Red Soil of Kabul: Rayuan sayu Parastoo

Sebuah pementasan mengenai tragedi jatuhnya Kerajaan Afghanistan pada Tahun 2021 dan kesannya pada rakyat Afghanistan setelah itu dipersembahkan oleh rumah produksi Parastoo di Damansara. BASKL telah hadir untuk sama-sama merasai kesayuan yang dirasai oleh rakyat negara tersebut.

Oleh AZUWAN AHMAD

Sebuah pementasan teater yang berjudul Red Soil of Kabul telah dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya pada 11 hingga 13 Ogos 2023. Pementasan ini telah dibawakan oleh Parastoo Theatre, sebuah kumpulan teater yang dianggotai komuniti pelarian yang tekad untuk membawa perubahan dengan meningkatkan kesedaran mengenai sosial, ekonomi dan kesihatan mental yang dialami oleh para pelarian. Mereka juga bertujuan meningkatkan keyakinan dan membantu para pelarian melegakan depresi. 

Red Soil of Kabul mengambil latar Bandar Kabul, ibu negara Afghanistan dan berlatar masa ambang kejatuhan kerajaan Afghanistan yang rasmi bubar sepenuhnya pada 15 Ogos 2021 di mana Kabul sudah dikuasai penuh oleh puak tentera Taliban. Persembahan ini menonjolkan kisah sedih, duka serta ketakutan yang dialami oleh rakyat ini dalam rentetan peristiwa sebelum 15 Ogos dan kejadian selepas 15 Ogos melalui beberapa watak kanak-kanak dan seorang wartawan di negara tersebut. Cerita ini dipersembahkan dalam dialek ‘Parsi Dari’ serta ditulis dan diarahkan oleh Saleh Sepas. 

Red Soil of Kabul dibuka dengan adegan kanak-kanak bermain pistol-pistolan

Saleh Sepas, adalah pengasas kepada Parastoo dan berasal dari wilayah Ghazni. Dia mendapat pendidikan di Universiti Kabul dalam bidang teater dan kemudiannya menjadi seorang pengacara, penulis dan penerbit program untuk media tempatan dan antarabangsa. Dia adalah mangsa kekejaman Taliban apabila terpaksa keluar dari Afghanistan dalam keadaan hilang segala-galanya atas apa yang telah dia usahakan selama ini. Dalam memetik kata-kata Saleh yang sangat mencintai Afghanistan, “Tidak mempunyai negara adalah cabaran terbesar dalam hidup saya. Adalah sukar untuk mengatasi masalah jika anda seorang yang tidak mempunyai negara”. Saleh kini selamat tinggal di Amerika Syarikat bersama keluarganya. Ketika tulisan ini disiarkan, dia telah meninggalkan Parastoo dan memberikan tanggungjawab menjaga Parastoo kepada Farzana Yakta. 

Saleh Sepas akhirnya meninggalkan Malaysia setelah 7 tahun mendapat perlindungan di sini.

Berbalik kepada kisah Red Soil of Kabul, sebenarnya rentetan persitiwa dalam cerita ini adalah berikutan keputusan kerajaan Amerika Syarikat untuk membawa kembali tenteranya berundur dari bumi Afghanistan setelah pencerobohan mereka berlangsung 20 tahun lamanya di bawah pemerintahan Presiden George Bush. Maka, dengan berita pengunduran itu tentera Taliban yang terus-terusan mengasak pemerintahan yang didirikan oleh Amerika Syarikat telah bangkit semula menawan bandar-bandar di Afghanistan.

Hal yang paling penulis ingat dan rasakan menarik sekali adalah apabila cerita ini dibuka dengan watak 3 orang kanak-kanak yang bermain pistol-pistolan. Saleh telah secara bijaknya meletakkan premis permasalahan mengenai Afghanistan di dalam adegan ini. Dia mahu menunjukkan betapa rasuah telah mempengaruhi pemikiran rakyat yang songsang. Malah ia mencerminkan bagaimana rakyat Afghanistan harus hidup dengan semua itu seawal peringkat anak-anak lagi.

Penulis sendiri yang mempunyai seorang anak merasakan betapa gelapnya dan sadis cara berfikir yang ditanam di dalam anak-anak kecil yang polos. Ada sebuah kejadian dalam satu adegan saat seorang kanak-kanak perempuan melewati sebuah jalan di Kabul untuk ke sekolah. Anak ini telah ditahan serta diganggu oleh anak-anak yang bermain dan mengatakan bahawa anak perempuan yang ke sekolah untuk menuntut ilmu adalah sesat dan salah di sisi agama. Penonton dapat merasakan gelapnya kehidupan dan pemikiran anak-anak di Afghanistan tanpa ilmu pengetahuan yang disekat secara mutlak sebelum dikawal oleh tentera Taliban. 

Cerita ini kemudiannya diteruskan oleh seorang wartawan muda yang tinggal bersama ibunya di Kabul. Watak wartawan yang bernama Abbas dibawakan oleh Nemat Ali Muradi, dia mempunyai ideologi yang lebih bebas dalam berfikir serta digambarkan ada pemikiran yang jauh lebih ke hadapan berbanding rakyat Afghanistan yang rata-rata mundur. Di ambang kejatuhan Kabul, rumah ibunya sudah mula diancam oleh seorang kanak-kanak yang bermain di awal pembukaan tadi bernama Hemmat dengan dilemparkan batu ke arah tingkap sehingga pecah. Hemmat yang merupakan anak kepada pemimpin tentera Taliban di sekitar Kabul telah mengancam-ancam keluarga Abbas dengan kata-kata ugutan. Penonton dapat berasakan perasaan marah dan sakit hati terhadap watak Hemmat ini yang sudah rosak pemikirannya. Hemmat berani bertindak begitu kerana perbuatannya itu disokong oleh ayahnya. Pada hari jatuhnya Kabul, Abbas yang berada di studio TV melaporkan kejadian telah disergap oleh sekumpulan tentera Taliban. Abbas yang sememangnya ketakutan merayu akan nyawanya dan penonton sedikit terhibur dengan cara watak tentera ini dipamerkan sebagai sekumpulan lelaki bodoh yang mempunyai kuasa dibantu senjata api di tangan. Abbas yang sudah mahu meninggalkan Afghanistan akhirnya dibunuh di rumahnya setelah rumahnya itu dirampas paksa oleh kumpulan tentera yang sama. 

Kumpulan Produksi Red Soil Of Kabul

Secara keseluruhannya cerita ini sememangnya menyayat hati dan meninggalkan penonton dengan perasaan seolah-olah tiada jalan keluar bagi Afghanistan jika terus ditekan oleh tentera pengganas Taliban dengan pemikiran mereka yang salah erti tentang cara hidup beragama. Sudah tentu masalah Afghanistan tidaklah semudah untuk kita fahami sebagai rakyat yang hidup di sebuah negara yang aman damai. Cuba bayangkan hidup dalam penuh ketakutan dan serba-serbi kekurangan dari segi makanan, tempat tinggal dan pendidikan yang seharusnya menjadi asas dalam perkembangan tamadun manusia. Saleh Sepas melalui Red Soil of Kabul telah berjaya membawa kita menyelami perasaan dan jeritan rakyat di negara yang bergolak sekali gus menjadi sebuah rayuan sayu kepada warga dunia untuk membantu mereka melepaskan diri daripada belenggu yang ketika ini masih belum menemui jalan keluarnya. 

Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai rumah produksi Parastoo, anda boleh ke pautan laman media sosial facebook Parastoo atau sila ke laman Instagram mereka di @parastoo.theatre. Anda juga boleh melayari laman web www. parastootheatre.com.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites