Adiguru CENDANA: Hamzah Bin Yusoff

Pak Jah Gelang Emas — nama yang tidak asing lagi untuk penduduk di Kampung Bonggol kerana kepakarannya bermain alatan muzik tradisional Negeri Kelantan. Berikut merupakan isi temu ramah Adiguru CENDANA yang pernah membuat persembahan muzik tradisional di sekitar Eropah ini.

Oleh AZUWAN AHMAD

Pak Jah Gelang Emas atau nama sebenarnya Hamzah Bin Yusoff berasal dari Kampung Bonggol, Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan. Negeri Kelantan memang dikenali sebagai sebuah negeri yang masyhur dalam permainan dan perubatan tradisional seperti Main Puteri, Mak Yong, Menora, Dikir Barat dan Wayang Kulit. 

Pak Jah mula melibatkan dirinya dengan dengan seni tradisional sejak usia yang kecil lagi. Ketika dia berumur 8 tahun, dia sudah mula belajar tradisi Silat Jawi daripada adiguru silat Allahyarham Mustaffa Ali yang lebih mesra dipanggil Tok Pa atau Pak Su Omar. Pada usia 18 tahun, dia sudah pun menguasai alatan muzik tradisional rebana ibu yang digunakan dalam permainan Dikir Barat. 

Alat muzik traditional yang menjadi ‘makanan’ Pak Jah

Pada tahun 1970, dia mula belajar seni alat pergendangan Melayu Kelantan yang lain iaitu gendang Dikir Barat, gendang Main Puteri, Wayang Kulit dan gendang Mak Yong. Dia menuntut ilmu seni pergendangan ini daripada dua orang guru utama iaitu Pok Teh Loh dan Pok Su Seleman. Proses berguru ini mengambil masa sekitar lima tahun sebelum Pak Jah benar-benar mahir. Tahun 1975 menjadi tahun yang manis baginya kerana pada tahun itulah dia membuat alat muziknya sendiri buat pertama kali iaitu tamborin ibu dikir barat melalui proses belajar sendiri.

Dalam bercerita mengenai detik pertama itu, dia percaya bahawa minat dalam jiwa memang memainkan peranan yang sangat penting. “Kalau pengalaman seni sudah ada dalam diri kita, kita tak akan mengalah. Pak Jah bertanya dengan diri sendiri, kenapa orang lain boleh buat, kita tak boleh buat? Pak Jah berpegang pada prinsip itu,” katanya dengan semangat.

Pada masa yang sama, dia juga telah belajar untuk membuat alatan muzik yang lain seperti canang, gendang silat, gedombak, geduk dan marakas daripada seorang lagi guru iaitu Wak Isa dari Kampung Morak di Wakaf Bharu, Kelantan.  

Pak Jah selalu tenang mengemudi kumpulan muziknya

Pak Jah ditanya, adakah biasa jika ahli muzik tradisional bermain dengan kumpulan-kumpulan lain selain daripada kumpulan yang biasa dia bermain? Mengambil contoh pemain gong, dia mengatakan bahawa jika sesuatu kumpulan itu tidak biasa dengan permainan pemain gong tersebut, besar kebarangkaliannya pemain gong itu tidak akan dapat beraksi dengan baik.

“Dia tak serupa. Aliran yang lain. Kalau kita hayati setiap pukulan itu ada not ‘hujung’ dan ‘jatuh’nya. Para penari bergantung kepada gendang dan gong bagi menyesuaikan langkah tarinya. Kalau tidak, mereka akan panik dan tak boleh menari,” jelas Pak Jah; begitu juga dengan muzik yang mengiringi seni persembahan silat. Kata Adiguru ini, harus ada persefahaman antara muzik dan pesilat ketika persembahan. Jika pesilat langkahnya lebih cepat, maka rentak muzik yang mengiringinya juga harus cepat. Keserasian adalah elemen yang sangat penting kerana muzik yang mengiringi silat lebih sukar berbanding muzik yang mengiringi persembahan Mak Yong atau Main Puteri. 

Adiguru CENDANA ini telah melakukan persembahan di dalam dan luar negara seperti Perancis, Itali, Turkiye, Jordan dan Singapura. Pak Jah juga pernah dijemput sebagai pemuzik jemputan oleh Datuk Ramli Ibrahim dan artis kebangsaan, Allahyarham Pak Hamzah sebagai konduktor muzik bagi Simfoni Orkestra Negeri Kelantan di sekitar Kuala Lumpur dan Universiti Malaya. Dia boleh memainkan pelbagai jenis alat muzik tradisional Kelantan yang ada di Malaysia seperti Wayang Kulit Kelantan, Mak Yong, Dikir Barat, Manora dan Rebana Ubi. Bagi Pak Jah, muzik tradisional adalah hak dan identiti kita, maka dengan sebab itu dia berhasrat untuk terus melatih bukan sahaja pelajar universiti tetapi anak cucunya yang menunjukkan minat supaya mereka dapat mengetahui lebih lanjut tentang muzik ini secara teori dan praktikal. 

Pelajar-pelajar Pak Jah mahir bermain pelbagai alat muzik tradisional termasuk gendang, serunai dan juga dalam persembahan silat Jawi. Pak Jah juga pernah diberi kepercayaan untuk mengajar kumpulan pelajar bermain alat muzik seperti serunai contohnya di Duyung, Melaka di mana dia diminta untuk mengajar 30 orang pelajar. Menurut pemain muzik tradisional yang penuh pengalaman ini, ada sesetengah orang yang mudah belajar dan diajar, dan ada pula sesetengah orang yang sedikit sukar. 

Pak Jah percaya bahawa bermain muzik adalah mengenai rasa yang dalam.

Ketika temu ramah ini dijalankan, program Adiguru ini sudah berlangsung selama lapan bulan. “Lapan bulan tak cukup. Tapi dalam permainan ini, asas kena kuat. Kalau asas kuat akan jadi baik. Kalau kita tengok mereka berjaya, kita pun jadi puas dan segala penat kita dirasakan berbaloi,” ujar Pak Jah. 

Bagi program ini, seramai empat orang iaitu seorang perempuan dan tiga orang lelaki berada di bawah tunjuk ajar dan bimbingan Pak Jah. Pelajar-pelajar ini ditunjukkan cara yang betul dalam bergendang dan bermain alat muzik tradisional serta diberikan perhatian khusus oleh Pak Jah yang tidak lokek memberikan ilmunya. “Memang kadang-kadang kalau kita lepaskan mereka bermain, mereka akan jadi panik sedikitlah, tapi itu biasa dalam berguru. Saya selalu mengatakan bahawa jangan takut dan sentiasa mempunyai keyakinan dalam bermain,” katanya.

Hamzah Bin Yusoff merupakan penerima dana Adiguru CENDANA fasa kedua dalam seni muzik tradisional. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites