Sekumpulan 24 orang penari hip hop telah mengharumkan nama Malaysia dengan suntikan seni dan budaya tradisional di pentas antarabangsa
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Baru-baru ini sebuah video telah tular di media sosial, sekumpulan anak muda berpakaian tradisional Malaysia membuat persembahan di Singapura dalam acara Super 24, sebuah pertandingan tarian berprestij dalam dunia hip hop. Kumpulan yang telah berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa ini diberi nama Zeppo Youngsterz dan diterajui oleh Faris Azim Bin Abd Karim, 24 tahun.
Zeppo Youngsterz merupakan sebuah kumpulan hip hop yang ditubuhkan sejak tahun 2011 dan dianggotai oleh anak-anak muda tempatan. “Saya mula minat breakdance apabila saya menonton acara Showdown di 8TV. Sejak itu, minat saya pada tarian breakdance telah terlahir,” kongsi Faris yang cukup bersemangat dan teruja apabila berbicara berkenaan dunia hip hop ini.
Bagi pertandingan Super 24 kali ini, Zeppo Youngsterz telah menerapkan elemen hip hop dan juga seni silat dalam persembahan mereka. “Saya telah membuat pemerhatian dan elemen tradisional Malaysia memang tidak pernah membuat penampilan di pentas Super 24,” kata Faris yang menjadi pengarah dan koreografer bagi pertandingan kali ini bersama dua orang koreografer lain iaitu Muhammad Firdaus bin Nor Afandi dan Mohammad Adib bin Jamarizam. “Bagi saya, bunga yang ada dalam gerak geri tradisional kita adalah yang terbaik dan apabila kita benar ikhlas, konsep tarian itu sampai terus kepada penonton.”
Pada pertandingan Super 24, Faris telah membuat sebuah pengorbanan yang cukup besar. Sebagai seorang penggiat seni tari, sudah tentu beraksi di atas pentas merupakan idaman dan impian semua, namun demi suatu cita-cita yang lebih besar, Faris akur untuk menjadi 3rd eye buat Zeppo Youngsterz untuk pertandingan kali ini. “Acara Super 24 ini cukup unik, penjurian dilakukan daripada empat sudut pentas dan penelitian amatlah penting.”
Faris telah berkongsi betapa mencabarnya pertandingan Super 24 ini kerana penilaian juri akan dibuat daripada setiap sudut pentas dan bukan hanya di hadapan pentas seperti keadaan biasa. “Juri ada di depan belakang kiri dan kanan jadi saya nak mereka nampak kecantikan persembahan ini dari setiap sudut pentas.” katanya. Jika kita lihat persembahan atau konsert biasa, kebiasaanya para penari yang di barisan hadapan sahaja yang penting namun dalam Super 24 ini, setiap penari penting dan perlu menonjol.
Selain daripada konsep tarian pertandingan Super 24 ini yang cukup unik, lagu pilihan dan busana Zeppo Youngsterz kali ini juga merupakan sebuah hasil karya yang dibuat khas bagi pertandingan ini. Faris dengan raut wajah yang cukup berbangga telah berkongsi dengan BASKL, “sebenarnya baju yang dipakai di atas pentas itu mak saya yang jahit sendiri termasuk tali pinggang kami.”
Kejayaan Zeppo Youngsterz pada pertandingan Super 24 ini sememangnya sebuah kejayaan yang cukup bermakna dan melibatkan persiapan yang rapi daripada pelbagai pihak. “Krew kami yang paling muda kali ini berumur 13 tahun dan yang paling tua berumur 32 tahun. Apabila membuat persembahan, gabungan tenaga yang dihasilkan oleh kesemua mereka ini cukup indah dan itulah yang paling seronok.” kongsi ketua kumpulan ini.
Faris juga berkongsi mengenai cabaran yang diperlukan dalam menjayakan sebuah komposisi tarian sebegini. Mereka telah berlatih koreografi tarian ini selama 2-3 bulan dan semenjak pandemik, tarian merupakan antara aktiviti yang paling lambat untuk dibuka semula. “Memang mencabar, banyak rintangan dan halangan yang terpaksa kami hadapi terutamanya dari segi pergerakan kami untuk berjumpa. Selain itu, pemilihan sebuah tapak studio tarian yang mampu menjadi replika pentas sebenar juga satu perkara yang memeningkan. Tidak banyak studio tarian di Kuala Lumpur yang besar dan mampu menampung saiz tarian sebegini.”
“Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan juga rakyat Malaysia secara amnya yang telah menyokong dan mendoakan kejayaan kami. Tidak dilupakan kepada barisan koreografer Firdaus dan Adib, penasihat, sound engineer dan semua yang membantu tidak kira besar atau kecil,” luah Faris yang amat bersyukur dengan kejayaan ini.
Penerapan budaya dalam seni persembahan tarian moden seperti yang telah disuntik oleh Fariz ke dalam koreografi kumpulan mereka merupakan sesuatu yang berbeza dan unik di mata dunia. Kita mempunyai pelbagai elemen budaya yang menarik, mengapa perlu untuk meniru budaya luar, sedangkan perbezaan, melambangkan identiti kita.
Episod ketiga Vlog Zeppo Youngsterz Road to Super 24 telah ditayangkan semalam, 11 September. Ikuti laman Instagram Zeppo Youngsterz untuk mengikut perkembangan terbaru mereka.