Battle of the band komuniti orang Asli bakal berlangsung

Oleh DANIAL FUAD

Acara ‘battle of the band’ atau pertandingan kugiran merupakan suatu yang tidak asing lagi buat rakyat Malaysia terutamanya peminat muzik rock. Malahan, beberapa kumpulan rock sohor di Malaysia mula dikenali melalui acara ‘battle of the band’ seperti May, Ella and the Boys dan juga Bloodshed. Satu acara yang kerap dilakukan pada zaman kegemilangan ‘rock kapak’ sehinggalah kini, ia merupakan satu cara yang berkesan untuk memberi ruang kepada pemain muzik yang baharu.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Selangor Darul Ehsan bakal menganjurkan sebuah ‘battle of the band’ pada bulan September kelak. Namun terdapat sedikit kelainan kali ini, pertandingan ‘battle of the band’ yang dimaksudkan bertujuan mencari kumpulan kugiran orang Asli yang mendiami Selangor

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan, Selangor Darul Ehsan Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah

Perkara ini telah dicetuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan, Selangor Darul Ehsan Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah. Terdapat 74 buah penempatan atau Kampung Orang Asli yang masih wujud di sekitar 5 Daerah di Negeri Selangor ini jadi tentunya pertandingan ini akan menarik ramai peserta.

Ketua Biro dan NGO PEMADAM Selangor, Syahrizal Ismail

Format pertandingan

Tuan Borhan telah menyatakan terdapat dua fasa pertandingan, “program saringan akan bermula daripada 26 Ogos sehingga 4 Sep, ia bakal melibatkan lima daerah di Selangor yang mempunyai perkampungan orang Asli dan kita akan pergi ke setiap daerah untuk mencari kumpulan kugiran.” Setelah itu, 10 kumpulan kugiran terbaik bakal berentap di pertandingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 September 2023 di Auditorium Dewan Jubli Perak.

“Auditorium tersebut boleh memuatkan sehingga 1,000 orang dan kami berharap untuk memenuhinya jika boleh di antara 70% ke 80% dengan masyarakat orang Asli,” ujar Syahrizal Ismail, Ketua Biro dan NGO Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri Selangor (PEMADAM). Bakal memeriahkan pertandingan tersebut adalah Kaka Azraff yang akan membuat persembahan istimewa pada malam tersebut.

Menurut Tuan Borhan tiga juri telah ditetapkan untuk pertandingan ini, “para juri merupakan Korie Aminuddin dan Shouk Azis yang mungkin akan melihat dari segi teknikal manakala wakil daripada orang Asli juga dijemput untuk menjadi juri dari segi pemakaian, budaya, irama dan cara persembahan.”

Salah seorang juri bagi ABOTBA, Korie Aminuddin

“Selain itu juga, kita mungkin akan menjemput seorang juri tambahan daripada Asyik FM,” tambah Syahrizal lagi.

Pemenang pertama pertandingan ini bakal menerima wang tunai sejumlah RM3,500 manakala tempat kedua dan ketiga akan menerima hadiah berjumlah RM2,000 dan RM1,000. Manakala pemenang saguhati pula bakal menerima RM300 dan kesemua pemenang juga bakal menerima sijil penyertaan. “Untuk pemenang utama, kita juga merancang untuk merakamkan lagu mereka di bawah label Blackdeck Music,” ulas Syahrizal lagi.

Sokongan diterima

Asli Battle of the Band (ABOTBA) merupakan judul pertandingan ini dan telah disokong sepenuhnya oleh Rakan Strategik iaitu Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Selangor, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor, Blackdeck Music dan Pertubuhan Kebajikan Sedulur serta Rakan Media iaitu Radio TV Malaysia (RTM) dan Asyik FM.

Kaka Azraff juga bakal melakukan persembahan pada malam kemuncak ABOTBA

“Orang Asli ini terdapat banyak bakat yang terpendam dan terdapat kurang pendedahan tentang mereka. Disebabkan itulah kami yakin jika kita dapat tengahkan bakat mereka, mungkin dapat memantapkan lagi bakat sedia ada,” Syahrizal menyatakan. Perkara ini julung kalinya berlaku dan semoga program ABOTBA ini bakal menjadi mercu jaya aktiviti sihat serta positif buat masyarakat Orang Asli di Selangor Darul Ehsan.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites