Vanessa Reynauld: Dari bintang cilik ke persada dunia

Vanessa Reynauld gigih menempa nama dalam industri muzik Melayu.

Teks dan gambar-gambar di balik tabir oleh DANIAL FUAD

Pemanduan ke White Studio milik Bustamam Mokhtar (Abang Bus) terasa sedikit panjang dek kerana aku baru sahaja selesai memandu enam jam dari Terengganu ke Kuala Lumpur pada jam 4 pagi sebelumnya. Dapat tahu bahawa sesi penggambaran akan berlangsung jam 12tgh untuk Bintang BASKL keempat ini hanya dua hari lalu ketika aku menghadiri majlis perkahwinan di Pantai Timur. Tanggungjawab harus dijalankan, kaki melangkah masuk ke ruang makan White Studio, di mana sudah tersedia hidangan, langkah kanan nampaknya.

Penantian untuk Vanessa Reynauld diluangkan dengan mengisi perut dahulu sebelum kerja dimulakan. Usai makan, Vanessa pun melangkah masuk ke studio Abang Bus dan langsung ke bilik solek untuk dirias saudara Chandra Shegar. Perkara pertama yang aku perasan ketika beliau masuk adalah rambutnya, yang cukup sihat dan kembang.

Sejujurnya aku tidak berkesempatan untuk melakukan kajian tentang Bintang BASKL kali ini kerana sibuk dengan undangan majlis perkahwinan. Pertama kali mendengar nama Vanessa Reynauld, aku tidak dapat membayangkan wajahnya, jadi ini adalah kali pertama kami berhadapan dan rambutnya adalah perkara pertama yang menarik perhatian ku. Bermulalah sesi temu ramah yang dikendali editor aku, Shah Shamshiri dengan aku sebagai penambah rasa.

Terkejut sedikit ketika temu ramah berlangsung, aku mendapat tahu Vanessa lahir pada tahun 2000; terkejut kerana terasa diri sudah tua. Seorang yang hanya berusia 23 tahun ini telah mempunyai pengalaman dalam bidang nyanyian sebanyak 8 tahun, hampir satu pertiga hidupnya. Vanessa mula bercerita.

“Ayah saya mendengar pelbagai genre muzik dan itulah yang membuat saya berminat dengan muzik sejak kecil. Saya pertama kali menyanyi di satu majlis perkahwinan. Pada akhir majlis, terdapat sesi karaoke dan saya dengan sukarela naik ke pentas dan menyanyikan lagu Bahasa Cina, “月亮代表我的心” (Moon Represents My Heart).

Pada usia empat tahun, saya sudah dapat mengikuti tempo dan menghafal lirik lagu tersebut yang saya pelajari tanpa sengaja. Ibu bapa saya sangat terkesan dengan kemampuan saya melakukan semua itu dan tetamu di majlis juga mendekati ayah saya sambil memuji bakat saya. Beberapa juga mencadangkan agar saya mengambil kelas nyanyian untuk menjadikannya sebagai kerjaya.”

Namun begitu, ayahnya sewaktu itu membiarkan Vanessa melakukan muzik sebagai hobi sahaja. “Semasa membesar, saya sentiasa mempunyai minat mendalam terhadap muzik, dan saya tidak dapat berhenti menyanyi.

Sehinggakan pada suatu hari ketika saya berusia 15 tahun  kakak saya menggalakkan saya untuk menyertai pertandingan nyanyian realiti yang dipanggil Ceria Popstar, dan itulah tempat saya membuat kemunculan. Saya berjaya masuk ke peringkat akhir pertandingan tersebut dan menduduki tempat keempat, menyanyikan lagu Korban Cinta oleh Ziana Zain,” ujar Vanessa ketika sedang muka disolek.

Itu kali kedua aku terkejut saat mengetahui sosok rupa sebegini rupanya mampu menyanyikan lagu dalam Bahasa Melayu. Kejutan tambahan buat aku juga bila dapat tahu pasca temu ramah bahawa Vanessa merupakan penyanyi untuk runut bunyi asli Andai Itu Takdirnya. Aku yang jahil tentang drama Melayu pun tahu yang cerita tersebut diikuti ramai orang.

Aku sambung mendengar bicara wanita ini, “semasa membesar, saya lebih banyak mendengar lagu-lagu Inggeris. Idola saya pada masa itu ialah Whitney Houston dan Beyonce, jadi saya lebih banyak mendengar muzik mereka. Saya tidak begitu menyedari kewujudan muzik Melayu sehingga saya menyertai Ceria Popstar. Semasa pertandingan itu, saya diberi tugas mingguan untuk mempelajari lagu-lagu baru, dan begitulah saya diperkenalkan kepada muzik Melayu. Walaupun ayah saya suka mendengar lagu-lagu dangdut, saya tidak tertarik dengan jenis muzik sedemikian.

Ceria Popstar melatih saya untuk bercakap di hadapan kamera, dan itu mempersiapkan saya untuk apa yang menanti di dunia sebenar. Pertandingan itu menjadi batu loncatan bagi saya, dan saya teruskan perjalanan dalam muzik dengan menyertai lebih banyak pertandingan. Pada tahun 2016, setahun selepas Ceria Popstar, saya menyertai pertandingan di China dan saya terpaksa tinggal di Beijing sendiri selama sebulan ketika berusia 16 tahun! Peserta lain yang menyertai pertandingan itu datang dari seluruh dunia, tetapi kami semua penutur bahasa Mandarin dan bersaing dalam menyanyikan lagu-lagu Mandarin.”

Lahir di tahun 2000, Vanessa tergolong dalam Generation Z; generasi pertama yang membesar dengan Internet dan telefon pintar dari usia muda. Tentulah beliau petah dalam selok-belok media sosial yang mungkin aku sedikit ketinggalan juga.

“Saya juga kini meningkatkan kehadiran saya di media sosial, dan baru-baru ini saya menyertai TikTok. Pada awalnya, saya mempunyai anggapan bahawa TikTok adalah tempat untuk tarian yang memalukan, tetapi semasa pandemik, saya fikir itu adalah platform yang baik untuk saya berkongsi kandungan. Sebelum itu, saya sudah secara konsisten memuat naik nyanyian saya di akaun YouTube dan Instagram sepanjang dua tahun sebelumnya. Saya melakukannya dengan tujuan agar pencari bakat boleh menemui saya, kerana ramai yang mengatakan bahawa anda perlu konsisten untuk memberi peluang kepada orang mengetahui tentang kewujudan anda.

Pada awalnya, saya memuat naik kandungan yang sama dari media sosial lain saya, iaitu rakaman lagu, di akaun TikTok saya, tetapi saya memutuskan untuk menukar kandungan setelah dua minggu. Secara umum, saya adalah orang yang ceria dan orang suka ketawa mendengar jenaka saya, dan dalam situasi berkumpulan, saya akan menjadi pembuka situasi yang memecahkan ketegangan pada masa-masa tertentu. Saya memutuskan untuk membuat kandungan komedi; pada awalnya, itu bukanlah niat saya, tetapi saya selalu suka meniru loghat orang lain, jadi saya mencipta kandungan asli yang menjadi tular dengan cepat. Orang sangat tertarik dengan kemampuan saya untuk berbicara dalam beberapa bahasa dan meniru loghat Melayu yang berbeza. “

Perkara tersebut juga berjaya membuat beliau dilamar oleh Sony Music Malaysia, “Video-video dari TikTok saya membantu saya ditemui oleh seseorang yang bekerja di Sony Music Malaysia, dan mereka mencadangkan nama saya kepada pihak atasan; itulah cerita bagaimana saya ditandatangani oleh label tersebut.”

“Berada dalam industri Melayu adalah satu cabaran bagi saya kerana paras rupa saya berbeza daripada penyanyi-penyanyi genre tersebut. Rambut saya juga merupakan sebahagian besar mengapa ia agak sukar bagi saya. Selain itu memiliki bentuk badan yang tidak mengikut standard kecantikan umum di sini juga merupakan satu cabaran. Biasanya, semasa rancangan realiti pakaian akan disediakan dan saya merasa bahawa peserta lain akan mendapat pakaian cantik. namun bagi saya, situasinya adalah tangkap muat, dan pakaian yang saya dapat kerap tidak akan dipikirkan dengan teliti,” tambahnya lagi.

Namun begitu, semua itu tidak memudarkan semangatnya untuk terus mengumpul peminat dalam kalangan masyarakat Melayu. “Saat memasuki industri ini, tentulah saya mahu membawa bakat saya ke luar negara; tetapi saya sedar bahawa adalah penting untuk mendapatkan hati rakyat Malaysia terlebih dahulu. Rancangan saya sejak awal adalah untuk mendapatkan peminat dari negara asal saya, supaya apabila saya ke luar negeri, sekurang-kurangnya saya mempunyai pengikut negara sendiri yang mengenali dan menghargai bakat saya. Beberapa tahun ini, saya telah bekerja keras untuk menakluki hati penduduk tempatan dengan muzik saya, dan saya rasa saya mempunyai beberapa peminat di negara sendiri,” ulas Vanessa lagi.

Hasil titik peluhnya kini membuahkan hasil apabila baru-baru ini, Vanessa berjaya merangkul anugerah Artis Baharu Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2022. Beliau juga berjaya mendapat geran Dana Kandungan Digital sejumlah RM50,000 hasil daripada kemenangan tersebut dan beliau telah menggunakannya buat merakam lagu Igau yang dilancarkan pada Ogos tempoh hari.

“Sekarang, dengan peluang menggunakan platform yang saya miliki untuk mewakili Malaysia di mata dunia, saya ingin pergi ke luar negara dan membuat negara bangga,” ujar Vanessa lagi. Januari lalu, muka Vanessa telah terpampang di kota New York apabila Spotify menampilkan beliau di papan iklan digital billboard di Times Square, New York Amerika Syarikat.

Beliau juga awal tahun lalu telah menghadiri uji bakat rancangan realiti Sing! China yang mempunyai premis seakan racanganThe Voice dengan empat mentor di balik kerusi mendengar nyanyian para peserta. Vanessa berjaya menarik perhatian keempat-empat mentor pertandingan tersebut iaitu Emil Chou, Joker Xue, Wilber Pan dan Henry Lau. Pilihan lagu Vanessa pada waktu tersebut adalah Riding the Wind dan para mentor sangat kagum dengan persembahannya sehingga mengatakan ia lebih hebat daripada versi asal lagu tersebut.

Mengakhiri perbualan 30 minit di ruang solekan White Studio, Vanessa meninggalkan kata-kata akhirnya kepada kami.

“Saya rasa saya dilahirkan untuk muzik, oleh itu buat masa ini saya tidak mempunyai perancangan alternatif, jadi bidang nyanyian ini perlu menjadi atau pun menjadi. Kerjaya saya dalam muzik bermula sebaik sahaja saya menamatkan SPM saat saya memutuskan untuk melakukannya sepenuh masa seusai sekolah. Apa yang saya cari sekarang adalah peluang melakukan apa yang saya mahu, walau bagaimanapun, muzik sentiasa menyeronokkan bagi saya. Saya suka menyanyi lagu balada besar, tetapi saya rasa alter ego saya mungkin mahu melakukan muzik pop yang lebih ceria. Saya juga berhasrat merakam lagu Mandarin atau pun Inggeris juga satu hari nanti.”

Kami harapkan segala yang terbaik untuk Vanessa Reynauld dan terima kasih peribadi aku ucapkan kepadanya kerana sudi meluangkan masa menjadi Bintang BASKL kami kali ini. Semoga segalanya lancar baginya dalam perjalanan kerjaya muziknya yang kelihatan sangat cerah. Teruskan mengharumkan nama negara dalam persada antarabangsa dan teruslah menjadi Vanessa yang ceria begini.

DI SEBALIK TABIR BINTANG BASKL  

 Bintang BASKL: Vanessa Reynauld

 Editor BASKL & Penyelaras: Shah Shamshiri

 Teks Bahasa Malaysia: Danial Fuad

 Penata Gaya: Shah Shamshiri dan Chandra Shegar

 Dandanan, Solekan & Aksesori: Chandar Shegar

 Busana : Zaff Ben Jibby

 Jurugambar: Bustamam Mokhtar, White Studio

 Lokasi: White Studio, Sungai Lui, Hulu Langat

 Reka Letak Sampul Digital: Daniel Abdul Halim

 Sekalung penghargaan buat saudari Maizatul dari Sony Music Malaysia

Baca kisah Bintang BASKL yang lain di pautan di bawah.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites