18 hingga 24 April

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Apa khabar semua pembaca setia BASKL? Diharapkan agar semua sentiasa berada dalam keadaan sihat dan dijauhi daripada sebarang wabak dan penyakit. Bulan April ini, negara kita sudahpun melangkah masuk ke fasa endemik dan aktiviti ekonomi hampir kembali seperti biasa. Aktiviti-aktiviti seni kreatif juga semakin kembali rancak. Mari kita lihat beberapa pilihan menarik minggu ini.

  • The Spirit of Celtic

Dibawakan oleh Philharmonic Winds of Malaysia (PWM), sebuah badan tidak berkeuntungan yang bertapak di Kuala Lumpur dan ditubuhkan untuk mempromosikan seni muzik terutamanya alat-alat muzik tiupan. Dalam persembahan kali ini, mereka akan membariskan lagu-lagu Scotland yang amat terkenal dengan alat muzik tiupan mereka terutamanya alat muzik seperti bagpipe. Persembahan kali ini, menjanjikan anda pengalaman yang membolehkan anda mendalami pelbagai lagu Scotland. Tiket boleh didapati di sini.

  • D’Leven Art Exhibition and Weekend Workshop

Buat peminat dan penggiat seni tempatan, nama kompleks GMBB sudah tidak asing lagi. Kali ini, GMBB membariskan 11 artis tempatan yang datang daripada pelbagai latar belakang yang berbeza dalam sebuah pameran dan bengkel seni buat anda semua. Tema di sebalik pameran kali ini adalah mencari persamaan dalam perbezaan. Walaupun 11 artis ini datang daripada asal usul yang berbeza, namun hala tuju mereka tetap sama, untuk bangkit semula sebagai seorang penggiat seni selepas kancah pandemik. Maklumat lanjut ada di instagram GMBB di pautan ini.

  • Hand Applique Workshop

Kadang kala tidak semua daripada kita meminati bunyi muzik, alunan nukilan puisi mahupun warna-warni seni abstrak tetapi mereka meminati dan menghargai kelembutan dan ketenangan dalam sebuah anyaman dan tenunan. Jika anda seorang yang begitu, mari mencuba teknik-teknik sulaman berbeza dalam bengkel Hand Applique yang dianjurkan oleh Sartorical Stitches ini. Mereka juga mengambil bahan-bahan mereka daripada sebuah kedai tenunan yang telah beroperasi hampir 30 tahun di SS2 Petaling Jaya iaitu Yee Button. Anda boleh mempelajari pelbagai jenis teknik berbeza seperti tenunan, jahitan, anyaman, sulaman dan banyak lagi. Lawati laman Facebook mereka ini untuk mendapat info lanjut.

  • The Michael Veerapen Trio featuring Dasha Logan 

Siapa yang tidak kenal dengan ikon muzik ini. Mula mengukir nama di persada muzik tanah air apabila menggubah lagu untuk penyanyi lagenda tanah air kita, Allahyarham Sudirman Hj Arshad. Kali ini beliau membuat penampilan bersama dengan seorang vokalis hebat iaitu Dasha Logan. Mereka akan membuat persembahan secara langsung di Bobo KL untuk tiga malam sahaja, bermula Khamis 22 April ini sehingga hari Sabtu 24 April. Jangan lepaskan peluang anda untuk menikmati kemerduan alunan gubahan muzik indah oleh Michael Veerapen dan suara lunak Dasha Logan. Beli tiket anda sekarang di sini.

  • Songket Weaving Workshop 

Akhir sekali, buat anda yang berada di Kuching, Sarawak jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menghadiri bengkel tenunan oleh pakar tenun tempatan iaitu Tanoti. Tanoti merupakan sebuah pusat fesyen tenun yang berasal daripada Kuching, Sarawak dan dikenali di persada antarabangsa. Baru-baru ini, Tanoti telah menganjurkan Tenun Fashion Week mereka yang pertama di mana penenun daripada seluruh pelusuk Asia Tenggara telah menyertainya dan cerita berkenaan pengalaman mereka ada di sini. Kali ini, sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi, mereka berada di Spring Mall, Kuching dan maklumat lanjut berkenaan acara ini ada di laman instagram Tanoti di pautan ini.

Buat pembaca Muslim, selamat berpuasa dan menunaikan ibadah. Buat pembaca Keluarga Malaysia yang lain, salam hormat dan semoga minggu anda dipenuhi dengan aktiviti yang produktif. 

Gambar Utama adalah daripada bengkel Sartorical Stitches yang lepas dari laman Facebook mereka.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites