Seni merupakan suatu luahan jiwa yang cukup indah dan memukau minda. Tatkala kehidupan kita dihujani ujian, seni membantu kita untuk terus mengukir senyuman dalam mengharungi segala cabaran yang mendatang.
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Siapa sahaja yang tidak suka akan seni dan kreativiti? Walaupun anda seorang juruakaun atau seorang jurutera sekalipun, minda dan jiwa kita tidak lari dari kecenderungan dalam meminati hasil seni dan kreativiti yang ada di sekeliling kita. Daripada pemakaian kita untuk keluar di awal pagi, sehinggalah kata-kata yang kita ungkapkan kepada orang di rumah selepas seharian membanting tulang mencari sesuap nasi.
Semua ini dihiasi dengan secebis kesenian dan kreativiti yang tanpa kita sedari, dapat mengukirkan senyuman pada wajah kita dan juga orang-orang yang kita sayangi. Sebagai seorang manusia, segala apa yang kita hasilkan atau persembahkan sudah tentu datangnya daripada suatu inspirasi hasil dari pengalaman, penglihatan ataupun pendengaran kita.
Sebuah inspirasi itu boleh datang daripada pelbagai cara dan bentuk. Ada yang datang dalam bentuk lagu, ada juga yang datang dalam bentuk sebuah lukisan dan ada juga yang datangdalam bentuk sebuah ukiran. Kadangkala tanpa kita sedari, terdapat pelbagai sumber inspirasi yang terdapat di sekeliling kita, cuma kemungkinan tidak pernah terlintas di fikiran atau tidak pernah kita perasan.
Di sekitar bandaraya Petaling Jaya ini sebenarnya terdapat pelbagai jenis ruang seni yang mampu mencungkil buah fikiran kreatif daripada minda kita. Kita akan meninjau sebuah galeri seni visual, sebuah rumah yang diubahsuai menjadi galeri seni abstrak dan juga sebuah ruang kreatif buat anak-anak yang meminati seni kraf dan pembuatan barang kemas.
- Galeri Kita Seni
Galeri Kita Seni merupakan sebuah galeri seni yang berpegang teguh kepada slogan kata “affordable fine art”. Dalam erti kata lain, mereka ingin membawakan hasil seni halus ini menjadi sebuah karya yang mampu dimiliki dan mampu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Terletak di Seksyen 17, Petaling Jaya Galeri Kita Seni mempamerkan hasil karya daripada pelbagai variasi karyawan tempatan.
Antara hasil karya yang dapat dilihat di Galeri Kita Seni ini adalah seperti lukisan pemandangan, haiwan dan juga abstrak bentuk yang hadir dalam pelbagai warna yang pasti dapat menarik perhatian orang ramai yang melihatnya. Antara maklum balas yang diungkapkan oleh pembeli hasil karya yang ada di sini adalah mereka tidak percaya hasil karya asli dapat dimiliki di dalam julat harga sebegini. Bagi mereka yang ingin melawat Galeri Kita Seni, anda boleh membuat temu janji melalui laman web mereka atau menghubungi melalui Whatsapp.
- Gallery Des Artiste
Daripada namanya sahaja kita sudah tertanya-tanya mengapa ejaan galeri ini sebegini rupa. Gallery Des Artiste merupakan sebuah galeri seni kontemporari yang terletak di dalam sebuah rumah banglo di Tropicana Golf & Country Resort di Kota Damansara. Dewan pameran utama di galeri ini mempunyai keluasan 120m kaki persegi dengan ketinggian 8 meter. Ruang laman di galeri ini pula mempunyai keluasan sebanyak 600m kaki persegi dan mampu menempatkan pelbagai jenis ukiran dan arca.
Gallery Des Artiste ini sering membariskan hasil seni kontemporari daripada seluruh dunia. Antara misi mereka adalah untuk menjadi jambatan di antara artis, variasi seni kontemporari yang ada dan juga para pengumpul hasil seni. Mereka juga ingin menjadi pusat di antara karyawan seni kontemporari dan masyarakat awam serta mempromosikan artis-artis berbakat merentasi sempadan negara. Jika anda meminati dan ingin membuat lawatan ke Gallery Des Artiste, anda boleh membuat temu janji lawatan di laman web mereka.
- That Messy Studio
That Messy Studio ini merupakan sebuah ruang seni yang cukup menarik dan unik dan terletak di Empire City, Petaling Jaya. Pengasasnya Anis Khairina Ahmad Kamil (cerita BASKL berkenaan beliau di sini) menjadikan perkataan “messy” yang bermaksud huru-hara itu sebagai satu perkara yang positif dan memberi inspirasi kepada khalayak ramai untuk turut menggenggam realiti bahawa kadang-kala, hidup pasti ada waktu huru-haranya.
Itulah permulaan perjalanan That Messy Studio dan The Messy Club, Anis yang dahulunya seorang cikgu seni sering merasakan bahawa ramai yang terlampau berhati-hati dalam berkarya dan berseni. Jadi buat mereka yang ingin mencari ilham, melepaskan tekanan atau apa jua asbab untuk berkarya, maka marilah mencuba That Messy Club dan anda boleh membuat temu janji di Instagram mereka.
- G13 Gallery
Galeri Seni G13 ini terletak di SS7, Petaling Jaya dan merupakan sebuah galeri yang ingin memberi kesedaran dan apresiasi terhadap hasil seni karyawan-karyawan Asia. Galeri G13 terletak di sebuah bangunan Pusat Dagangan dan anda boleh meletakkan kenderaan betul-betul di hadapan galeri berkenaan. Ini cukup mudah dan amat sesuai bagi peminat seni yang ingin melawat galeri G13 ini.
Galeri G13 ini merupakan sebuah galeri yang cukup tersusun dan mempunyai laman web yang amat mudah bagi mempamerkan hasil kreatif artis-artis yang mempunyai projek bersama mereka. Laman web mereka ini sahaja pun sudah cukup menarik dan mempunyai pelbagai maklumat, apatah lagi apabila anda melawat galeri G13 ini secara fizikal sudah tentu lebih memukau mata dan minda kita.
- Shalini Ganendra Fine Art
Bagi mereka yang meminati dunia seni halus, anda sudah tentu pernah mendengar nama Shalini Ganendra sebelum ini. Sebuah rumah banglo lama di Seksyen 16, Petaling Jaya ini diubahsuai menjadi sebuah galeri seni halus dan menjadi tempat berkumpul para seniman, tokoh-tokoh korporat dan juga pemimpin-pemimpin kedutaan daripada pelbagai negara. Sebuah destinasi dan pusat seni yang cukup masyhur di sekitar kawasan Petaling Jaya ini.
Mereka juga mempunyai sebuah konsultasi yang memberi nasihat dan berkongsi kepakaran dalam menjayakan sebuah projek seni tidak kira di dalam cabang seni apa sekalipun. Galeri ini cukup ekslusif dan anda boleh membuat lawatan ke galeri berkenaan jika mereka mengadakan sebuah acara. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan acara-acara yang bakal berlangsung, anda boleh layari laman media sosial mereka di Instagram dan juga di Facebook.
Inilah antara lima ruang-ruang seni di Petaling Jaya bagi anda yang ingin mencari inspirasi, beriadah bersama keluarga terutamanya bersempena cuti sekolah ini, mahupun sekadar mengenali dan mengetahui lebih mendalam mengenai dunia seni di sekeliling kita. Semoga tips BASKL kali ini bermanfaat dan dapat memberi impak positif buat anda.
Gambar Utama adalah gambar Galeri G13