Berbicara mengenai fesyen, kolaborasi dan pentingnya sistem sokongan yang kuat dalam industri tempatan, kami menemui pelopor jenama CalaQisya, Olloum dan TudungPeople di acara mereka yang digelar ‘Destinasi Super T’ di The Starhill, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Oleh NABILA AZLAN
BASKL sempat menemui wajah-wajah peneraju jenama fesyen sopan atau modest fashion yang seakan-akan sudah menjadi jenama harian buat sebahagian daripada kita di Malaysia. Melalui pengasas dan barisan minda kreatif Fazrena Aziz (TudungPeople), Yana Khairuddin, Azrina Khairuddin, Farah Khairuddin (CalaQisya) dan Sumayyah Nasaruddin (Olloum), kami sedikit sebanyak dapat memahami usaha di sebalik membina jenama yang dipercayai ramai. Sebagai sebuah negara yang majoritinya beragama Islam, tidak dapat disangkal lagi kepentingan dan kebolehpasaran jenama fesyen berkisarkan corak dan fungsi yang menyenangkan dan menggambarkan kehidupan moden seorang Muslim.
Dikenali dengan rekaan versatil dalam bentuk pakaian, tudung, serta pelbagai aksesori gaya hidup lain, kami menemui mereka di acara Destinasi Super T, sebuah acara gabungan jenama mereka bersama Asal Lelaki (juga milik Yana Khairuddin dengan suaminya Hazwan Faiz) dan jenama kecantikan CUURA (milik Sarah Shah Nor).
Destinasi Super T (22 Feb – 3 Mac 2024) yang menggamit kebanggaan jenama fesyen, kecantikan dan gaya hidup Malaysia membawa tema ‘Bougie Kampung’ sesuai dengan personaliti mereka yang santai, ramah dan suka melancong! Acara yang mendekatkan pengasas jenama-jenama ini dengan para peminat dan pembeli dalam masa yang sama mengetengahkan produk baharu dan ikonik mereka sempena meraikan kedatangan bulan Ramadan dan Syawal yang menjelang kelak.
Lahirnya hubungan akrab ‘usahawanita’ yang mula rapat melalui percutian mereka ke Seoul, Korea ini atas semangat mereka untuk membuktikan bahawa wanita boleh berjaya dalam dunia keusahawanan sambil menguruskan tanggungjawab sebagai ibu dan suri rumah tangga.
“Nama Super T lahir daripada jenaka dalam kumpulan kami yang ‘meminjam’ nama kumpulan muzik dari Korea iaitu SuperM. Saya katakan kepada mereka, kalau mereka digelar SuperM, kita mestilah Super T – super tua!”
Fazrena Aziz, pengasas TudungPeople (34)
Persahabatan dan kolaborasi seindustri
Olloum dibangunkan dengan cogan kata ‘THINK. URBAN. MUSLIM’ oleh Sumayyah Nasaruddin yang sebelum ini membangunkan jenama fesyen yang lebih feminin, dengan produk seperti skirt dan dress. Sumi, seorang yang aktif bersukan, berazam untuk mengeluarkan produk jenama aktif yang boleh dipakai oleh dirinya sendiri. Sebagai wanita Muslim yang menitikberatkan kesihatan, keseronokan bersukan dan penampilan sopan, dia menggalakkan aliran ilmu yang sesuai dengan
“Persahabatan ini terjalin secara semula jadi,” kata Fazrena. Ia disambut oleh Sarah yang mengatakan, “[Walaupun setiap daripada kami usahawan] kami utamakan hubungan kami sebagai sahabat.”
Walaupun cetusan idea acara ini bukanlah baharu, Destinasi Super T mengambil masa sebulan untuk disusun atur! Menurut Sarah Shah Nor, “Kami (CUURA) mendirikan kedai popup kami di sini (The Starhill) pada tahun lepas dan sejak itu, pengurusan pusat beli belah ini bertanya saya jika saya berminat untuk mengadakannya lagi dalam skala yang lebih besar. Saya fikir, tiada yang lebih baik daripada mengadakan acara sebegitu bersama rakan-rakan saya secara kolektif. Kami dalam industri yang sama tetapi perwatakan [jenama] kami amat berbeza. Inilah cara terbaik kami untuk tampil dalam cara masing-masing, ditambah pula dengan latar belakang lokasi yang penuh prestij.”
Sumayyah yang mesra digelar Sumi, membuka cerita, “[Sebagai orang baharu] Saya sebenarnya kagum melihat Sarah dan adik beradik CalaQisya dalam cara mereka mengurus perniagaan, pekerja dan falsafah rekaan mereka yang mesra syariah,” dan inilah yang merapatkan jurang di antara mereka. Ini merupakan kali pertama jenama aktifnya Olloum berkolaborasi dengan jenama fesyen dan kecantikan yang selama ini menjadi inspirasi buatnya.
“Sukar sebenarnya untuk menjalinkan persahabatan dalam suasana berbisnes,” kata Yana Khairuddin. Fazrena menambah, “Kami berenam, masing-masing peniaga wanita, mempunyai pengalaman yang lebih kurang. Kedudukan dan cabaran kami sebagai wanita yang juga pengasas jenama adalah faktor yang merapatkan. Bukan senang untuk beberapa orang berkongsi kepercayaan dan platform yang serupa, lagi-lagi untuk meletakkan enam orang ‘lady bosses’ dalam ruang yang sama!”
Pengiktirafan yang menyegarkan
TudungPeople meletakkan tumpuan khusus kepada pembinaan komuniti jenama. Bangga dengan keluaran tudung yang sesuai untuk semua peringkat umur, kerjaya dan tujuan, ia mengorak langkah sebagai jenama yang mengutamakan kelestarian (misalnya melalui rekaan fabrik mesra alam seperti tencel dan buluh) dan diversiti (mengeluarkan tudung sebagai kolaborasi dengan Majlis Sukan Negara, juga Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon).
Mengikut Fazrena, waktu ini merupakan waktu yang paling sibuk buat dirinya, juga buat rakan-rakannya yang seindustri. Semakin kita menghampiri perayaan besar, dalam contoh ini bulan Ramadan yang menjelang dan Hari Raya yang bakal menyusul, jenama fesyen rata-ratanya bertungkus lumus untuk mengeluarkan produk mereka yang terbaharu, sesuai dengan semangat hari perayaan dan meraikan kepelbagaian kreativiti.
Tambahnya, menerusi pemerhatiannya, “Kebelakangan ini, pembeli mula menzahirkan minat yang lebih terhadap jenama tempatan. Isu-isu semasa yang terjadi menyebabkan para pembeli menukarkan tumpuan mereka daripada jenama antarabangsa semata-mata dan mula menyokong produk tempatan dan kami sebagai pengusaha, amat bersyukur.”
Kata Fazrena lagi, “Ada bermacam-macam jenis produk yang dibangunkan oleh pengusaha tempatan. Tambah-tambah lagi dengan sokongan pelanggan yang percaya dengan [kualiti dan inovasi] produk kami, yang percaya dengan pembelian lokal, amat membantu.”
Sulaman inovasi dalam keusahawanan
CalaQisya adalah buah minda Yana Khairuddin yang dikembangkan bersama suaminya, Hazwan Faiz sejak tahun 2008 sewaktu jenama fesyen Muslimah masih kurang bercambah. Mudah digambarkan melalui cogan katanya ‘As comfy as clothes can get’, rekaan CalaQisya mengutamakan praktikaliti dan keselesaan dalam menjalani gaya hidup moden. Bersama Farah Khairuddin dan Azrina Khairuddin, jenama ini berinovasi menerusi revolusi penggunaan fabrik senang-urus (low maintenance), selain motif dan kolaborasi antarabangsa yang malar hijau.
“Koleksi yang kami bawakan istimewa untuk ibu, bapa dan anak – semuanya sangat selesa. Kami di CalaQisya menyediakan produk yang mesra cuaca Malaysia.”
Yana Khairuddin, pengasas bersama CalaQisya (37)
Keistimewaan jenama-jenama ini tidak hanya terletak pada coraknya semata-mata tetapi fabrik yang diguna pakai, kemudahan yang datang dengan penggayaan dan penyimpanan serta nilai versatil yang dibawa.
“Inovasi itu sendiri seakan sebahagian daripada darah daging kami,” kongsi Fazrena. TudungPeople mengeluarkan secara puratanya satu rekaan baharu setiap minggu, ada kalanya produk baharu dikeluarkan dua atau tiga kali dalam seminggu. “Kami selalu melawati soalan seperti ‘Apakah penggunaan [bahan] yang lebih baik?’ ‘Apakah senarai produk yang pelanggan minati?’ Kami mendengar cadangan pelanggan kami dan adalah sangat rapat dengan mereka. Kami tidak asing dengan komuniti hijabi tempatan dan tidak takut untuk berinovasi,” katanya. “Objektif kami adalah untuk sentiasa cuba menyenangkan sebanyak mungkin golongan pemakai hijab, merealisasikan pemakaiannya sebagai keperluan harian [dan bukan hanya pembelian fesyen].”
“Saya membesar bersama-sama jenama saya,” cerita Fazrena, “Dari usia muda, seorang yang bekerja, kini saya seorang ibu. Dalam setiap peringkat kehidupan, ada sahaja solusi yang dicari [oleh masyarakat].”
Senarai jenama ini, selain menitikberatkan pemakaian harian dari kaca mata fesyen, melihat kepada aspek pakaian dari segi penambahbaikan gaya hidup.
“Kita [wanita] mungkin selalu fikir, ‘Oh, saya nak nampak kurus!’ tetapi mahukan kemudahan [yang tidak realistik]. Saya sedar betapa pentingnya kehadiran pengisian ilmu dengan sesebuah jenama. Apakah ertinya sihat? Kita perlu sedar, kesihatan datang dengan kekuatan [tubuh badan], mobiliti. Kefahaman ini sebenarnya membantu jenama untuk mengeluarkan produk yang lebih dekat dengan keperluan pelanggan.”
Sumayyah Nasaruddin, pengasas Olloum (42)
Bercerita mengenai gaya hidup sihat, para pengusaha ini mengaspirasikan yang sama untuk bukan sahaja diri mereka tetapi pengikut dan peminat dan mengenali mereka menerusi jenama yang ada. Dari sini, datanglah ilham mereka untuk mengeluarkan contohnya hijab bebas bau (odorless) untuk prestasi optima di pejabat, universiti dan dalam perjalanan ke merata tempat, juga hijab mudah pakai untuk aktiviti riadah seperti berenang, berlari dan lain-lain.
Impak sosial yang diidamkan ini dikuatkan lagi dengan ‘intuisi wanita’ – motif dan stail yang timbul adalah berdasarkan kebanggaan seni, budaya dan asal-usul, disulam dengan minat terhadap arah aliran (trend) fesyen yang turun naik mengikut musim dan kecenderungan para pemakai. Para pengasas ini faham akan kehendak dan kemahuan wanita dalam apa jua penglibatan kerjaya dan bentuk tubuh badan untuk tampil bergaya tanpa cabaran.
Olah Azrina Khairuddin, “Ada pelanggan yang mengaku, mereka yang meminati produk kami sanggup membelinya dalam setiap pilihan warna yang ada disebabkan mereka gemar dengan kemudahan penggayaan dan pergerakan yang diberikan. Tidak perlu fikir panjang untuk selesa!”
Sesuai untuk dipakai dan digayakan oleh pelbagai generasi wanita, para pengusaha jenama-jenama ini terus melangkah untuk menghasilkan produk untuk memuaskan dan meningkatkan mutu hidup para peminat dan pelanggan. Apa pula koleksi dan kolaborasi jenama yang bakal menyusul? Kita nantikan!
Gambar utama oleh Olloum
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: