Pilah, ke Bahau, dan ke mana saja.
Nijam or never, kata pepatah yang sesuai untuk Bahau yang bandar tak bandar, kampung tak kampung. Nijam or never, hidupkan muzik ke seluruh ceruk.
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: