Faizal Tahir adalah nama yang tidak asing lagi di dalam industri seni nyanyian di tanah air kita. Populariti nya bukan hanya kerana nyanyiannya, namun juga dalam bakat menggubah lagu sehingga dia mempunyai studio rakamannya sendiri. BASKL berbual dengan Faizal dan bertanya pelbagai soalan dalam aspek kerjaya dan peribadinya.
Oleh AZUWAN AHMAD
“Bukan kita yang pilih muzik, tetapi muzik yang memilih kita, apabila ia sudah memilih, yang kita harus lakukan hanyalah berjuang dan bertahan dengan pilihan dan perjalanan hidup itu,” penulis mengutip satu petikan yang pernah terbaca di ruang maya.
Petikan ini membuat penulis berfikir kerana ada juga beberapa orang kenalan yang menjadikan muzik sebagai sumber rezeki. Ada yang pernah menang anugerah dengan lagu hits, ada yang masih belum “pecah”. Ada juga di antara mereka yang bermain muzik di jalanan, lebih tepat lagi di medan selera.
“Suatu hari nanti ada orang tawarkan aku untuk cipta lagu. Nanti boleh kutip royalti. Boleh cecah ribu-ribu,” katanya kepada penulis yang membuatkan penulis terdiam sahaja. Hati kecil pula berkata, adakah ianya semudah itu?
Memang lumrah sebagai penulis, persoalan sentiasa timbul dalam diri apabila suatu isu berlegar di minda. Bagi merungkai persoalan ini, penulis berkesempatan untuk menemu bual rockstar tanah air kita.
Dengan 14 tahun pengalaman dan pernah memenangi puluhan anugerah dalam bidang muzik, BASKL berkesempatan untuk mencuri sedikit waktu Faizal Tahir, satu nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik tempatan. Seperti AG Coco, Pemilik Studio Faithful Music ini berkata dia tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penyanyi.
Pernah mencuba pelbagai pekerjaan dalam bidang penyiaran termasuk sebagai hos rancangan hiburan dan pengulas sukan, graduan UiTM dalam bidang Komunikasi Massa ini berkongsi mengapa dia memilih muzik dan bukan bidang yang lain.
“Dari dulu keghairahan saya memang pada muzik. Saya mempunyai impian untuk menjadi penerbit dan penulis lagu, tetapi bukannya seorang penyanyi kerana asalnya saya seorang yang pemalu dan susah kalau bertemu dengan orang sehingga pernah mendapatkan khidmat kaunseling untuk isu itu. Tetapi masa-masa itu telah berlalu. Muzik menjadi tempat untuk saya meluahkan rasa saya yang tak terluah,” mengutip kata-kata pelantun lagu Mahakarya Cinta itu.
Sebelum Faizal tahir mengorak langkah sebagai seorang penyanyi yang kita kenal pada hari ini, dia pernah membuka studio sendiri secara kecil-kecilan setelah keluar dari kumpulan nasyid Mirwana. Dia mencipta lagu dan cuba menghantar kepada penerbit-penerbit yang lebih ternama dan pada ketika itu lah dia merasakan banyak halangan untuk menembusi ke dalam industri muzik, apatah lagi pada ketika itu tiada siapa yang mengenali insan di sebalik nama Faizal Tahir.
“Pada suatu hari saya ternampak iklan sebuah rancangan realiti mencari penyanyi, kawan saya telah ‘mengheret’ saya ke ujibakat tersebut dan orang kata, the rest is history,” Faizal menjelaskan dari situ impiannya berubah daripada seorang penulis lagu kepada seorang penyanyi.
Muzik dan sumber pendapatan
Penulis kemudian bertanya lebih lanjut kepada Faizal mengenai kehidupan seorang penyanyi dan pemuzik di Malaysia, bagaimana mereka menjana pendapatan daripada muzik? Antara sumber kewangan adalah melalui royalti, namun Faizal menambah: “Saya tidak kisah sangat tentang berapa yang saya dapat daripada royalti, bukan kerana saya tidak pandang tetapi kerana saya tidak berharap dari sumber itu. It’s not easy. Bukan semua orang boleh berjaya dalam business side of music,” jelasnya, ramai yang menantikan pembayaran royalti, tetapi dia bukan pemuzik yang begitu.
Baginya royalti itu seperti ‘wang terpijak’, kalau ada agihan royalti untuknya dia rasa sangat bersyukur. Faizal berkata dia bukanlah menerima agihan royalti yang terlalu besar dan mengambil contoh pembikin lagu yang lebih terdahulu daripadanya. Dia menyambung bahawa kalau dahulu platform tidak terlalu banyak, jadi kutipan royalti tidak terpecah di banyak tempat seperti sekarang di platform digital.
Di Malaysia, terdapat beberapa badan yang mengutip royalti bagi industri muzik. Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) adalah merupakan organisasi yang terbesar dalam mengutip royalti lagu yang dimainkan di platform awam seperti televisyen dan radio hasil daripada hak cipta lagu oleh ahlinya yang berdaftar terdiri daripada penerbit, komposer dan penulis lagu.
Pengagihan royalti terhadap hak cipta lagu-lagu tersebut hanya diagihkan sekali dalam tempoh setahun. Faizal berkata sumber utama pendapatannya sebagai seorang penyanyi adalah daripada persembahan-persembahan yang dilakukannya tidak kira secara langsung atau rakaman di televisyen serta undangan majlis-majlis korporat seperti jamuan makan malam.
Mungkin kedengarannya seperti membosankan, tetapi kata Faizal itu adalah realiti sebagai penyanyi di Malaysia meskipun keinginannya adalah melakukan lebih banyak persembahan konsert dan bertemu dengan peminat secara langsung.
Dia sedar bahawa perkara itu agak sukar tetapi dia merasakan dirinya masih bertuah kerana mempunyai label atau syarikat di bawah naungannya sendiri atas bantuan rakan niaganya serta orang dalam industri muzik. Dalam keadaan dunia dilanda pandemik wabak Covid-19, dia masih dapat bergerak dan menjalankan kerja-kerja muzik melalui label tersebut dan itu adalah antara sumber pendapatannya yang terbesar.
Faithful Studio miliknya telah menerbitkan lagu untuk ramai artis terkenal antaranya seperti Aizat Amdan dan Caliph Buskers. Selain daripada itu, ada juga label lain yang mendapatkan khidmatnya untuk menerbitkan lagu untuk artis mereka. Faizal juga mengakui, sepanjang perintah kawalan dan perlu bekerja dari rumah, menerbitkan lagu adalah sumber pendapatan utama Faizal.
Dia menganggap hal itu sebagai tuah ditambah dengan keberkesanan tenaga kerja kumpulan pengurusannya yang bagus, dia berhasil untuk mendapatkan peluang pekerjaan dalam bidang muzik walaupun ramai yang terjejas sejak awal pandemik lalu. Bekerja dari rumah masing-masing merupakan antara cabaran yang besar terutamanya untuk menerbitkan lagu, tetapi dengan kecekapan teknologi ianya tidak mustahil untuk dilakukan termasuklah merakam suara artis di luar studionya.
Bagi seorang anak seni yang kreatif, cabaran utamanya adalah apabila idea yang diperam terlalu lama dan mencari rentak bekerja di rumah yang sukar, pastinya ini terpaksa dirasai oleh semua sewaktu itu. Kumpulan kerja Faithful Music juga sekarang giat menjalankan kerja publishing yang mana terdapat 22 orang penulis lagu bernaung di bawahnya yang bertujuan untuk melindungi hak cipta penulis-penulis lagu.
Bila bercakap mengenai menjadi duta produk, dia mengakui sering mendapat tawaran. Namun pemilihan produk yang bersesuaian dengan personaliti dan kerjayanya amat penting kerana itu dapat memberikan nilai tambah kepada sesuatu jenama tersebut.
Selain bidang muzik, Faizal tidak mempunyai perniagaan lagi dan jarang untuk mengaitkan namanya dengan produk lain. Namun, bersikap realistik ada kalanya dia harus mengaitkan namanya jika ianya sebuah perniagaan berasaskan makanan. Kalau ada sebuah entiti yang berkait dengannya tetapi di luar bidang muzik, ianya adalah “IAMFAITHMEN” iaitu sebuah perniagaan dengan tujuan untuk mengutip dana bagi melakukan kerja-kerja kebajikan.
Cuba mengimbangi dirinya yang digelar rockstar dengan realiti kehidupan ini, Faizal menganggap itu hanyalah gelaran yang diberikan dan sangat merendah diri menjawab.
“Rockstar ini hanyalah persepsi orang sahaja dan apa yang orang mahu lihat,” jelasnya lagi dalam pada awal-awal dia meniti kerjaya sebagai seorang penyanyi dia memang mahu menjadi seorang rockstar dan sentiasa mahu berada di atas dengan banyak persembahan dan lebih banyak wang tetapi sebagai seorang manusia kita harus belajar daripada kesilapan.
Sekarang dia lebih gemar menjalani kehidupan seperti orang biasa ditambah dengan tanggungjawabnya sebagai sebagai seorang suami dan bapa walaupun pada suatu ketika dia pernah mempunyai koleksi gitar sebanyak 60 buah. Dia dengan tegas mengatakan bahawa dia tidak hidup seperti seorang rockstar kerana dia memilih untuk tidak hidup seperti itu.
Walaupun pendapatannya sebagai seorang penyanyi dan pemuzik sekarang ini lebih baik berbanding dahulu, dia juga sedar bahawa dia mempunyai peranan lain. Bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi juga menjadi inspirasi dan memberikan manfaat untuk orang di luar sana.
Pengurusan jenama dan kewangan
Dengan teknologi yang ada, akses terhadap pemuzik atau artis lebih luas. Jika dahulu, untuk bersua muka dengan artis adalah amat sukar, medium untuk menikmati karya mereka juga terhad. Itu menjadikan artis-artis dahulu lebih eksklusif.
“Pernah tak Amy Search terfikir 30 tahun dahulu dia boleh membuat persembahan secara maya? Landscape-nya berbeza,” ujarnya.
Faizal berpendapat, sekarang situasinya berbeza, lebih-lebih lagi dengan adanya laman media sosial. Secara tidak langsung, ia memberi impak kepada keeksklusifan artis kecuali jika mereka pandai mengawal dan bermain dengannya. Sebagai contoh, artis yang lebih eksklusif barangkali mempunyai satu atau dua kontrak dalam satu-satu masa yang nilainya sama seperti 10 kontrak seorang artis yang lebih mendedahkan diri mereka pada pelbagai produk dan jenama. Namun itu adalah pilihan masing-masing dan dia tidak salah jika hendak berbuat demikian.
Dari pemilihan jenama dan job ke mengurusan kewangan. Secara terus terang dia menjawab sambil ketawa, “I let my wife manage my money. Itu yang terbaik,” kongsi Faizal. Di awal kerjaya ketika mula mendapat pendapatan yang banyak, dia mengakui banyak berbelanja dan dia juga kurang pandai dalam menguruskan duit termasuklah lambat membayar cukai. Ia bukanlah sesuatu yang membanggakan namun berkongsi untuk iktibar buat semua.
Pengalaman banyak mengajar Faizal, dengan bantuan isteri yang tercinta dan kumpulan pengurusan yang bagus dalam memberi nasihat tentang kerjaya dan bagaimana wang harus dibelanjakan. Tambahan mempunyai anak yang ramai memberikan Faizal rasa tanggungjawab untuk memikirkan masa depan dia dan keluarganya.
“Perkara yang anda perlu untuk berkecimpung dalam bidang muzik adalah kematangan. Untuk berada dalam industri ini anda tidak boleh mengharapkan kejayaan yang serta merta. Kita kena kerja keras dan tunjukkan bahawa kita mahu berada di sini. Jangan sombong dan berkawan dengan semua orang dalam industri.
“People will help you. Jangan fikir nak jadi rockstar. Industri ini tidak mudah dan tak semua orang boleh bertahan. Kemudian nasihat saya adalah cari management yang bagus. Kita kena ada target untuk jangka masa lima hingga 10 tahun. Laburkan dan simpan duit. Jangan jadi macam saya, isteri yang tolong buka akaun. It’s good to have insurance. Kita tak tahu apa akan jadi dengan kita. Juga yang paling penting, bayar cukai. Itu pun untuk diri kita sebenarnya,” nasihat Faizal buat semua anak seni yang baharu.
Mendengar dari mulut pemuzik terkenal tanah air ini berbicara, penulis dapat merasakan bahawa tak ada jalan mudah untuk memasuki industri muzik ini. Dalam industri yang kecil in, pastinya banyak saingan. Inilah realiti anak seni atau apa pun pekerjaan di dalam dunia ini, kita perlu ada minat, kerja keras, fikiran yang matang dan bersifat ke hadapan. Apatah lagi untuk mempunyai niat bertahan buat jangka masa yang lama.
Ikuti temu bual eksklusif bersama AG Coco di sini tentang realiti kehidupan jatuh bangun anak seni.