Nostalgia balik kampung dalam Tidur Lambak

Tidur Lambak memberi peluang untuk orang ramai mengenang kembali memori tidur bersama ahli keluarga besar ketika pulang ke kampung.

Oleh DANIAL FUAD

Pasti ramai pernah melalui pengalaman tidur beramai-ramai bersama saudara-mara ketika balik kampung tidak kira apa pun perayaan. Akibat daripada kemajuan, kini ramai yang telah berhijrah ke bandar dan pengalaman di perkampungan semakin kurang. Bagi membawa nostalgia yang kian terhakis, Taha Long bersama Hafreez Amminuddin telah bekerjasama untuk menghasilkan Tidur Lambak, sebuah persembahan yang mengasyikkan yang berlangsung pada 18 dan 19 Mac lalu.

Taha Long merupakan sebuah pembikin filem daripada Klang, Selangor yang banyak bekerja dalam bentuk filem, fotografi dan juga persembahan. Berasal daripada Miri, Sarawak; Haffreez Amminuddin merupakan pengasas House of Karyawan, sebuah syarikat penerbitan yang telah menghasilkan muzik video untuk nama seperti Zee Avi, Harith Zazman dan Ayda Jebat.

Para pengunjung telah disambut dengan sebuah instalasi di tengah-tengah kilang yang bergelar KongsiKL ini. Terdapat kain batik, tilam dan selimut disusun mengelilingi sebuah bulatan. “Karya ini dilakonkan oleh 12 orang awam dari pelbagai latar belakang yang masuk ke dalam ruang dan perlahan-lahan menempatkan diri bersebelahan masing-masing untuk tidur; menghasilkan satu ‘sarang’ besar,” ujar Taha Long.

“Ketika sedang merangka projek ini, saya menyedari yang bunyi memainkan peranan penting dalam  membawa orang ramai ke dunia kampung,” tambah Taha lagi. Oleh itu, mereka telah bekerjasama dengan Kent Lee untuk menghasilkan runut bunyi bagi persembahan. Hafeez turut menambah, “pendekatan eksperimental Dhan Illiani dalam pengkaryaan memberikan suatu yang segar untuk persembahan ini,” di mana Dhan Illiani merupakan pengarah kreatif untuk projek ini.

Persembahan bermula dengan orang ramai mengambil tempat di dalam bulatan yang tersedia sebelum seorang demi seorang pelakon menyusup masuk ke tengah melalui para penonton. “Julat umur untuk persembahan kami bermula semuda lapan tahun sehingga nenek yang berusia 85 tahun,” ulas Taha.

Kemudian seorang demi seorang pergi ke tengah pentas yang mempunyai sebatang pohon yang dipasang mikrofon. “Selain daripada berkongsi ruangan, orang ramai juga diberi peluang untuk berkongsi impian dan kenangan dengan orang ramai,” Taha menambah. Mungkin impian dan kenangan yang telah dikongsi oleh para pelakon apabila menghampiri pohon tersebut tetapi pengalaman itu sedikit terganggu audio kurang jelas; mungkin kerana ruangan yang luas.

Sedikit kurang dalam penerangan tentang karya, para penonton akan terasa sedikit canggung semasa persembahan. Terutamanya semasa keadaan menjadi gelap menandakan orang ramai untuk tidur setelah sesi perkongsian oleh pelakon selesai. Namun begitu, persembahan video semasa keadaan gelap itu membuatkan rasa nostalgia di mana fikiran kita melayang-layang ketika tidak boleh tidur.

“Niat utama dalam penghasilan karya ini adalah untuk meneroka konsep tidur bersama sebagai cara untuk meruntuhkan sempadan sosial dan pantang larang tentang diri dan orang lain,” ujar Taha lagi. Kemungkinan perkara sebegini sesuai dalam konteks Eropah atau Amerika Syarikat di mana sempadan sosial mereka sedikit longgar. Orang Asia memang sedia ada pemalu jadi tanpa sedikit dorongan, sukar untuk kita selesa berkongsi apa sahaja bersama orang asing.

Namun begitu, pujian harus diberikan kepada mereka ini kerana melakukan suatu yang sedikit radikal. Menempatkan orang ramai di dalam sebuah bulatan sebagai mengenang kembali nostalgia sangatlah sesuai. Ditambah pula dengan runut bunyi suasana kampung yang telah bercampur aduk dengan bunyi suasana kilang di KongsiKL membuatkan penonton asyik menghayati persembahan.

“Tidur Lambak merupakan satu ruang untuk orang ramai mengenang kembali memori tidur bersebelahan saudara-mara di hadapan TV semasa perayaan,” ujar Taha. Mungkin satu penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk masa hadapan adalah untuk melampirkan bantal bersama pembelian tiket supaya orang ramai boleh menghayati persembahan itu dengan lebih selesa; tetapi itu mungkin juga memberi pengalaman di mana bantal tidak cukup semasa balik kampung.

Persembahan Tidur Lambak telah berlangsung pada hujung minggu lepas di mana ia telah berjalan selama dua malam. Projek ini merupakan kerjasama antara Tapir Studio, House of Karyawan dan Moka Mocha Ink dan telah disokong oleh Krishen Jit Fund dan Hai-O Arts and Culture Grant. Lokasi telah disokong oleh KongsiKL dan KOLMEGLU merupakan rakan kongsi media.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites