Pameran seni media ANTARA 2.0 sedang berlangsung di Seri Iskandar, Perak. Penulis meniti perjalanan lebih 200km ke negeri bertuah tersebut untuk sama-sama meraikan hari perasmian pameran yang semuanya disertai oleh pengkarya-pengkarya muda sambil bersembang dengan beberapa orang penting disebalik pameran ini.
Oleh AZUWAN AHMAD
Masih belum terlambat untuk anda menikmati pameran seni media baharu ANTARA 2.0 kerana ia masih berlangsung sehingga sehingga 31 Dis di Kapal Lorek Artspace, Seri Iskandar Perak. Barangkali ia adalah peluang untuk anda melihat sendiri sebuah pameran yang berbaloi sempena cuti sekolah dan tahun baru ini. Pameran yang memperlihatkan karya-karya seni media moden dalam bentuk projeksi cahaya, fotografi dan instalasi interaktif ini disertai oleh 5 seniman muda Malaysia yang berbeza latar belakang. Seniman-seniman berbakat ini antaranya Abdul Shakir, Danial Fuad, Daniel Mokhtar, Izhar Yusrin dan Syafiqah Rafi.
Menurut deskripsi yang diterima penulis ia bukan hanya sekadar sebuah pameran seni media baharu, namun ia juga mencerminkan keadaan semasa teknologi di era zaman ini. Dengan kemunculan NFT, seni digital dan evolusi manusia pasca Covid-19, kini seni adalah dokumentasi yang penting untuk masa lalu, masa kini dan masa hadapan. ANTARA 2.0 menyentuh kepentingan dokumentasi serta interaksi antara manusia secara keseluruhan mengenai topik global melalui seni media baharu.
Penulis mengambil kesempatan menemu bual Yasmin Bawadi, kurator yang dipilih untuk pameran kali ini. Yasmin, 24, graduan UiTM Shah Alam dalam Pengajian Seni Halus mengatakan bahawa ANTARA 1.0 sudah pun berlangsung pada tahun lepas. Ia bermula dari sebuah perbualan kecil bersama pensyarahnya, Encik Fadly Sabran yang juga pengasas Kapal Lorek. “Kononnya waktu itu cita-cita tinggi. Alangkah baiknya dapat melihat karya dari pengkarya-pengkarya muda seumur. Kita merancang untuk melakukannya di Perak. Kebetulan Perak adalah negeri kelahiran saya,” ceritanya. Pensyarahnya itu terus menyatakan sebuah cadangan agar dia menjadi kurator untuk sebuah pameran bagi anak muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia seni ini dan masih mencari-cari platform mempamerkan karya seni media baharu.
Kalau dilihat atau mendengar judul pameran ini memang mengundang pertanyaan. Mengapa ANTARA? Yasmin menjelaskan bahawa ia diinspirasikan oleh konsep grey area yang mana ia merupakan daerah yang tak terjelaskan antara hitam dan putih. Malah, kalau diperhatikan dinding bagi pameran ini sengaja menggunakan warna kelabu. Yasmin menjelaskan, “kita mahu mengetengahkan konsep tengah, diantara karya moden dan tradisional. Ia ditengah-tengah dan tidak dapat diberikan definisi. Kita mahu fokus di daerah itu. Oleh kerana itu, ANTARA adalah nama yang dipilih”. Namun sesetengah orang juga memberikan definisi bahawa ia adalah sebuah konsep dimana manusia itu merupakan subjek utama berinteraksi dengan keadaan di sekelilingnya.
Mengenai pemilihan artis bagi menyertai pameran ini, Yasmin mengatakan bahawa semasa ANTARA 1.0, dia sendiri yang mengubungi artis-artis ini untuk mempamerkan karya-karya mereka. Ia berbeza pula dengan edisi kali ini dimana mereka membuka pintu untuk pengkarya-pengkarya muda di seluruh Malaysia yang mahu terlibat dan masuk dalam proses pemilihan oleh pihak Yasmin dan pasukannya. Lebih 50 artis mencuba nasib dan pada akhirnya, 5 pengkarya ini dipilih. “Kita memang mencari karya yang di luar kebiasaan. Kita beri kebebasan kepada artis. Asalkan karya mereka tidaklah terlalu mengarut atau menyentuh sensitiviti. Kita memilih mereka kerana mereka berbeza latar belakang. Mereka memiliki apa yang kita mahu”, katanya. Bagi mereka yang tidak terpilih untuk pameran kali ini bukanlah kerana karya mereka tidak bagus jelas Yasmin. Namun, mereka mencari karya yang mempunyai nilai tambah dan mempunyai kelainan selain cuba untuk menyesuaikan dengan konsep garis kesamaran yang cuba mereka bawa.
Karya-karya yang berada di pameran ini memang bukan untuk dijual. Menurut Yasmin, hal tersebut tidaklah pula menghalang mereka yang berminat untuk membeli kerana dia memahami bahawa pengumpul koleksi seni time-based di Malaysia tidak ramai kalau mahu dibandingkan dengan negara Asia Tenggara yang lain. Gadis kecil molek ini menjelaskan bahawa pameran ini bukan untuk mencari keuntungan tetapi lebih kepada mendidik masyarakat atau komuniti di Malaysia terhadap karya-karya seperti ini. Yasmin sangat berpuas hati dengan penerimaan penduduk setempat terhadap pameran kali ini kerana terdapat pengunjung dari segenap lapisan usia datang untuk menikmati karya-karya yang ada. “Saya suka melihat penerimaan sebegini kerana mereka dapat belajar sesuatu yang baru. Seperti ANTARA 1.0 tahun lepas, ada pihak yang menjalankan sesi foto perkahwinan berlatarbelakangkan galeri yang mempunyai karya seperti ini,”ujar Yasmin.
Yasmin berkongsi sebuah berita gembira dengan menyatakan bahawa ada gabungan seni daripada Jakarta yang sudah berminat untuk berkolaborasi dalam aktiviti pertukaran seni. Mereka akan membawa pengkarya daripada 2 edisi ANTARA mempamerkan karya mereka di Indonesia pada bulan September tahun hadapan. Kumpulan daripada Jakarta ini pula akan mempamerkan karya mereka di sini yang dirancang sekitar bulan Mei. Harapan Yasmin untuk tahun 2023, dia mahu lebih ramai orang sedar akan kewujudan karya seni kontemporari dan menerima kehadiran karya-karya ini. Dia mahu mencipta gelombang baru dalam pengunjung yang meminati karya ini dan bukan hanya wajah-wajah yang sama.
Sudah tentu, kolaborasi antara 2 buah negara ini diraikan oleh salah seorang pengkarya ANTARA 2.0, Danial Fuad. Danial, 31, mengatakan bahawa baru tahun ini dia sempat untuk menghantar karya bagi pemilihan disebabkan sebelum ini dia sibuk dengan kerja harian. Dia berasa terharu kerana terpilih untuk pameran kali ini, memandangkan ANTARA 2.0 merupakan pameran fizikal pertama baginya dalam tempoh 6 tahun. Danial yang juga merupakan graduan dalam Bidang Forografi dari UiTM dan juga sangat meminati fotografi seni halus sangat memandang tinggi kepada organisasi Kapal Lorek yang dirasakan mempunyai prestij dalam mempamerkan karya-karya media baharu.
Mengulas mengenai karyanya yang dipamerkan, ia adalah beberapa frame kolaj susunan gambar topeng pelindung muka atau facemask yang dibuang oleh masyarakat Malaysia di tepi-tepi jalan di pelbagai tempat. Danial menjadikan sekitar kawasan kediamannya, Sentul Pasar sebagai latar kepada gambar-gambar tersebut. “Pada mulanya ia tergerak secara semula jadi. Saya pergi ke pasar, kedai potong rambut dan kedai makan, saya menemui perkara baru iaitu topeng muka ketika kita dilanda wabak. Ia adalah isu baru kerana kita tidak pernah melaluinya sejak 100 tahun yang lalu. Ia sangat mengganggu saya sebagai orang awam. Sebagai artis ia menjadi artwork kerana ada benda yang menganggu kita,” jelasnya. Fotografi menjadi medan atau medium untuk Danial bertempur dengan isu sampah topeng pelindung muka dan dijadikan sebagai sebuah ekspresi protes.
Untuk pameran ini, Danial mempersembahkan lebih 116 buah foto daripada 800 gambar yang terdapat dalam simpanan peribadinya. Dia mengumpul foto-foto ini sejak 2021 lagi walaupun tidak aktif mencari subjek tersebut. Dia menganggap dirinya sebagai digital archivist dan melawan dalam bentuk respon foto. Danial merancang untuk mempamerkan kesemua foto yang diambilnya bagi subjek tersebut sebagai penutup projek ini dan pada yang sama mengetengahkan beratapa serius serta parahnya masalah ini. Dalam konteks seni media baharu ini, Danial berharap agar karya-karya anak muda tempatan dapat mengambil peluang menembusi pasaran antarabangsa yang dirasakannya boleh menghargai karya-karya tersebut.
Tidak kena rasanya kalau tidak berbual dengan pemilik Kapal Lorek Artspace, Fadly Sabran yang membuka pintunya untuk pengkarya muda yang masih terkial-kial mencari platform seni dalam mempamerkan karya mereka. Fadly, 39, bercerita premisnya itu sudah bermula sejak 2014 di sebuah lot kedai berhampiran dengan lokasi sekarang. Fadly merupakan pensyarah di Jabatan Seni Halus UiTM Seri Iskandar. Keresahannya mengenai ketiadaan sebuah premis yang berasaskan seni di tempat kelahirannya tersebut walaupun ada wujud sebuah sekolah seni di situ mendorongnya untuk mendirikan Kapal Lorek.
“Apabila saya mengembara ke tempat seperti Filipina dan Jogjakarta, saya melihat kawan-kawan saya di sana gigih mewujudkan komuniti seni dalam pada masa yang sama mereka berkarya. Di situ bukan sahaja studio mereka berkarya namun juga dijadikan tempat pameran dan tempat untuk mereka berdiskusi. Walaupun tak ada modal yang besar dan ruang yang besar, mereka tetap aktif,” jelas Fadly apabila bercerita tentang inspirasi untuk mewujudkan Kapal Lorek.
Dia sanggup mengeluarkan sebahagian daripada gajinya untuk menampung kos mewujudkan hab seni tersebut. Artis yang pertama cerita Fadly mempamerkan karya di tempatnya adalah Hawari Ibrahim yang sudah tentu mempunyai nama di kalangan dunia artis seni halus di Malaysia. Fadly mengambil masa selama 3 tahun untuk membina profil Kapal Lorek dan ternyata hasil tidak pernah mengkhianati usahanya. Ramai pihak sudah mula membuka mata dan memberinya bantuan dalam bentuk geran, antaranya adalah CENDANA.
Harapan Fadly untuk tahun 2023, dia berhasrat untuk mengembangkan lagi seni aliran moden. Dia mahu artis tempatan menjelajah lebih luas apatah lagi sekarang orang sudah mula bercakap tentang teknologi artificial intelligence. Fadly berhasrat untuk terus mempertahankan kewujudan Kapal Lorek di samping mengadakan lebih banyak pameran seni. Pesan Fadly, seni ini penting untuk masyarakat, ia menggambarkan sebuah mentaliti dan kemahiran berfikir secara kritikal. Dia berharap dengan bantuan yang ada dapat membuka mata masyarakat dan artis berani untuk menjadikannya sebagai kerjaya.
Info Kapal Lorek Artspace dapat dilayari di lama Facebook Kapal Lorek Artspace dan juga di laman Instagram mereka, @kapallorek.
Ikuti kiss-kisah menarik yang lain di BASKL: