Adiguru CENDANA: Che Siti binti Dollah

Kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari merupakan sebuah kumpulan yang telah berusia tujuh generasi dan kini bertapak di Kuala Besut, Terengganu. Ikuti kisah sang penyambung tradisi dan ahli kumpulan ini yang diberi nama Che Siti binti Dollah!

Oleh DANIAL FUAD

Mak Yong merupakan sejenis persembahan yang telah dipraktikkan sedemikian lamanya di pantai Timur, khususnya di Kelantan, Terengganu dan juga Pattani. Sejarah Mak Yong ini boleh ditelusuri sehingga 400 tahun lamanya, malah ada yang percaya akan kewujudannya sejak 800 tahun lalu. Pada masa lalu, persembahan ini sering dimainkan di dalam istana di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga tahun 1920-an. Oleh sebab itu jugalah, ada unsur-unsur kemewahan dalam pemakaian Mak Yong dalam persembahan di istana; unsur ini turut dikekalkan pada waktu seni ini tersebar kepada masyarakat umum.

Didominasi oleh kaum wanita, seni Mak Yong merupakan satu bentuk dramatari Melayu yang berunsurkan tarian dan lakonan. Watak-watak utama dalam persembahan ini seperti Mak Yong dan Pak Yong dipegang oleh kaum wanita manakala kaum lelaki sering memegang watak kurang dominan seperti peran (pelawak atau pemain sandiwara). Zaman kegemilangan seni ini adalah semasa pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah II di Kelantan dari tahun 1835 ke 1864. Pelbagai bentuk sokongan telah dizahirkan seperti pembinaan panggung Mak Yong di istana-istana, penganjuran persembahan berkala bagi para tetamu dan perhimpunan pengamal Mak Yong yang terbaik dalam mencari tenaga pengajar di istana.

Kebanyakan pengajaran seni Mak Yong pada zaman dahulu dilakukan melalui latihan yang berterusan. Seni ini diajar secara lisan daripada guru kepada murid secara langsung dan proses inilah yang dilalui oleh Che Siti binti Dollah, atau lebih dikenali sebagai Mek Ti. “Semasa umur saya belasan tahun, saya bersama dua orang adik beradik saya telah pergi menonton persembahan Mak Yong Che Ning dan saya telah jatuh cinta dengan gaya tarian dan nyanyian yang dipersembahkan ketika itu sehingga saya merasakan bahawa saya sendiri mahu bermain Mak Yong,” ujar Mek Ti tentang bagaimana beliau mula berkenalan dengan seni ini.

Mek Ti merupakan ketua bagi Kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari yang dipelopori oleh Che Ning, tokoh Mak Yong yang cukup sohor pada tahun 1970-an dan 1980-an. Beliau telah menjadi ahli kumpulan tersebut semenjak umurnya 18 tahun lagi di mana beliau mengulas, “Pada usia sekitar 18 tahun, abang saya telah menjemput semula kumpulan Mak Yong Che Ning untuk membuat persembahan di kampung. Saya mengambil peluang ini untuk mengikut kumpulan tersebut membuat persembahan dan pada masa yang sama mempelajari seni ini bersama abang saya.” Kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari aktif melakukan persembahan sekitar Pantai Timur dan selatan Thailand pada ketika itu.

“Setelah satu minggu berlatih bersama, Che Ning telah membawa saya, abang saya dan anak muridnya yang lain untuk Sembah Guru kerana beliau ingin mengetahui antara 12 orang pelajar ini, siapa yang boleh membawa pusakanya,” ujar Mek Ti. Upacara Sembah Guru merupakan satu bentuk adat di mana guru yang ingin menurunkan ilmunya akan berjumpa dengan gurunya untuk diberikan perkenan. “Kami telah pergi ke kampung Che Ning untuk upacara tersebut dan setelah berjumpa dengan guru kepada Che Ning, telah diputuskan bahawa hanya saya dan abang saya sahaja yang ada sedikit kemampuan untuk menyambung pusakanya,” tambah beliau.

Kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari merupakan sebuah kumpulan yang ditubuhkan sejak tujuh generasi lamanya dan kini bertapak di Kuala Besut, Terengganu. “Saya telah berpindah ke Malaysia dari Narathiwat pada tahun 1979 kerana sukar untuk mengamalkan Mak Yong di sana ketika itu,” ujar Mek Ti tentang bagaimana beliau memulakan kerjaya Mak Yongnya di Malaysia. Beliau menambah, “Persembahan pertama saya di sini adalah di Kelantan, di mana kami telah bermain Mak Yong selama seminggu sebelum berpindah ke Terengganu. Ibu bapa saya kedua-duanya memang orang Kelantan, jadi saya memutuskan untuk terus menetap di Malaysia.”

Menurut Mek Ti lagi, terdapat bermacam-macam faedah yang telah beliau dapat melalui bidang kesenian, katanya, “Saya amatlah suka terhadap Mak Yong ini kerana tradisi ini telah membantu saya dalam bermacam jenis cara. Mudah untuk saya menerima bantuan disebabkan oleh kepandaian saya dalam bermain Mak Yong. Peluang berjumpa dengan Sultan, menteri dan orang-orang kenamaan juga adalah salah satu faedah yang saya dapat melalui penglibatan saya dalam tradisi ini. Saya juga berpeluang untuk ke Perancis untuk membuat persembahan; jika bukan kerana pandai bermain Mak Yong, mungkin saya tidak akan dapat peluang sebegitu daripada kerajaan.”

“Hampir saya ke Amerika Syarikat untuk membuat persembahan, tetapi akibat tidak dapat datang latihan pada satu hari, saya tidak dapat menyertai kumpulan yang mahu ke sana oleh Che Ning,” kata beliau berkongsi kisah. “Bermain Mak Yong ini boleh dikatakan menjadi darah daging saya, sehinggakan jika saya sakit pun, saya sanggup pergi menonton persembahan Mak Yong oleh kumpulan saya. Jika saya mendapat jemputan bermain Mak Yong, sebulan sebelum persembahan pun saya sudah tidak boleh tidur nyenyak,” tambah Mek Ti.

Memandangkan usianya yang kini telah mencecah 82 tahun, Mek Ti lebih senang mengajar bagi menurunkan ilmunya, ujar beliau, “Umur saya sudah meningkat, jadi saya memutuskan untuk menurunkan pusaka yang diterima dari Che Ning dan segala jenis ilmu kepada anak saudara saya iaitu Rohana Kadir. Kini, dialah yang menyambung legasi Che Ning dan Kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari.” Menyambung lagi tradisi Mak Yong Cahaya Matahari di mana Rohana juga merupakan cucu Che Ning, dia kini melakukan persembahan di samping ayahnya dan juga adik Mek Ti, iaitu Pak Su Kadir.

Selain sebuah bentuk persembahan, seni Mak Yong ini juga dilihat sebagai cara pengembalian semangat buat mereka yang dilanda kesedihan. Di sinilah datangnya unsur ‘angin’ Mak Yong, sebagaimana ulasan Mek Ti, “Dalam bermain Mak Yong ini, terdapat dua jenis orang di mana ada yang mengikut ‘angin’ dan ada juga yang mengikut ‘nafsu’. Jika seseorang itu memilih Mak Yong kerana ‘angin’, cukuplah sekadar dia membuat persembahan sekali dan boleh bertahan sehingga 10 ke 15 tahun.”

Tambahnya lagi, “Selain itu, jika seseorang mempunyai ‘angin’ Mak Yong, mereka jarang bergoyang ketika alat muzik dimainkan di luar persembahan mereka berbanding orang yang mengikut ‘nafsu’.” Perkara ini boleh dikaitkan dengan gambaran seakan ‘dirasuk’ yang sering dipamerkan dalam persembahan Mak Yong pada zaman dahulu kala. Pengharaman seni Mak Yong pada tahun 1991 di Kelantan dikaji semula dan ia telah diangkat pada tahun 2001. Ulas Mek Ti, “Bagi saya, bermain Mak Yong tiada masalah jika kita tidak berlebihan sehingga memuja-muja.”

Kini, seni Mak Yong telah diperkenan oleh UNESCO sebagai sebuah warisan budaya pada tahun 2005 dan dipersembahkan dengan membuang unsur yang tidak selari dengan ajaran Islam. Pelbagai usaha memperkenalkan seni Mak Yong ini telah dilakukan oleh badan seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan PUSAKA, malah ia juga muncul di layar perak melalui filem Duan Nago Bogho karya Sabri Yunus. Usaha Mek Ti juga sebagai penyambung tradisi tidak akan dilupakan; semoga perjuangan seni Mak Yong ini terus berjalan lancar.

Che Siti binti Dollah merupakan penerima dana Adiguru CENDANA fasa pertama dalam seni Wayang Kulit. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah menarik yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites