Oleh NABILA AZLAN
Adiguru yang diberikan nama Wan Midin bin Wan Majid, 77, namun mesra disapa Wan ini merupakan ketua kumpulan tradisional Kampung Gabus di Tumpat, di mana dia dan anak-anak seni lain memperjuangkan persembahan pentas Kelantan seperti Mak Yong, antara lainnya. Seorang yang berdarah seni, bapanya merupakan seorang tok dalang dalam persembahan Wayang Kulit di daerah Tumpat; datuknya bermain rebat, bapa saudaranya seorang pemuzik.
Wan bersemangat dalam ceritanya tentang awalan seni Mak Yong. Katanya, “Ia dibawa oleh orang Thai dulu ke sini, asalnya orang Patani (Selatan Thai), kemudian orang Kelantan pun ambil alih.” Cara permainan ini dipelajari dan diperkenalkan semula oleh ahli seni tempatan. “Saya kenal seni ini semasa umur 10 tahun lagi, dan dah mula ikut bukan saja persembahan Mak Yong tapi juga Manora dan Main Puteri.”
Dia mendapatkan ilmu Mak Yongnya daripada tujuh orang guru. Ceritanya, “Setiap guru ajarkan benda yang berbeza. Ada seorang yang mengajar tentang percakapan, ada lakonan atau permainan, lawak jenaka, ada pula seorang yang mengajar cara menyanyi.” Pengajaran stail seni adalah mengikut arahan guru masing-masing. “Bezanya pada lenggok, ada guru yang mengajar langkah bentuk bunga, begitulah.”
“Kita orang Mak Yong ni pula, persembahan tak pakai skrip,” katanya lagi. “Dia keluar terus dari kepala. Ini yang susahnya. Budak-budak baharu mungkin rasa lebih mudah ikut skrip sebab mereka boleh baca. Muzik ke apa ke, bergantung kepada amalan kita setiap hari. Kita bertanya kepada tok guru, tengok guna ‘kepala’ dan belajar guna hati. Kadang-kadang sambal berjalan (buat benda lain), kita bergendang, bergeduk dalam hati,” selorohnya.
Ketika umurnya 29 tahun, Wan mula mendekatkan dirinya dengan Wayang Kulit. Dalam tempoh tiga bulan setengah pada tahun 1971, dia turut berpeluang untuk menjelajahi 31 buah bandar di tanah Itali, Jerman dan Perancis dalam mempersembahkan seninya. “Duduk di tempat orang, kita mesti nak kenal negerinya,” katanya. Yakin dalam pembawaan seni tradisional ke luar negara, Wan turut dijemput untuk mempersembahkan Mak Yong, Main Puteri dan Wayang Kulit bersama kumpulannya di Singapura (Festival Kebudayaan Melayu 2013) dan Indonesia (sekitar tahun 2018 dan 2019).
Wan akui tidak ramai yang memasang minat dalam bentuk kesenian ini. Dahulu dalam mencari anak seni baharu, dia berkata, “Kami bergerak dari kampung ke kampung supaya mudah dilihat ramai, tapi sekarang tak lagi. Sepanjang usia Mak Yong di Kelantan, ramai orang muda kini dah tak kenal apa itu Mak Yong. Inilah yang membuatkan mereka tak berminat.”
“Hari ini, ada orang yang mungkin dah sampai umur 28 tahun tapi tak pernah tengok apa-apa jenis persembahan Mak Yong,” kata Wan. “Jangankan orang luar, ada juga orang Kelantan yang tak tahu juga!” Katanya, orang muda sekarang sudah tidak lagi keluar dengan cara ‘mengikut’ pergerakan persembahan seni sepertinya dahulu. Tambah pula dengan evolusi seni mengikut peredaran zaman, katanya, “Sesetengah bentuk seni dah hampir ‘habis’ (pupus) sebab tiada pengganti. Inilah masalahnya.”
“Ada orang yang cakap kepada saya, ‘Buat apa nak (belajar)?’” Katanya, lebih mudah untuk orang sekarang memasang minat kepada sesuatu yang selalu ditonton, contohnya program TV.
Kerumitan persembahan Mak Yong yang tidak difahami kebanyakan orang mungkin menjadi sebab lain bentuk seni ini kekurangan pelapisnya. Cerita Wan, “Langkah tari (penggiat seni), perjalanan, percakapannya susah tetapi harus ada dalam seni ini. Kalau tak ada semua ini, persembahan akan berubah bentuk menjadi drama.” Dari segi watak yang ditampilkan pula, dia mengulas, “Lain watak yang digunakan dalam cerita, lain pula lagu dan suara yang dikeluarkan.” Orang yang tak biasa menonton persembahan Mak Yong mungkin sukar untuk menghargai kehalusannya.
Padanya, ada beberapa perbezaan persembahan Mak Yong dahulu dan kini. Mak Yong sekarang ada yang merentasi pantang larang lama. Bila ditanya tentang caranya mengajar, kata Wan, “Dalam tempoh setahun, saya cuma ajar mereka (para pelajar sekarang) menari. Budak-budak tak boleh kita paksa, kita pun nak cuba tarik minat dia juga.” Selepas mereka arif dalam lenggok tari barulah Wan boleh ke langkah seterusnya, seperti mengajar teknik lakonan. Dia rajin membawa pelajarnya untuk menyaksikan persembahan lain dalam melatih mereka mengenali unsur-unsur seni yang ada.
“Kalau tak ada bantuan program Adiguru ini, mana kita nak cari duit? Alat muzik sahaja boleh makan beribu-ribu Ringgit. Semua barang kena beli sendiri, bina bangunan ini pun kena upah orang, bukannya sikit-sikit harganya. Nak mengajar tu boleh, tapi mungkin di rumah sajalah.”
“Di atas peluang yang diberikan untuk terlibat dalam program ini, saya boleh bina panggung, beli alat muzik, juga pakaian Mak Yong dan Main Puteri kanak-kanak. Disebabkan saya sempat bina panggung, saya pun mula mencari pelajar, yang sekarang ini saya gelarkan sebagai cucu-cucu saya sendiri,” katanya. “Saya mempunyai tiga orang ‘cucu’ yang selama ini susah saya dapatkan kerana kepayahan dalam melibatkan diri atas sebab lokasi yang jauh, selain masalah kelolaan.”
Wan Midin Wan Majid merupakan penerima dana Adiguru CENDANA fasa pertama dalam seni Mak Yong. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: