3Pemuzik Malaysia mahu gegar pintu penindasan

3PM atau Persatuan Pencipta , Pelaku dan Penerbit Muzik Malasia adalah sebuah NGO yang baru sahaja ditubuhkan untuk memperjuangkan hak royalti para pemuzik tanah air. BASKL turut bersama di majlis pelancaran pertubuhan tersebut..

Oleh AZUWAN AHMAD

Jun pada tahun ini menyaksikan sebuah tuntutan dibawa ke mahkamah tinggi oleh sekumpulan penyanyi dan pemuzik tanah air. Mereka memulakan saman terhadap  Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) bagi menuntut royalti semenjak tahun 2017. PRISM adalah sebuah badan yang bertanggungjawab mengutip royalti bagi karya seni muzik di Malaysia selain daripada MACP. Antara yang terlibat menuntut dalam pertelingkahan ini adalah Datuk Jamal Abdillah, Aris Ariwatan dan Datuk DJ Dave. Berita positif dari mahkamah ini menjadi sedikit pengukir senyum buat warga seni muzik yang sesetengahnya merasakan bahawa ada ketidakadilan berlaku dalam pembahagian royalti. Beritanya boleh dibaca di sini.

Rentetan daripada episod-episod luka bagi penggiat muzik ini, sebuah pertubuhan NGO yang diketuai oleh penyanyi lagenda 90-an, Aris Ariwatan yang dipanggil Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit (3P) Muzik Malaysia dilancarkan pada bulan lalu. Majlis pelancaran tersebut telah diadakan di Restoran I’Dahlia Corner, Kuala Lumpur. Pertubuhan ini dianggotai oleh sejumlah 100 orang karyawan muzik yang tekad untuk menyelesaikan isu berkenaan royalti yang masih membelenggu sistem kutipan yang dirasakan bermasalah dan tidak adil. Masalah-masalah yang menghambat mereka ini adalah seperti perjanjian kontrak lapuk dengan syarikat label muzik, kegagalan badan kutipan untuk menjelaskan formula agihan kepada ahli yang berdaftar serta isu hak cipta atau harta intelek.

3PM serius mahu membantu pengkarya muzik tanah air.

Tanpa membelakangi persatuan yang sudah sedia wujud, 3PM hanya mahu menambah kebaikan menyediakan inisiatif tambahan kepada penggiat industri muzik. Persatuan yang telah berdaftar sejak Disember tahun lalu ini buat masa ini mempunyai satu agenda yang jelas iaitu memberikan informasi dan kesedaran mengenai harta intelek dalam kalangan pengkarya. Menurut persatuan ini, terlalu banyak rungutan serta keluhan daripada ahli badan kutipan royalti yang tidak didengari juga tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Di samping itu, pertubuhan ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara pengkarya supaya dapat mengumpulkan lebih ramai anggota demi mengumpul suara yang lebih jelas serta desakan yang lebih kuat untuk mendapatkan keadilan jitu. 

Di dalam sidang media bersama wartawan yang hadir, Aris Ariwatan sebagai presiden menyatakan bahawa beza antara 3PM dengan persatuan lain adalah mereka sangat mementingkan ketelusan serta akan menguatkan suara mereka di mesyuarat-mesyuarat tahunan badan kutipan royalti yang akan diadakan. Kebanyakan artis muzik  menurut persatuan ini kurang memahami dan tidak mempunyai pengetahuan tentang hak harta intelek seperti antaranya isu kutipan royalti yang tiada penghujung. “Kami menyokong tindakan 30 artis menyaman PRISM bukan kerana ingin menunding kepada mana-mana pihak tetapi ini merupakan titik mula di mana artis mulai sedar akan hak mereka,” tegas Aris. 

Antara inisiatif 3PM untuk membantu persatuan adalah membantu sebagai medium perantara artis yang mempunyai isu tentang perkara ini dengan tribunal yang bertanggungjawab untuk mendengar permasalahan yang dihadapi. Encik Osman Masri, salah seorang ahli Tribunal Hak Cipta (MYIPO) juga menghadiri majlis pelancaran ini sebagai tanda sokongan dan galakan. Tribunal yang tersebut juga dianggotai oleh pakar undang-undang dalam pertelingkahan hak cipta. Persatuan ini sedar, antara sebab mengapa isu ini tidak menemui penyelesaian adalah kerana terlalu banyak perkara yang melibatkan unsur teknikal undang-undang yang sudah tentu memeningkan pihak yang dirugikan. Oleh kerana itu, mereka bekerjasama dengan tribunal seperti MYIPO untuk membantu mereka berfungsi dengan lebih efektif. 

Penulis lirik, Ad Samad dan Osman Masri, Ahli Tribunal MyIPO cuba menjelaskan akar permasalahan isu royalti.

BASKL turut bertanya mengenai bagaimana persatuan ini mencapai objektif mereka serta apakah indeks pencapaian utama mereka di kala ini. Mereka menjawab, diwaktu ini mereka berusaha untuk mengumpulkan sebanyak-banyaknya anggota dan menyebarkan kesedaran mengenai isu ini dengan lebih luas lagi. “Itu adalah gerakan pertama kita. Kalau tidak tahu bagaimana nak bertindak? Sedangkan pengetahuan mengenai harta intelek ini masih dangkal, apa lagi nak bertindak? Ramai orang menjerit tetapi fakta dan dokumennya tidak ada,” soal Aris. Satu persoalan yang perlu mereka rungkai adalah mengenai kepercayaan mereka bahawa ada pihak atau kartel  bertanggungjawab memonopoli secara bijak dan licik serta berubah wajah dari zaman piring hitam sehinggalah zaman digital.  Ia adalah satu kejayaan bagi persatuan ini jika artis dapat mencabar kontrak-kontrak lapuk yang menjerut mereka sehingga ke hari ini.

Antara orang-orang kuat di dalam Persatuan 3PM

Penulis sudahkan cerita ini dengan satu kisah menarik yang diceritakan oleh Aris sendiri ketika memandu bersama anaknya di dalam kereta. Momen tersebut memberikan satu kesedaran kepada Aris sebagai pengkarya muzik. Menurutnya, anaknya mahu muat turun lagu nyanyiannya dari aplikasi muzik dengan sejumlah caj. Kelihatan anaknya begitu gembira. Namun, Aris yang memandu di sebelah sedar bahawa apa yang dimuat turun anaknya di aplikasi tersebut tidak sedikit pun dapat dinikmati hasilnya oleh Aris sendiri. BASKL menyokong usaha-usaha penambahbaikan kepada industri seni yang lebih positif dan menggalakkan muzik berkembang dengan lebih sihat serta mapan juga menjaga kebajikan pengkarya-pengkarya di dalamnya.

Jika anda berminat untuk menyumbang kepada pertubuhan 3PM atau berminat menjadi sebahagian daripada mereka, anda boleh berbuat demikian ke akaun Maybank bernombor 564388588428 atas nama Persatuan Pencipta, Pelaku & Penerbit Muzik Malaysia serta mendapatkan maklumat mengenai pertubuhan ini di talian 011 2386 4573 (Baggio).

Ikuti kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites