Kelembutan Dalam Keyakinan Aisha Retno

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Pada suatu pagi rabu tidak begitu lama dahulu, saat yang aku nanti-nantikan akhirnya tiba. Waktu untuk aku mencungkil secebis coretan kehidupan daripada seorang karyawan muda tempatan yang amat berbakat. Apa yang membuat aku tertanya-tanya sewaktu membuat bacaan dan penelitian tuan empunya badan ini adalah bagaimana wanita muda ini dapat mencapai tahap yang cukup tinggi di dalam industri sedangkan umurnya yang baru sahaja mencecah 23. Wanita hebat ini adalah Sharifah Aisha Retno binti Sayed Sipulijam atau nama pentasnya, Aisha Retno. 

Sesi penggambaran pada Rabu itu telah diadakan di White Studio, Hulu Langat, studio penggambaran yang dimiliki jurugambar fesyen tempatan yang dilatih secara profesional di Jepun, tidak lain dan tidak bukan saudara Bustamam Mokhtar.

Keadaan pagi itu cukup hingar-bingar di atas jalan raya. Sang Matahari pula tidak lokek sama sekali, menyinari tanpa segan silu lalu menembusi kaca kereta sepanjang perjalanan ke Hulu Langat yang mengambil masa selama satu jam. Tiba sahaja di lokasi, kami semua berehat seketika sambil berbual sesama rakan-rakan yang ada di studio.

Hampir 30 minit telah berlalu, Aisha Retno masih lagi tidak kelihatan dan aku juga sudah membuat tanggapan buruk di dalam minda. Artis muda, dikenali ramai, namun tingkah laku dan etika tidak diendahkan langsung. Lambat dan tidak menghormati masa orang lain! Namun, kami semua tetap setia menunggu di dalam studio yang agak dingin dan gelap, jauh dari sinaran mentari yang telah menemani kami sejak awal pagi tadi.

Tiba-tiba, terdengar bunyi seseorang yang mengetuk pintu kecil studio dan pintunya telah dibuka luas. Kelihatan seorang gadis berbaju hijau, berkaca mata gelap sambil mendengar sesuatu melalui sepasang airpods miliknya. Silau mengaburi mata namun terlihat sebuah senyuman yang terukir cukup manis di wajah orang ini. Ternyata, itulah Aisha Retno yang telah tiba dengan cukup rasa ceria dan memberikan sebuah impak positif kepada semua yang ada. 

Pelik, Aisha tiba lewat hampir satu jam tetapi tiba dengan penuh senyuman. Adakah beliau ini tidak kisah akan orang lain langsung atau beliau memang pandai bermuka-muka? Ternyata, kekeliruan aku yang sedia ada sejak awal tadi semakin menebal dan tidak sabar untuk membongkar rahsia seniwati muda ini. Tanpa melengahkan masa Aisha, dua orang penulis BASKL masuk ke dalam bilik persiapan untuk menemubual Aisha sambil didandan oleh Elmanda Zuhairy

Di saat inilah, tanggapan dan gambaran aku terhadap seorang artis bernama Aisha Retno bakal berubah 360 darjah. Di saat inilah aku membuat keputusan untuk memberi tajuk Kelembutan Dalam Keyakinan Aisha Retno bagi nukilan kali ini. Ternyata, bak kata pepatah Inggeris “don’t judge a book by its cover,” jangan kita nilai sesuatu daripada luaran tanpa mengenal isi dalamnya. 

BASKL  : Apa khabar Aisha? Bagaimanakah keadaan anda hari ini?

Aisha   : Baik, setakat ini baik cuma pemandu grab tadi agak merosakkan pagi saya (sambil bergelak tawa)

BASKL  : Apa yang terjadi? Dia ambil jalan yang salah ke?

Aisha   : Betul, saya minta maaf. Dia telah mengambil jalan yang salah. Saya tinggal di Seri Kembangan dan pemandu itu mengambil jalan yang salah di kawasan Serdang sebanyak dua kali. Selepas itu, apabila kita telah sampai di kawasan Hulu Langat pula, pemandu itu  telah berhenti di stesen minyak tanpa memberitahu saya terlebih dahulu. Saya beritahu dia, kita tak boleh berhenti sebab saya dah lambat ni tetapi tidak mengapalah, semua yang terjadi itu semua ada sebabnya dan saya terima seadanya.

Aku terkesima seketika, membuat aku terfikir betapa hebatnya gadis ini. Perasaannya cukup tenang dan kemampuannya untuk berdamai dengan segala apa yang terjadi terhadap dirinya cukup tinggi. Beliau masih mampu tersenyum dan bersikap profesional dalam mengambil soalan-soalan daripada BASKL dengan gelak tawa yang cukup santai. Hormat aku pada diri Aisha Retno telahpun mula berputik, terpegun dengan akhlak dirinya yang penuh dengan kelembutan dan tahap kesabaran yang tinggi.

  • Keluarga

Kekeliruan aku terhadap bintang itu terus memuncak sewaktu dalam perbualan. Sewaktu kami rancak bersembang dan berbicara, Aisha telah menceritakan keadaannya di rumah. Aisha merupakan seorang yang cukup rapat dengan ahli keluarganya dan inspirasi terbesarnya pula adalah ibunya sendiri. Namun tidak terhenti di situ, bukan sekadar manusia sahaja yang beliau kasihkan malah kesemua 25 ekor kucingnya juga beliau anggap sebagai sebahagian daripada keluarganya juga. Terkedu mendengar jumlah kucing yang berada di bawah tanggungjawabnya, kami terus bertanya bagaimana jumlahnya boleh sebegitu rupa.

“Asalnya saya mengambil dua ekor daripada ibu saudara saya. Waktu itu saya sedang sibuk dalam sebuah rancangan realiti iaitu Big Stage, tiba-tiba daripada dua ekor kucing mereka beranak pinak menjadi lima ekor, 10 ekor dan seterusnya 25 ekor!” Bagi orang biasa, agak memeningkan kepala apabila kita fikir tentang 25 ekor kucing untuk diberi penjagaan dan kasih sayang namun Aisha terus cekal dan katanya jikalau kita benar cintakan haiwan peliharaan, kita juga harus bertanggungjawab dalam menjaganya. “Sebenarnya, jumlah besar daripada pendapatan saya semuanya adalah untuk kucing-kucing saya,” kongsinya.

Aku semakin terpegun. Selalunya seorang yang masih mentah umurnya tidak mampu untuk mengungkapkan kata-kata yang cukup matang sebegitu, apatah lagi melakukannya tetapi Aisha Retno bukanlah seperti anak muda lain yang ada di luar sana, Aisha Retno sememangnya luar biasa. “Kepada orang lain mungkin mereka akan persoalkan tindak tanduk saya tetapi kucing-kucing saya memainkan peranan yang cukup besar dalam hidup saya,” tambah Aisha. Aisha juga turut meluahkan rasa syukur kerana keluarganya juga banyak membantu menjaga kucing-kucingnya ketika beliau sibuk, terutamanya ayah dan adik lelakinya.

“Kadang kala apabila saya sedih atau sedang menghadapi masalah tekanan, kucing-kucing inilah yang akan ada dengan saya. Bagi saya sebenarnya tidak perlu untuk kita mencari ketenangan di tempat lain, tetapi apabila kita bermain dengan kucing kita, apabila kita meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka, itulah aktiviti pemulihan yang terbaik.” Aisha juga percaya setiap mereka yang mempunyai haiwan peliharaan mereka sendiri juga akan turut merasai perkara yang sama.

  • Kerjaya

Aisha Retno sememangnya seorang yang cukup bertanggungjawab. Bijak dalam menguruskan kehidupannya dan pastinya mampu terbang lebih jauh daripada takuk yang beliau berada pada hari ini namun sentiasa merendah diri. “Saya seorang artis baharu. Saya baru sahaja masuk tahun ketiga sebagai seorang penyanyi dan untuk menghasilkan sebuah mini album merupakan sebuah langkah yang berani,” kongsi Aisha. Namun Aisha tetap optimis dan tabah menghadapi cabaran masa depan yang akan datang. 

Aku berasa amat kagum dengan keberanian Aisha Retno, tambahan pula keinginan dan pendorong terbesar beliau dalam mengeluarkan album mini ini adalah untuk berkongsi karyanya dengan peminat di luar sana. Katanya, album mini ini membolehkan peminat-peminatnya menikmati lagu hasil nukilan beliau dalam satu masa yang sama secara berulang-ulang. 

“Kerisauan itu ada tetapi teruja itu pun ada,” luah penyanyi muda ini tetapi BASKL turut bertanya dari manakah datangnya sumber kekuatan beliau? Katanya, kekuatannya datang daripada sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya. “Selain dari itu, semenjak berada di dalam industri ini selama tiga tahun, saya juga telah meraih pendengar baharu, peminat baharu dan mereka ini juga menjadi sumber kekuatan saya.”

Album terbaharunya berkisah kitaran hidup percintaan seseorang. “Album ini menceritakan tentang kisah percintaan seorang manusia itu daripada saat dia jatuh cinta, putus cinta dan meneruskan kehidupannya selepas itu,” kata penyanyi 23 tahun ini. Aku berfikir seketika, kenapa perlu ambil risiko sebegitu untuk mengeluarkan album mini? Sebuah langkah yang tidak biasa diambil oleh seorang penyanyi lebih-lebih lagi seorang yang masih mentah dalam industri. Ternyata, jawapannya mudah sahaja. Aisha Retno sememangnya seorang yang berdedikasi terhadap karya seninya dan minatnya adalah berkarya. Kejayaan dan kegemilangan itu akan datang dengan sendirinya. 

  • Peribadi

Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimanakah sebenarnya kehidupan seharian seorang penyanyi dan penulis lirik ini, namun Aisha berkongsi bahawa keadaannya lebih kurang sama sahaja dengan kehidupan seharian orang lain. “Awal pagi saya akan bangun, melakukan senaman ringan, kemudian saya akan membuat beberapa aktiviti penjagaan kulit dan kebiasaannya waktu tengah hari saya akan mulakan aktiviti nyanyian.” 

Selain daripada itu, Aisha mengaku yang beliau turut gemar melakukan aktiviti-aktiviti rumah. “Saya rasa saya mula suka membuat aktiviti keibuan,” kongsi Aisha sambil bergelak tawa. Kami penulis-penulis BASKL turut sama berkongsi sebuah saat geli hati bersama Aisha. “Saya telah mula untuk suka melakukan aktiviti-aktiviti yang mungkin nampak kecil seperti bercucuk tanam, mengemas rumah, menukar cadar, menukar langsir tetapi saya memang lakukannya bersungguh-sunggah dan mula menjadi hobi buat saya!”

Rasa hormat aku kepada seniwati muda ini semakin menebal. Turut sempat bertanya jika Aisha bercucuk tanam secara moden atau sanggup mengotorkan tangan dan menggali tanah, jawapannya “Ya, saya suka menggali tanah dan membiarkan tangan saya dipenuhi dengan tanah!” Terpegun dan kagum aku mendengar jawapannya itu. “Saya cukup puas bila saya melakukan aktiviti cucuk tanam. Antara pokok yang saya tanam termasuklah seperti heleconia, cili dan saya pula memang suka makan cili jadi saya rasa tidak salah untuk saya tanam sendiri. Lagi satu, kita pun dapat jimat duit!” kata Aisha. 

“Expect the unexpected,” sebuah kata-kata Inggeris yang bermaksud jangkakan perkara-perkara yang tidak dijangka. Itulah moto hidup artis muda ini dalam kehidupan sehariannya. Kata Aisha, “dalam hidup ini, apabila kita ‘expect the unexpected’ maka selalunya keadaan akan jadi agak baik dan itulah moto hidup saya.” Aku paling terkejut apabila Aisha menjadi jujur tentang kerjaya hidupnya yang begitu santai dan akur dengan segala ketentuan Yang Maha Esa buat dirinya. “Sepanjang hidup, saya tidak pernah mempunyai sebuah rancangan hidup yang benar-benar kukuh, semuanya hanya sekadar rancangan kasar sahaja. Jangan kita terlampau bergantung kepada rancangan kita semata-mata kerana kita tidak tahu apakah rancangan Tuhan buat kita.

Di hujung perbualan kami yang mengambil masa hampir satu jam, sememangnya aku terpesona dengan seorang biduanita muda yang bernama Aisha Retno. Sesungguhnya beliau amat rendah diri orangnya namun penuh dengan keyakinan dan mempunyai peribadi yang cukup budi pekertinya. Sempat untuk beliau memberi pesanan kepada penggiat seni di luar sana untuk terus yakin dengan perancangan Tuhan buat kita. 

“Percayalah kepada perancangan Tuhan, percayalah kepada proses yang sedang berlaku dan bagi saya itulah perkara yang paling penting di dalam industri ini. Kadang kala tidak perlu untuk kita tamak dan mengambil setiap peluang yang hadir di hadapan kita.” Aisha merupakan seorang yang percaya jika kita terus berkarya, terus berhubung dengan peminat kita maka apa yang ditakdirkan Tuhan untuk kita akan tetap datang kepada kita. Kata-kata akhir daripada Aisha Retno, “jadilah seorang yang mempunyai keyakinan yang tinggi tetapi tetap merendah diri dan jangan pernah lupa siapa diri kita yang sebenar.”

DI SEBALIK TABIR BINTANG BASKL

Bintang BASKL: Aisha Retno

Editor BASKL & Penyelaras: Shah Shamshiri

Teks Bahasa Malaysia: Shafique Danial

Penata Gaya & Pengarah Seni : Shah Shamshiri

Solekan & Dandanan: Elmanda Zuhairy

Busana: Lady Of Leisure

Jurugambar: Bustamam Mokhtar, White Studio

Lokasi: White Studio, Sungai Lui, Hulu Langat

Reka Letak Sampul Digital: Daniel Abdul Halim

Sajian Sewaktu Penggambaran : Marrybrown Malaysia

Sekalung penghargaan buat Puan Farah Rizan, pengurus Aisha Retno

Baca kisah Bintang BASKL yang lain di pautan di bawah.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites