Daripada sebuah kedai elektrik ayah yang kecil di Singapura sehingga menjadi seorang pengarah muzik tersohor tanah air, kita imbas kembali perjalanan lebih 60 tahun Dato’ Johari Salleh dalam menyediakan alunan merdu yang terbaik buat masyarakat.
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Maestro muzik tanah air, Dato’ Johari Salleh dilahirkan pada tahun 1932 di Geylang, Singapura dan merupakan cahaya mata kepada pasangan Mohd Salleh Mohamad yang berasal dari Melaka dan Munarah Shuib yang berasal dari Singapura.
Johari telah mendapat pendidikan awal dan membesar di Singapura. Ayahnya mempunyai sebuah kedai menjual barangan elektrik dan merupakan seorang peminat muzik. Di situlah bermulanya minat Johari dalam bidang muzik.
“Ayah saya ada kedai menjual barangan elektrik. Di situ juga ayah saya telah membuat amplifier dengan tangannya sendiri dan ramai kawan-kawan ayah yang datang beli. Lama-kelamaan kawan-kawan ayah pun jadi kawan saya.” Inilah yang dikongsikan oleh Johari bersama BASKL tempoh hari apabila diberi peluang menemu ramah beliau sebelum sesi Open Arts Classes yang akan dikendalikan oleh Johari sendiri pada Nov 6 ini.
BASKL amat bertuah kerana dapat mencuri sedikit masa untuk berbicara secara ekslusif bersama beliau dalam sebuah sesi sembang santai yang berlangsung hampir satu jam. Johari turut menyambung bagaimana beliau telah mengikuti rakan-rakan ayahnya dahulu ke lokasi-lokasi persembahan mereka.
“Mereka akan beli 2 atau 3 amp (amplifier) daripada kedai ayah saya. Amplifier dahulu tak macam sekarang. Dulu berat, besar. Bukan senang nak bawak sana sini.” Johari bergelak tawa berkongsi kisahnya bersama BASKL sambil dihiasi wajah yang berseri-seri seakan teringat zaman itu. “Jadi bila mereka ada performance, saya akan pergi ikut tengok sekali. Situlah saya mula minat dunia muzik.”
Pada tahun 1961, Johari telah meninggalkan Singapura dan bermulalah kerjaya professionalnya dalam dunia muzik apabila telah dilantik menjadi seorang pemuzik tetap Radio Malaya (kini RTM). “KL dahulu lain. Pada tahun 1960-an KL sunyi, senyap. Tak ada apa sangat hujung minggu dan malam malam. Jadi saya seorang diri akan menaiki keretapi dan ulang alik di antara KL dan Singapura.”
“Saya akan ulang-alik KL Singapura hampir setiap mingu dalam beberapa tahun pertama saya di Kuala Lumpur” tambah Johari. Selepas beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja, beliau juga sempat merantau ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan Diploma Muzik daripada Berklee College of Music di Boston. Jawatan terakhir Johari sewaktu di RTM adalah sebagai Pengarah Muzik.
Kerjaya Johari sebagai pengarah muzik RTM telah sampai kepada penghujungnya pada tahun 1983. Johari seterusnya menubuhkan sebuah syarikat muzik iaitu Josal Music Sdn Bhd dan beliau sendiri menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan.
Pasti ramai anak muda yang tidak mengetahui fakta ini, pada tahun 1980-an, antara parti politik yang paling besar pada ketika itu adalah UMNO. Johari merupakan pencipta buat lagu UMNO iaitu Bersatu, Bersetia, Bekhidmat. Sewaktu perjumpaan dengan BASKL, Johari juga telah turut berkongsi suatu cerita yang agak lucu bagaimana terciptanya lagu berkenaan.
“Suatu hari, saya telah menerima satu panggilan telefon. Apabila saya mengangkat panggilan itu, ada suara yang memanggil nama saya.” “Joe, ini Hasmah ni Joe.” Bekas isteri perdana menteri pada ketika itu, Tun Dr. Siti Hasmah telah membuat panggilan terus ke pejabat Josal Muzik Sdn Bhd. Tun Hasmah telah menyampaikan kekecewaannya kerana melihat beberapa parti politik telahpun mempunyai lagu mereka sendiri tetapi partinya masih tidak mempunyai lagu.
“Saya pun terus bukak surat khabar, cari ucapan-ucapan lepas dan saya cari di mana persamaannya. Saya lihat cogan kata, frasa ayat yang sering diulang, saya kumpul dan mengubahnya menjadi sebuah lagu,” kongsi Johari kepada BASKL.
Sebagai seorang manusia biasa kita pastinya menjadi kurang aktif dari segi pekerjaan selepas memasuki fasa persaraan, namun bagi Johari apa yang sering beliau lakukan selepas persaraan adalah amat berbeza. BASKL mengambil peluang ini untuk menanyakan bagaimana beliau memanfaatkan masanya, lebih-lebih lagi sewaktu pasca pandemik seperti hari ini.
“Sekarang ini kita sudah memasuki dunia digital dan dengan teknologi digital, banyak sound yang kita boleh buat sendiri daripada rumah. Youtube pun ada. Kita boleh belajar almost anything di Youtube tetapi tanpa guru, bunyi dia memang tak akan sama. Belajar mesti ada guru.” Johari amat menitik beratkan betapa pentingnya menuntut ilmu dengan seorang guru.
Kini Johari sedang dalam proses mengumpul semua lagu-lagu lamanya untuk dijadikan sebuah kompilasi. Sejak daripada mula PKP pada Mac 2020 dahulu, kini beliau telah mengumpul hampir 200 lagu. “Daripada 200 lagu ini pula, saya telah membuat best pick saya dalam lebih kurang 20 lagu untuk saya gubah menjadi sebuah sususan classical.”
“Contohnya lagu P. Ramlee, anyone can play Getaran Jiwa tapi semua lain-lain bunyinya. Apa yang saya impikan adalah agar lagu-lagu classical ini akan withstand time setaraf dengan nama nama besar seperti Beethoven dan Mozart. 200-300 tahun pun masih lagi dimainkan dalam cara yang sama, bunyi yang sama.”
Terlampau banyak ilmu dan pengalaman yang boleh dikongsikan oleh seorang lagenda muzik tanah air seperti Johari. Manfaatkan peluang keemasan ini dengan mendaftar untuk Open Arts Classes pada Nov 6 ini bersama Dato’ Johari Salleh dimana beliau akan berkongsi berkenaan evolusi landskap muzik tanah air. Anda boleh klik di sini untuk mendaftar.