Ayuh beronggeng bersama Gangsapura di DPAC

Gangsapura bakal mempersembahkan Kampung Ronggeng bermula Khamis ini di Damansara Performing Arts Center, Kuala Lumpur

Oleh DANIAL FUAD

Masyarakat Melayu memang cukup sarat dengan aneka unsur seni dan kebudayaan yang telah dipraktikkan sejak beratus tahun lagi. Salah satu unsur kesenian yang cukup masyhur dalam masyarakat Melayu adalah seni muzik. Malah seorang penulis Portugis, Duarte Barbosa telah mencatat bahawa, “orang Melayu sangat gemar akan muzik, memiliki keperibadian yang sangat penyayang dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.”

Namun begitu, muzik tradisional Melayu semakin dipinggiri orang muda akibat kemajuan teknologi dan pengaruh Barat serta Timur. Anak muda kini menganggap alat muzik seperti rebab, rebana, gong dan gambus ketinggalan zaman, ditambah pula dengan disiplin tinggi yang diperlukan untuk belajar bermain alat muzik seperti itu.

Ahli kumpulan Gangsapura

Untuk menghidupkan seni muzik tradisional, Gangsapura bakal mempersembahkan Kampung Ronggeng yang akan berlangsung dari Jun 8 hingga 11 ini. Ditubuhkan pada Oktober 2016, Gangsapura merupakan sebuah kumpulan gamelan Melayu sezaman. Gandingan Teuku Umar Ilany dan Nur Diyana Nadirah telah mewujudkan kumpulan ini dengan tujuan mempromosikan budaya Malaysia.

Diadakan di Damansara Performing Arts Center, konsert santai ini dipersembahkan untuk merapatkan jurang antara penghibur dan penonton. Ia juga bertujuan untuk mencipta pengalaman mengasyikkan yang membawa penonton ke suasana muzik berbeza.

Para penonton yang hadir akan berpakaian seperti ‘orang kampung’ dan bakal mengelilingi kumpulan tersebut ketika persembahan. Ini membolehkan pengalaman yang lebih mesra dan terhubung, di mana semua orang dapat merasai pengalaman secara dekat. Perkara ini bukanlah kali pertama buat Gangsapura, malah mereka pernah melakukan susunan ini semasa persembahan di KongsiKL yang berjudul Pengembaraan Satu Malam awal tahun ini.

Teuku Umar Ilany dan Mohamad Faliq merupakan penggubah lagu bagi persembahan ini dan mereka telah menyediakan 10 komposisi gamelan yang mengetengahkan pengalaman, kehidupan serta memori ‘orang kampung’. Ia bukan sahaja mengenai muzik – ia mengenai mewujudkan komuniti dan memupuk rasa kebersamaan dalam kalangan penonton dan penghibur. Gangsapura juga telah menjemput penyanyi muzik tradisional Azizul Haqim dan Jamilah Abu Bakar sebagai artis jemputan bagi persembahan kali ini.

Persembahan Pengembaraan Satu Malam oleh Gangsapura di KongsiKL Feb lalu

Dua jenis tiket dikeluarkan untuk persembahan kali ini, iaitu tiket Pipit yang berharga RM63. Bagi yang berminat untuk mendapatkan cenderamata untuk persembahan ini pula, bolehlah membeli tiket Enggang dengan harga RM108 yang disertakan sekali ‘lanyard’ dan kemeja-T eksklusif. Tiket boleh didapati di laman sesawang Gangsapura. Persembahan ini bakal berlangsung selama satu jam setengah daripada jam 8:30mlm – 10:00mlm di Black Box, Damansara Performing Arts Center (DPAC), Kuala Lumpur.

Dianugerahkan sebagai Persembahan Terbaik 2019 oleh Kakiseni, Gangsapura beraspirasi untuk menjadi contoh dan perintis dalam perkembangan muzik gamelan tradisional dan sezaman serta mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang bentuk seni tradisional Malaysia. Semestinya pengalaman Kampung Ronggeng ini bakal mengimbau nostalgia dan anda tidak harus lepaskan peluang yang sangat menarik ini.

Ikuti kisah menarik lain di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites