Pantang larang, pantang dilanggar!

Wang ringgit bukanlah segala-galanya namun segala-galanya memerlukan wang ringgit. Ada juga yang sanggup melanggar pantang larang demi mencari wang. Itulah pentingnya kita mencari keseimbangan dalam kehidupan agar tidak lalai, terpesong atau terpedaya dengan keindahan dunia yang sementara.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Minggu lalu BASKL telah mendapat undangan untuk menghadiri sebuah tayangan perdana di GSC Paradigm Mall, daripada Kelab Kebudayaan Mah Meri. Sedikit latar belakang mengenai suku kaum Mah Meri ini, mereka merupakan salah satu daripada 18 suku kaum orang asli yang terdapat di semenanjung Malaysia. Mereka ini amat terkenal dengan pembuatan hasil kraftangan. Kepakaran mereka amat hebat sekali dan adakalanya, kraf tangan hasil mereka ini mampu mencecah ribuan ringgit. Komuniti mereka ini hanya terdapat di Pulau Carey, Selangor dan telah bertapak di situ sejak ratusan tahun yang lalu. 

Sumber: Facebook Kelab Kebudayaan Mah Meri.

Apa yang membuatkan kami lebih selesa, saat kita masih lagi bergelumang dengan pandemik ini, Paradigm Mall amat menitik beratkan penjagaan SOP dan kebersihan udara yang kita hirup semasa berada di dalam kompleks beli belah mereka. Paradigm Mall dilengkapi dengan sistem Nanoe X Protection yang mampu mencuci udara dalam kompleks 24 jam sehari. Jadi, pengguna dan pengunjung tidak perlu risau dan dapat berseronok dengan tenang dan selamat. Mungkin ramai antara kita yang masih lagi belum pernah menonton wayang selepas pandemik ini, jadi kami cuba memberi gambaran sebenar agar anda berasa selamat untuk terus menyokong industri filem terutamanya filem-filem tempatan di pawagam berhampiran. 

Kembali kepada cerita tayangan perdana tadi, BASKL telah dijemput mereka untuk menonton C144 Human X Nature. Bagi memudahkan anda yang ingin menonton wayang di sini, anda boleh naik ke tempat letak kereta tingkat L3 dan terus ke pintu masuk GSC. Sebelum memasuki premis dan menaiki landasan ke tingkat atas, terdapat seorang pengawal yang akan meminta anda mengimbas kod MySejahtera. 

Tidak beberapa lama selepas memasuki panggung, tayangan C144 Human X Nature pun bermula dan cerita ini mengambil masa 1 jam 40 minit. Penceritaannya bermula apabila dua orang sahabat Jason dan Kamal telah mendapat tahu berkenaan sebuah bangkai kapal terbang perang pada zaman Perang Dunia ke-2 yang telah terhempas di Tanah Melayu (pada ketika itu). Mereka berniat untuk mendapatkan wang secara cepat dan mudah lalu memulakan sebuah ekpedisi dan menjemput beberapa yang lain untuk turut serta. 

  • Penglibatan Orang Asli di Dalam Cerita C144 Human X Nature 

Dalam kisah ini, peserta yang pelbagai ragam dari dalam dan luar negara serta latar belakang yang berbeza telah turut serta dalam ekspedisi ini. Jason dan Kamal bukannya pakar dalam ekspedisi seperti ini namun oleh kerana inginkan wang, mereka tetap meneruskannya walaupun kurang memberi perhatian mengenai keselamatan zahir dan batin para peserta yang lain. Salah seorang daripada peserta ekspedisi telahpun memberi amaran bahawa apabila kita memasuki hutan, ada pantang larang yang perlu kita akur dan hormati. Bak kata pepatah Melayu, “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”. Bagi penulis BASKL, cerita ini amat menarik sekali dan mempunyai mesej yang hebat serta harus ditonton oleh semua.

Barisan pelakon dan krew filem C144 Human X Nature di ruang legar GSC Paradigm Mall.

“Pada awalnya, penerbit filem C144 Aaron Lim telah menghubungi saya untuk meminta nasihat dan pendapat. Bagaimana untuk memasukkan elemen orang asli ke dalam cerita mereka,” kata Norlia Samsi yang juga merupakan Pengerusi Kelab Kebudayaan Mah Meri.

Oleh kerana filem ini berkisarkan mengenai pengembaraan di dalam hutan, maka tidak ada masyarakat yang lebih sesuai untuk ditonjolkan selain daripada masyarakat orang asli. Orang asli merupakan orang yang paling arif mengenai keberadaan di dalam hutan, pantang larang yang ada serta cara-cara untuk mengembara dalam sebuah hutan. 

Penglibatan Orang Asli, terutamanya suku kaum Mah Meri memang dapat dilihat dalam cerita ini. Daripada babak awal sehinggalah ke babak yang terakhir. Menurut Norlia Samsi, filem C144 Human X Nature ini juga telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa serta membuat tayangan di lebih 12 negara di Asia & Eropah termasuk Jepun, Korea Selatan, China dan beberapa negara Eropah. Apa yang lebih hebat, mereka juga akan membuat tayangan perdana di Hollywood pada bulan April yang akan datang.

Norlia bercerita kepada BASKL bahawa ramai di luar sana yang masih mengganggap orang asli ini memakai cawat, tinggal di atas pokok dan sebagainya. Jadi ini merupakan satu peluang yang baik untuk mendidik masyarakat mengenai kehidupan orang asli, pegangan mereka serta nilai-nilai murni mereka yang baik.

“Kadang-kadang orang asli ni lebih tinggi tamadunnya, berbanding kita pada hari ini,” tambah Norlia. Orang asli percaya bahawa kita berkongsi tempat yang sama dengan makhluk halus, maka kita perlu berhati-hati dengan apa sahaja yang kita ingin buat. 

Norlia juga berkongsi mengenai kepercayaan orang asli ini. “Kepercayaan mereka adalah apabila kita masuk ke dalam hutan, jangan ambil apa-apa, jangan usik apa-apa. Apabila memasuki hutan, perlu ada adab dan tatacara.”

“Mereka juga percaya kepada konsep tukar ganti. Apabila mengambil hasil hutan, contohnya ada pokok yang diambil maka perlulah diganti dengan benih pokok tersebut yang baharu,” kata Norlia. 

Sungguh menarik budaya dan adat orang asli ini dan membuatkan kita berfikir tentang sebuah konsep moden iaitu “sustainability”. Rupanya ini merupakan amalan orang asli sejak berkurun lamanya. Mungkin benarlah kata Norlia di awal perbualan tadi berkenaan ketamadunan orang asli ini kadang kala lebih hebat daripada masyarakat yang tinggal di kota. Mengenai peralatan dan upacara orang asli yang ditunjukkan dalam filem ini pula antaranya adalah topeng muka orang asli Mah Meri yang diukir dan diperbuat daripada kayu.

Terdapat tiga topeng muka suku kaum Mah Meri yang ditayangkan di dalam filem C144 Human X Nature ini. Topeng muka Moyang Gadeng, Moyang Melor dan Moyang Tok Naning. Moyang Gadeng merupakan sebuah topeng muka yang memberi erti mengalu-alukan dan memberi semangat atau perasaan yang baik baik. Moyang Melor pula mempunyai 2 wajah.

“Moyang Melor ni dia macam ada two face. Ini memberi erti bahawa manusia, kita ni ada cantiknya dan ada buruknya,” kata Norlia. Topeng muka ketiga yang ditunjukkan dalam filem ini adalah Moyang Tok Naning. Mengikut kepercayaan orang asli Mah Meri, topeng muka Moyang Tok Naning ini merupakan semangat yang melindungi mereka. 

Selain daripada itu, terdapat juga sebuah peralatan yang diperbuat daripada rotan yang dinamakan Jerat Tupai. Ia digunakan sebagai sempadan agar semangat yang tidak diingini atau semangat yang tidak baik tidak masuk ke dalam kawasan kita. Dalam filem ini juga terdapat sebuah upacara yang dinamakan Tarian Sewang Kaum Semai. Tarian ini akan diadakan sebagai sebuah upacara perubatan dimana ia akan diketuai oleh seorang bomoh. Walau bagaimanapun, Tarian Sewang ini bukanlah sebuah upacara bagi orang asli suku kaum Mah Meri tetapi orang asli suku kaum Semai, orang asli Perak. Norlia turut berkongsi bersama BASKL, “Mah Meri ada sebuah upacara perubatan yang lain tetapi mereka tidak cerita dan tunjukkan upacara ini kepada orang ramai.”

Kalau kita tinjau daripada sudut ilmiah, daripada sudut kesopanan dan tatatertib orang asli di Malaysia ini, hebat sungguh adat resam dan ilmu yang dimiliki oleh mereka ini. Tanpa memerlukan hospital yang berteknologi tinggi, universiti yang bertaraf dunia, mereka tetap memahami akan ekosistem semulajadi dan konsep saling hormat menghormati demi kelestarian hidup bermasyarakat. Ini yang membuatkan mereka ini sungguh istimewa, sebuah khazanah buat negara Malaysia. 

Filem C144 Human X Nature telah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 17 Feb yang lalu. Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan Mah Meri dan melihat dengan mata sendiri hasil-hasil seni kraf mereka serta budaya mereka, klik pautan ini untuk layari laman web atau Facebook Kelab Kebudayaan Mah Meri. Bagi anda yang ingin menonton tayangan teater Mah Meri yang telah diadakan sempena Art in The City 2021, anda boleh tonton di SINI.

Nota dari penulis: Dikesempatan ini juga, BASKL berharap agar semua pembaca berada dalam keadaan sihat walafiat dan dijauhi daripada segala wabak penyakit. Amat merisaukan sekali, jumlah kes yang kini melonjak-lonjak naik, seperti cacing kepanasan kita ini setiap kali memikirkannya. Namun apa kan daya, kehidupan perlu kita teruskan jua. Apa yang penting, kita jaga kita dan kuatkan semangat untuk menghadapi hari-hari mendatang.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites