Pendekatan yang unik lagi segar, ‘Konsert Zikir Dikir’ bakal menyaksikan kolaborasi penyanyi-komposer genre nasyid, Hafiz Hamidun dengan penggiat seni dikir barat, Halim Yazid pada bulan Mei ini di Terengganu!
Oleh NABILA AZLAN
Sebuah konsert yang menggabungkan irama kerohanian dan kebudayaan, Konsert Zikir Dikir yang dibawa oleh Arteffects Sdn Bhd akan mengetengahkan gabungan unik zikir dan dikir barat! Dengan persembahan kira-kira 15 buah lagu selama dua jam setengah, konsert yang akan diadakan pada hari Jumaat, 3 Mei 2024 ini akan membawa gema persembahannya yang tersendiri di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Artis selaku Pengarah Urusan Arteffects, Hafiz Hamidun yang sinonim dengan konsep zikir terapi berkata, “Pada awalnya, kumpulan produksi kami bercadang untuk mengadakan acara ini di Kelantan. Namun dengan beberapa perubahan yang tidak dapat dielakkan serta kekangan masa, tidak salah sekiranya kita bawa konsert ini ke Terengganu. Orang Kelantan, Pahang pun boleh datang, kebetulan hari konsert merupakan hari terakhir dalam bulan Syawal. Orang Pantai Timur kalau beraya, boleh sampai 30 hari!”
“Konsert ini mempunyai tiga pecahan iaitu kerohanian, kebudayaan dan yang ketiga – yang paling dinanti-nantikan, adalah gabungan kedua-dua zikir dan dikir. Saya janjikan persembahan yang terbaik oleh para penggiat seni terbaik Malaysia. Saya cuba untuk memberikan hiburan yang seimbang supaya masyarakat kita mempunyai hiburan yang berkualiti dan bermanfaat.”
Hafiz Hamidun
Bersamanya nanti adalah seorang yang tidak asing lagi dalam arena dikir barat iaitu Halim Yazid. Suatu rencah yang menarik untuk ditambah ke dalam pakej persembahan ini, beliau yang dikenali dengan lagu Anak Tupai akan tampil dengan kumpulan Dikir Barat Seri Tok Kaya. Menurut penggiat legenda itu, dia tidak keberatan langsung untuk menerima ajakan Hafiz untuk bersama-samanya di dalam konsert ini. Konsep yang jarang-jarang timbul ini mengangkat dan menghargai seni dikir dalam cara yang baharu.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Hafiz kerana memberikan kepercayaan kepada saya,” buka Halim dalam ucapan ringkasnya. “Peluang ini sangat besar dan pertama kali saya menerima sesuatu sepertinya, kerana bagi saya, sebelum ini dikir barat seakan-akan bukan sebahagian daripada muzik yang mendapat tempat dalam industri. Rezeki saya, bila mengeluarkan lagu, ia diterima bukan sahaja dalam kalangan orang Kelantan, seperti yang kita lihat dengan lagu Anak Tupai.”
“Bila ditanya apakah kenangan yang tidak dapat saya lupakan sepanjang pengalaman saya berdikir, saya ada tiga [momen besar]. Ini bakal menjadi yang keempat.”
Halim Yazid
Halim Yazid mengenang kembali peristiwa yang membanggakannya sebagai seorang anak seni dikir barat. “Pertama, seorang penerbit stesen TV menerbangkankan saya ke Amerika Syarikat untuk membawa dikir barat ke sana dan saya amat bersyukur. Saya tidak pernah terfikir untuk dapat menjelajah sebahagian daripada negara tersebut. Kedua, saya pernah dijemput untuk mengadakan persembahan sempena pertabalan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong. Tidak pernah dalam sejarah yang saya ketahui, dikir barat turut serta dalam majlis kedua terpenting istiadat tersebut, iaitu makan malam usai pertabalan. Yang ketiga, atas permintaan peminat yang tidak puas mendengar lagu saya di YouTube, saya bertindak menghimpunkan [73] lagu-lagu saya di dalam 150 buah pemacu pena (pendrive) untuk dijual. Jutawan hartanah, Azlan Al Amin yang meminta untuk membelinya datang untuk mengambilnya sendiri di kediaman saya di Salak Tinggi; bertemu dengan saya selepas turun dari helikopternya. Video saya menerusi Facebook Live tular, dengan lebih 2 juta tontonan!” Ketiga-tiga kenangan ini berjaya meningkatkan penghargaan peminat kepada seni dikir barat.
Harapan penghibur berusia 64 tahun itu menerusi kolaborasi ini, “Kerja ini membawa keberkatan, ia mampu memulakan suatu benda yang baharu [untuk membuka lembaran rezeki lain pula].”
Konsert yang bakal berlangsung pada 3 Mei 2024 ini turut menampilkan Aiman Sidek dan Halim Ahmad.
Konsert Zikir Dikir anjuran Arteffects merupakan salah sebuah persembahan yang menerima sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Digital.
Harga tiket Konsert Zikir Dikir adalah RM 58 – RM 258. Dapatkan tiket anda melalui laman sesawang zikirdikir.com.
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: