Abdul Shakir: Belalang Menuju Kematangan

Oleh DANIAL FUAD

Menongkat motor seusai sampai ke perkarangan White Studio di Hulu Langat, panas mencengkam kepala, melulu aku masuk ke kawasan tamu studio Abang Bus (Bustamam Mokhtar) ini. Disapa dengan sosok yang cukup dikenali iaitu Abdul Shakir Abu Samah, dia merupakan Bintang BASKL kesembilan yang menghiasi laman sesawang kami.

Sedang sibuk bersembang tentang kegiatan masing-masing, seorang lagi penulis, Nabila pun melangkah masuk, maka bermulalah sesi temu ramah kami. Shakir merupakan seorang seniman visual yang fasih dalam pemetaan cahaya, sejenis media baharu dalam cakupan seni visual.

Permulaan

“Saya sememangnya ingin menjadi seniman semenjak kecil lagi di mana saya sering meluangkan masa di tempat seperti Pasar Seni. Melihat gaya hidup seniman di sana, saya anggapkan menjadi seniman ini sangat cool,” ujar Shakir.

Tambahnya lagi, “Ibu-bapa saya juga sangat mendorong saya dalam seni di mana mereka telah menghantar saya ke kelas lukisan dakwat Cina serta mendaftarkan saya ke pertandingan lukisan dan mewarna.”

Namun begitu, realiti sememangnya tidak seindah imaginasi; dia sedar bahawa menjadi seorang seniman merupakan satu kerjaya yang sukar terutamanya di Malaysia ini. Dia menyatakan lagi, “Stigma terhadap pembelajaran seni ini hanyalah untuk pelajar kurang pandai juga tebal pada masa itu, jadi saya menukar matlamat saya daripada menjadi seorang seniman kepada pengamal kreatif profesional di mana saya bercita-cita menjadi arkitek.”

Dunia komersial

“Saya belajar rekaan grafik ketika di sekolah menengah dan telah menyambung pelajaran sehingga peringkat Ijazah Sarjana di Limkokwing University di bawah jurusan Multimedia Kreatif,” tambahnya lagi. Sejurus tamat ijazah, Shakir telah masuk ke dunia komersial di mana dia bekerja dengan sebuah agensi pengiklanan. Di sana dia belajar cara-cara mengendali muzik video eksperimental serta penghasilan karya audio visual.

Walaupun kini sudah bekerja, keghairahan untuk menjadi seniman itu masih berkobar-kobar dalam diri Shakir. “Terdapat perbezaan dalam penghasilan seni dan juga rekaan di mana yang kedua itu lebih menumpukan dalam penyelesaian masalah manakala penghasilan seni adalah lebih tertumpu kepada meluahkan emosi dan menyampaikan cerita,” nyata Shakir.

“Saya menyedari bahawa bekerja dengan agensi tidak memuaskan jiwa saya dek perlu mengikuti apa yang klien mahukan; menjadikan tiada ekspresi diri dalam hasil karya,” ujar Shakir. Dari situlah dia bersama-sama Fariz Hanapiah mengasaskan FILAMEN, sebuah kolektif yang tertumpu kepada media baharu. Tambahnya lagi, “Secara asas, kolektif ini ditubuhkan untuk mengumpulkan pelbagai kemahiran bersama-sama untuk menghasilkan sesuatu yang hebat.”

Permulaan FILAMEN

Projek sulung mereka berlangsung pada tahun 2017 dimana FILAMEN telah bekerjasama dengan Urbanscapes dengan mempamerkan tiga buah karya. In Between, Paras Bunyi dan Berkhayal di Kuala Lumpur merupakan karya debut FILAMEN yang dipamerkan di 2 Hang Kasturi.

Semenjak dari itu, FILAMEN semakin dikenali di mana ramai para seniman telah menghampiri mereka untuk bekerjasama. “Perkara seperti Alternate Reality (AR), Virtual Reality (VR) serta pemetaan cahaya ini sering digunakan dalam konteks komersial kerana harga peralatan yang tinggi; bukan sesuatu yang mampu oleh seorang seniman. Jadi, jalinan kerjasama adalah sangat penting bagi seniman yang ingin menggunakan medium ini dalam pengkaryaan,” ujar Shakir.

“Idea teras bagi kewujudan FILAMEN ada di dalam kebebasan untuk meluahkan diri. Biasanya, ramai yang bekerja dalam bidang komersial harus mematuhi visi klien dan tidak bebas bersuara. Jadi, FILAMEN diharapkan untuk menjadi ruang penghasilan karya dalam meluahkan apa sahaja yang ingin disampaikan,” luah Shakir.

Kini, FILAMEN mempunyai dua buah galeri digital (Digital Art Gallery); sebuah terletak di Kedai KL, manakala sebuah lagi di Muzium Telekom.

Bergerak sebagai Grasshopper

Secara kebiasaannya, para seniman akan menghasilkan kolektif untuk pergi lebih jauh berbanding berseorangan. Namun begitu, hal ini terbalik bagi Shakir kerana dia memulakan kolektif terlebih dahulu sebelum bergerak sebagai seniman individu. “Setelah sekian lama bergerak di bawah FILAMEN, orang mula bertanya, di manakah karya saya sebagai seorang individu? Dari situlah saya mula menghasilkan karya sendiri di bawah nama Grasshopper,” Shakir menyatakan.

Tambahnya lagi, “Saya mendapat gelaran Grasshopper ini ketika saya pernah bekerja bersama sebuah agensi semasa cuti semester. Bos saya yang merupakan seorang Inggeris memanggil saya dengan nama itu, merujuk kepada sebuah cerita Kung Fu lama. Ini disebabkan saya agak muda ketika menyertai agensi itu.”

Perjalanan sebagai Grasshopper bergerak secara lebih agresif ketika pandemik yang melanda dunia pada tahun 2020. Dia juga merasakan penting untuk menceburi bidang sebagai seniman kerana FILAMEN diasaskan untuk membantu seniman. “Bolehkah saya memahami kegetiran seniman jika saya bukan seorang seniman?” tanya Shakir.

Naratif Motif Serantau

Bagi membezakan dirinya dengan lautan seniman media baharu yang ada, Shakir memilih untuk membawa naratif kebudayaan serantau dalam karyanya melalui motif tradisional. “Ketika belajar, saya sering didedahkan dengan pereka luar negara seperti di United Kingdom atau pun Amerika Syarikat. Jadi, telah diterapkan di dalam minda bahawa pereka yang bagus datang dari luar negara, sehingga kita lupa bahawa bakat tempatan dan serantau juga merupakan saingan yang hebat,” ujar Shakir.

“Ibu saya sering menceritakan kepada saya ketika kecil tentang motif tempatan yang ada seperti Awan Larat dan juga Itik Pulang Petang. Ini membuatkan saya terfikir, mengapakah kita hanya menggunakan semula corak yang ada tanpa menghasilkan yang baru?” tanya Shakir.

Untuk menjawab soalan tersebut, Shakir telah mengkaji motif-motif yang ada dan salah satu ikhtiarnya adalah dengan meluangkan masa seminggu di Kelantan untuk mempelajari motif dan teknik mereka dihasilkan.

Seperti contoh, karya Cendayam oleh Shakir yang dipamerkan di Kapallorek Artspace pada tahun 2022 menggabungkan ketukangan Melayu serta seni kolam India. Ini menunjukkan kematangannya dalam kajian budaya serantau. “Semakin banyak saya mendalami naratif budaya serantau kita, semakin saya sedar bahawa terdapat cara untuk saya menonjolkan diri berbanding seniman Barat,” tambahnya lagi.

Karya-karyanya juga cukup sarat dengan warna dan menurutnya, “Saya memang suka semua warna dan jika ditanya tentang warna kegemaran saya, saya tidak dapat menjawabnya!”

Menuju kematangan

Untuk tahun 2024, Shakir mempunyai beberapa projek yang sudah dirancang buat Grasshopper dan FILAMEN. Shakir memaklumkan, “Sebagai individu, saya ingin mencabar diri sendiri, dan meneroka idea tentang situasi kebudayaan kita pada masa hadapan. Untuk FILAMEN pula, kami sudah mula merancang untuk mengadakan IMMERSIO sekali lagi. Selain itu, kami juga akan mengadakan pertandingan pemetaan cahaya, kesinambungan daripada tahun lepas di MaTiC serta satu lagi acara audio visual dalam tahun ini.”

Usaha yang dilakukan oleh Shakir melalui FILAMEN sangatlah murni dalam menghidupkan latar seni Malaysia terutamanya dalam arena media baharu. Kini, terdapat juga beberapa program pemetaan cahaya lain yang berlangsung seperti REXPERIENCE serta LAMPU yang telah berlangsung selama tujuh tahun. Latar media baharu makin rancak dan kini Belalang semakin matang.

DI SEBALIK TABIR BINTANG BASKL

Bintang BASKL: Abdul Shakir

Penyelaras & Penata Gaya: Shah Shamshiri

Teks Bahasa Malaysia: Danial Fuad

Dandanan & Solekan: Chandra Shegar

Busana: Mashup Asia & Vinice Chia

Jurugambar & Arahan Seni: Bustamam Mokhtar, White Studio

Lokasi: White Studio, Sungai Lui, Hulu Langat

Rekaletak Sampul Digital: Daniel Halim

Ikuti kisah Bintang BASKL yang lain melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites