Adakah kita ‘Masharakat Chantek’ atau kecantikan kita hanya pada nama?

Penulis bersama Rosli Ibrahim, seorang OKU penglihatan dan penulis buku 'Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU' dalam menceritakan serba sedikit berkenaan karya terbaharunya.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Apakah yang terlintas di benak fikiran kita apabila kita berbicara mengenai sebuah masyarakat yang ‘cantik’? Adakah kita akan memikirkan tentang sebuah masyarakat yang sempurna tanpa cacat cela atau sebuah masyarakat yang begitu hebat sehingga mampu menyisihkan orang yang tidak sama taraf dengan mereka? Apakah maksud di sebalik ejaan lama yang diguna pakai oleh penulis, Rosli Ibrahim dalam karya terbaharunya, Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU? Walaupun buta di mata, Rosli Ibrahim merupakan seorang manusia yang cukup hebat dan mempunyai mata hati dan intelek yang cukup tajam.

“Daripada sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an, hampir 30 buah filem Melayu berkisarkan tema Orang Kurang Upaya (OKU). Saya memang dalam proses untuk menulis buku mengenai tajuk itu, lagipun tak ada lagi yang menulisnya jadi tidak mengapa, saya buatlah,” katanya. Pada Rosli, menulis dan menghasilkan sebuah karya seni itu ‘menyakitkan’, sebab itulah sebuah karya seni itu mahal. “Kita seolah-olah membakar diri kita untuk menghasilkan sebuah benda yang baharu,” tambahnya. Rosli turut memberi contoh sebuah keris yang diperbuat daripada besi dan perlu melalui proses penempaan selama beberapa kali. “Selepas melalui proses ini berkali-kali, barulah ia dapat menjadi sebuah keris yang hebat, begitulah juga karya seni.” 

Dalam bicara bersama penulis, Rosli turut menyampaikan kekecewaannya terhadap generasi sekarang yang baginya, tidak memanfaatkan sepenuh pemikiran dan kemahiran kendiri dalam menghasilkan sebuah karya seni yang agung kerana terlampau bergantung harap kepada teknologi. Baginya, nilai-nilai kreativiti telah banyak terhapus, ditelan oleh arus pemodenan dan teknologi dunia hari ini. “Seorang pengkarya perlu mempunyai jiwa yang halus kerana dari situlah datangnya seni,” katanya.

Oleh sebab itu, Rosli tidak hairan apabila ramai rakan-rakannya dalam dunia seni dan perfileman tidak dapat menterjemahkan maksud di sebalik frasa kataMasharakat Chantek’ seperti yang ada di dalam filem agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu Sumpah Orang Minyak. Sedangkan bagi dirinya, Masharakat Chantek’ ini frasa yang besar. Katanya, “Frasa itulah yang membentuk naratif sepanjang filem tersebut dan sebab itulah karya P. Ramlee mampu untuk hidup beratus tahun atau mungkin seribu tahun.” 

Lontaran soalan cepumas Rosli: “Tanya pada orang seni, adakah mereka membaca buku falsafah atau agama?”

Bagi Rosli juga, sebuah karya seni atau sebuah penulisan haruslah mempunyai fungsi sosial, iaitu pengajaran atau maklumat yang ingin disampaikan kepada masyarakat. “Seni itu perlu membentuk jiwa sebuah masyarakat,” luah Rosli dengan cukup bersemangat. Namun pada pendapat dirinya sendiri, apa yang dapat kita lihat hari ini adalah sebaliknya kerana ramai yang sekadar mengejar nilai pulangan yang bakal diterima dan bukan lagi nilai positif yang boleh disebarkan oleh sesebuah karya itu sendiri. 

Berpindah pula kepada soal sastera dan penulisan, dia menggambarkan sastera sebagai sejenis punca kuasa. Merasakan sastera sebagai sesuatu yang amat penting, Rosli menambah, “Melalui bahasa, kita dapat membentuk fikiran kita dan melalui bahasa jugalah, kita dapat membentuk fikiran orang lain.” Pada hematnya, bahayalah jika sesebuah masyarakat itu tidak mempunyai kekuatan bahasa. Dia kesal akan sikap segelintir masyarakat yang sudah tidak lagi minat membaca dan menulis. Malangnya juga, ramai antara penggiat seni kita pada hari ini tidak akan dapat memberitahu bahawa mereka telah banyak membaca dan pada Rosli, inilah penyebab utama karya-karya pada hari ini sudah tidak berkualiti. 

Buku Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU ini mengupas dengan mendalam persepsi dan tindak-tanduk masyarakat kita pada hari ini dan juga pada tempoh awal peradaban manusia. Tulisnya, masyarakat secara umumnya lebih pentingkan diri sendiri; mudah memandang enteng terhadap mereka yang kurang bernasib baik dan juga merasakan bahawa diri merekalah ciptaan yang terbaik. “Saya memberikan sebuah latar yang panjang. Sejak zaman dahulu lagi, contohnya zaman kehidupan ahli falsafah hebat seperti Aristotle dan Plato, masyarakat Yunani (Greek) menyisihkan OKU dengan cara mengembirikan anak-anak yang dilahirkan sebagai buta, pekak, bisu dan sebagainya supaya mereka tidak melahirkan anak yang cacat,” kongsi Rosli.

“Hal ini tidak berakhir di situ sahaja. Pada abad ke-20 melalui projek eugenik, Adolf Hitler pula mengurung dan membunuh ribuan atau jutaan anak OKU untuk menghapuskan golongan ini daripada sebuah masyarakat,” tambah Rosli. Terang beliau, enigma penyisihan OKU ini wujud sejak azali lagi dan bukanlah sesuatu perkara yang baharu. Masyarakat secara umum tidak sama sekali mahu dikaitkan dengan golongan kurang upaya ini. Dalam masyarakat Melayu, wujud pula sebuah tabu yang mengatakan kepada wanita yang mengandung untuk tidak sesekali mendekati orang yang cacat kerana dikhuatiri anak yang dikandung itu juga akan mengalami perkara yang sama.

“Sebenarnya, OKU atau saya sebutkan sebagai Orang Kurang Upaya ini adalah satu perkara yang menakutkan bagi kebanyakan orang, sedangkan dalam hidup ini kita memang akan melalui suatu fasa di mana kita sendiri akan menjadi kurang upaya,” kata Rosli. Tambah beliau, adakah kita ini memang kalis kemalangan ataupun menjadi orang tua? Adakah kita akan sihat dan muda sentiasa? “Manusia terikat dan sentiasa dihantui oleh bayangan tibanya hari tua, hari apabila kita susah dan gagal,” katanya, dan pada dia, inilah yang menjadikan ramai orang secara tidak sedar menyisihkan golongan OKU daripada golongan umum yang lain. 

Jadi, benarkah masyarakat kita pada hari ini sebuah masyarakat yang cantik atau adakah kita cantik pada nama sahaja? Kita mungkin mengeluarkan sekadar lip service untuk menggambarkan sebuah identiti yang sempurna dan indah, padahal kita mempunyai hati dan nurani yang busuk dan hina. Adakah kita semakin maju dari segi pemikiran dan peradaban kita berbanding zaman dahulu, dan jika benar, mengapakah perkara ini semakin menjadi-jadi? Tepuk dada, tanyalah selera sama ada kita ini benar-benar sebuah masyarakat yang inklusif dan berlapang dada dalam menerima semua lapisan masyarakat. Adakah kita hanya menerima mereka yang sama dengan kita, cuma mereka yang mampu memberikan manfaat pada kita? 

Bagi anda yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam apakah yang dikupas oleh Rosli Ibrahim dalam karya terbaharu beliau ini, dapatkan buku Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU di pasaran sekarang

Ikuti kisah menarik yang lain di laman BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites