20 Hingga 26 Jun

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Selamat pagi warga BASKL semua. Diharapkan semua dalam keadaan sihat dan masih terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar kita dijauhkan daripada segala wabak dan penyakit. Minggu ini, BASKL masih setia untuk terus memberi pilihan acara-acara terbaik untuk anda.

  • 9th Malaysian Jazz Piano Festival (24-26 Jun)

Berlangsung selama tiga hari, Malaysian Jazz Piano Festival yang akan diadakan di klpac ini bakal membariskan pemuzik-pemuzik tersohor di Malaysia yang akan mempersembahkan alunan merdu jazz buat halwa telinga peminat. Selain konsert, Malaysian Jazz Piano Festival kali ini juga memberi pengisian yang padat dengan forum, bengkel dan juga klinik jazz. Buat pertama kalinya juga, penganjuran Pertandingan Piano Jazz untuk anak-anak muda juga akan diadakan bagi mencari pelapis pemuzik terhandal tanah air. Dengan barisan pemain yang cukup hebat, festival yang telah dianjurkan buat kali yang ke-9 ini pasti dapat memukau penonton. Jangan lepaskan peluang keemasan ini dan tempah tiket anda sekarang di laman web Cloudtix.

  • Bobo KL Presents Ning Baizura (23-26 Jun)

Pastinya ramai yang merindui biduanita tanah air, Ning Baizura yang mempunyai suara yang cukup lunak ini. Selepas empat tahun, Ning kembali menggegarkan ruang Bobo KL dalam persembahan konsertnya yang berdurasi 120 minit. Tidak dinafikan penyanyi lagu Awan Yang Terpilu ini mempunyai vokal yang cukup mantap. Ning terkenal pada sekitar tahun 90-an dan awal abad ke 21 dengan lagu hits R&B dan soul seperti Selagi Ada, Beribu Sesalan yang juga merupakan sebuah gabungan vokal mantap daripada Ning, Shila Amzah dan Jaclyn Victor. Buat mereka yang merindu suara Ning Baizura, pastikan anda tempah tiket anda secepat yang mungkin di pautan ini.

  • Solstice Lunaire (25 Jun)

Solstice Lunaire merupakan tajuk bagi konsert harp dan okestra yang dicipta pada tahun 2019 oleh seorang komposer daripada Colombia iaitu Carlos Andres Mejia Zuluaga dan didedikasikan untuk seorang pemain harp tersohor daripada Perancis. Selepas dua persembahan yang berjaya di Amerika Syarikat, kali ini buat pertama kalinya okestra ini akan membuat penampilan sulung di Malaysia sempena French Film Festival, Festival Filem Eropah yang terbesar di Malaysia dan akan dibarisi bersama dengan sebuah okestra tempatan iaitu Kamerata KL. Jangan lepaskan peluang untuk menonton sebuah malam yang penuh dengan muzik klasik yang bertemakan tarian. Bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket bolehlah dapatkan tiket anda di laman web ini.

  • #Males, too! (24-26 Jun)

Bagi anda yang meminati pementasan seni tarian, Sutera Foundation kali ini mempersembahkan #Males,too! (Odissi). Walaupun persembahan klasik ini sering ditariakan oleh kaum wanita, namun sekumpulan 6 penari lelaki Sutra bakal membuat kejutan dengan menyajikan kepada anda sesuatu yang berbeza. Mereka bakal membawakan repertoir Debaprasad yang mana meliputi Tandava (kecergasan), Lasya (kehalusan), menunjukkan kekuatan dan keghairahan sekaligus dapat membuktikan bahawa kaum lelaki juga boleh untuk menarikan tarian sebegini. Bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Jun, jam 8 malam, persembahan ini akan diadakan di Damansara Performing Arts Centre, DPAC dengan harga tiket bermula daripada RM53 hingga RM103. Bagi mendapatkan maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang ini.

  • Kuala Lumpur Youth Literary Arts Festival (24-26 Jun)

Mencari sesuatu yang baharu? Kuala Lumpur Youth Literary Arts Festival (KLYLAF) merupakan sebuah festival sastera dan seni persembahan yang khas buat anak muda seperti penulis baharu, pendidik seni dan penghibur. Festival ini diadakan bagi memberi inspirasi untuk anak muda disamping membuka laluan serta peluang untuk golongan pelapis bertukar idea bersama golongan belia yang meminati sketsa, drama, ucapan dan tukang cerita. Dengan peluang ini juga, mereka berharap agar dapat menarik, mendidik, dan menghidangkan permainan interaktif. Ini juga seiring dengan mempromosikan anak tempatan yang berbakat dalam bidang mereka yang tersendiri. Buat anda yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut, kumpulan editorial BASKL ada artikel selanjutnya. Namun bagi anda yang berminat dan ingin hadir ke program ini bermula 24 hingga 26 Jun, anda boleh ke laman ini.

Itu sahaja pilihan-pilihan BASKL buat minggu ini. Semoga minggu anda dipenuhi dengan keceriaan dan pelbagai aktiviti kreatif.

Gambar Utama adalah #Males,too! oleh Sutra Foundation

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites