'Torn Between' merupakan pameran tunggal terkini Dr Fuad Arif selepas pameran tunggal beliau pada tahun 2022.
Oleh DANIAL FUAD
Pengunaan teks dalam pengkaryaan bukanlah sesuatu yang baru dalam latar seni Malaysia. Terdapat seniman seperti Ahmad Shukri Mohamed yang menindan huruf berkali-kali dalam siri Text beliau; juga Ong Chia Koon yang menyalin semula lagu Inggeris menggunakan kaligrafi Cina. Malah, jika ditelusuri lagi sejarah seni, terdapat karya Alif Ba Ta oleh Ahmad Khalid Yusof di mana beliau mencetak huruf Jawi menggunakan sutera saring pada tahun 1971.
Dr Fuad Arif merupakan seorang seniman juga pendidik; seorang penyelia untuk Ijazah Sarjana dan juga Doktor Falsafah. Karya-karya beliau lebih mengetengahkan penerokaan bahantara serta kritikan sosial. Sebagai seniman sezaman, beliau tidak terikat dengan sesebuah gaya dan sering menggunakan apa yang sesuai dengan konteks karya.
Jadi, karya beliau sering berubah-ubah mengikut apa yang ingin diluahkan. Begitulah sifat seniman konseptual, beliau pernah menghasilkan karya video, catan, pemasangan serta cetakan digital di antaranya. Peranan sebagai pendidik seakan-akan tidak menghalang Dr Fuad untuk menghasilkan karya dan kini beliau tampil dengan pameran tunggal terbarunya, dua tahun selepas pameran tunggalnya yang lepas.
Sebanyak 21 catan digantung di dalam Segaris Art Center yang berkeluasan sekitar 300 meter persegi. Sekilas pandang, karya yang dipamerkan mungkin dibaca sebagai contengan di atas kanvas sahaja. Karya-karya yang berukuran diantara 183cm x 183cm bagi yang paling besar, manakala 61cm x 61cm buat yang paling kecil menunjukkan saratnya karya dipenuhi huruf-huruf yang membentuk perkataan tertentu.
Berjudul Torn Between, karya-karya dalam pameran ini mencerminkan perasaan berkecamuk yang wujud sepanjang 2023; tahun karya-karya ini dihasilkan. Judul karya mengandungi perkataan-perkataan yang berlawanan antara satu sama lain, antaranya adalah Oppresion/Freedom, Crime/Justice dan Hopeless/Hope.
Setelah melihat karya-karya dengan mendalam, barulah timbul perkataan-perkataan daripada judul karya itu di atas kanvas. Ada yang terang-benderang, terpampang tulisannya manakala ada juga yang sedikit samar, dilitupi dengan garisan serta cat. Warna dominan yang dapat dilihat dalam karya adalah hitam, putih dan juga merah.
Pengunaan warna-warna tersebut dalam penghasilan karya membayangkan perasaan Dr Fuad ketika mencatan. Resah, gelisah, marah serta keliru kerana sepanjang tahun 2023, di mana dunia semakin menyembuh daripada pandemik COVID-19; tetapi terdapat kucar-kacir lain yang berlaku di serata dunia.
Tindakan memenuhkan kanvas dengan hanya sedikit ruang bernafas itu juga membuatkan karya-karya terpamer itu juga sangat sesuai sebagai bayangan tahun 2023. Sarat dengan pelbagai kemelut seperti perang antara Ukraine dan Russia serta pembantaian Israel terhadap Palestin. Selain daripada bencana akibat tangan manusia, pelbagai bencana alam juga berlaku seperti gempa bumi kelima paling maut abad ke-21 yang menghentam Turki dan Syria, serta taufan yang paling merbahaya di dunia; Taufan Daniel yang mengorbankan 11,000 nyawa di Libya.
Terdapat juga beberapa karya yang mempunyai garisan pembahagi yang sangat jelas seperti dalam karya False/Truth, Cruel/Humane dan Hate/Love. Ini bukanlah kali pertama Dr Fuad membahagi ruang kanvas kepada empat bahagian di mana beliau pernah menghasilkan kolaj cetakan digital seperti Bismillah (2015) dan Peter Kassig (2015).
Melihat kepada kenyataan seniman, karya dalam Torn Between ini meneroka paradoks dan kesamaran dengan mengemudi interaksi dinamik antara ruang teks dan simbol. Secara lahiriah, catan-catan yang digantung dalam pameran ini membawa jiwa kenyataan itu dengan baik. Huruf-huruf yang berinteraksi dengan satu sama lain menghasilkan perkataan berlawanan ini memberi ketegangan dalam karya. Cukup kuat untuk menggambarkan keresahan yang berlaku sepanjang tahun 2023.
Ada beberapa teks yang jelas dan boleh dibaca dengan mudah, ada juga teks yang sudah dikaburi sehingga tidak boleh dibaca, memberi makna bahawa tidak semua peristiwa mudah untuk difahami. Perkara ini juga membuat mata para penghayat melata ke sekitar kanvas untuk lebih mendalami apa yang cuba disampaikan di dalam catan.
Karya-karya yang samar seperti ini bukanlah kali pertama Dr Fuad hasilkan. Pada pameran tunggalnya yang lampau di HOM Art Trans (2022), beliau menghasilkan karya mujarad seperti Transmission (White Vulture Series) dan Shadow (Black Vulture Series). Kesinambungan daripada karya lampau yang ditambah dengan teks pada kali ini dapat dilihat; menguatkan lagi kritikan sosial karya-karya.
Secara kesimpulannya, karya-karya dalam Torn Between ini berjaya dalam menyampaikan kesesakan dan kebingungan yang melanda dunia semenjak kemunculan pandemik COVID-19 tiga tahun lalu. Dengan menggunakan huruf berulang-ulang memenuhi ruang kanvas, perasan semput itu berjaya beliau hasilkan. Selain menggambarkan keadaan global yang kucar-kacir, kemelut di dalam negara juga tidak kurangnya; situasi politik yang kelam kabut dan juga peningkatan kos sara hidup turut dizahirkan. Jika para pengunjung menghayati dengan lebih mendalam, mungkin dapat mengaitkan diri mereka dengan karya-karya ini; jika tidak terkait dengan keadaan semasa, mungkin dapat kaitkan dengan diri sendiri yang sentiasa terumbang-ambing dalam mencari pendirian.
Pameran Torn Between ini berlangsung di Segaris Art Center daripada Jan 15 hingga 31 2024.
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: