Warna-warni kehidupan misteri Nasuha

Dari kejuruteraan penerbangan melompat ke dunia lukisan mural pasti sesuatu yang janggal dan merupakan sesuatu yang besar untuk pelukis mural yang sedang mengukir namanya di industri kreatif , Nas Suha. Baskl berbual-bual dengan Nas Suha untuk menngikuti titik serta rintis tekad anak muda berani ini.

Oleh AZUWAN AHMAD

Mural merupakan lukisan besar yang dihasilkan terus di atas permukaan dinding atau permukaan luas yang lain untuk menyokong ruang seni. Ia tidak lepas dari ruang seperti bangunan, rumah dan jalan. Ia bermula lebih 30,000 tahun yang lalu apabila suatu lukisan ditemui di sebuah gua, di Lascaux selatan Perancis. Ia dilukis oleh orang-orang pra sejarah menggunakan limun sebagai cat air.

Nasuha Ibrahim adalah anak muda yang boleh dikatakan sudah menempa nama dalam seni lukisan mural tempatan. Anak muda yang berasal dari Marang, Terengganu ini sebenarnya mempunyai latar belakang pendidikan diploma dalam Kejuruteraan Aeronautik daripada Universiti Teknologi Malaysia. Selepas tamat belajar pada tahun 2013, dia menyertai program kejuruteraan  untuk penyelenggaraan penerbangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sehingga tahun berikutnya sehingga 2018. Namun kerana minat yang mendalam terhadap seni membuatkan dia memilih untuk menukar profesyen sebagai artis sepenuh masa pada bermula 2019. Kalau ditanya kepadanya apakah sebab memilih doodles atau coretan sebagai medium seninya, dia menjawab bahawa coretan adalah sebuah seni yang bebas dimana dia boleh menggabungkan apa saja idea dengan subjek untuk menghasil sebuah karya seni.

Minat dan keghairahan Nasuha dalam seni bukannya datang secara tiba-tiba. Ketika masih belajar dia sudah mula mencari duit poket melalui kerja-kerja melukis. “Rakan-rakan sekelas saya banyak memberi sokongan dan dorongan kepada saya. Mereka suka hasil lukisan saya di atas kertas.Sepanjang tempoh saya belajar, saya juga mengambil sedikit upah melukis di atas sarung telefon dan kertas,” ceritanya. Dia yang kini menetap di Cyberjaya, juga memberitahu bahawa dia telah banyak menyertai pertandingan yang mana kebanyakan dimenangi olehnya. Itu menjadi titik permulaan untuk dia menjadi lebih serius apabila membeli Ipad Pro hasil kemenangannya untuk melukis dengan lebih aktif.

Nasuha berjaya menjadikan seni sebagai kerjaya.

Sehingga ke tahun 2023, Nasuha sudah mempunyai ratusan klien yang menggunakan khidmat seninya. Dia banyak mencurahkan bakatnya di atas dinding bangunan dan kafe-kafe.  Antara klien besar Nasuha adalah Petronas, Sime Darby, KFC, Huawei dan institusi pengajian seperti UM dan UIA. Secara jujur Nasuha mengungkap ada beberapa projek yang menjadi kebanggannya. “Ada 3 projek hasil seni yang menjadi kebanggaan saya. “Mural Warisan” iaitu karya mural terbesar saya pernah hasilkan dibantu kerjasama dengan Hotlink di Kuala Terengganu. Ia mengambil masa kira-kira 2 bulan lebih disebabkan musim hujan yang membuatkan ia mengambil tempoh lebih lama. Kedua, karya besar saya dalam kempen Selamatkan Harimau Kita oleh Jabatan Perhilitan dan ketiga, lukisan saya di atas cawan kertas kopi Starbucks,” ujarnya. Menyebut mengenai pendapatan yang dihasilkannya dalam sebulan, Nasuha mendedahkan bahawa pendapatnnya boleh mencecah dari empat ke lima angka sebulan. Sebahagian besar pendapatannya itu diperoleh daripada agensi kerajaan mahupun syarikat korporat besar.

Karya mural Nasuha di Kuala Terengganu

Sudah pasti kalau berbicara soal lukisan mural yang belum terlalu berkembang di arena seni tempatan, Nasuha ditanya mengenai kesukarannya menempuhi tempoh pandemik? Anak muda ini menyatakan bahawa keadaan yang menimpanya sama seperti orang lain dengan maksud banyak projek yang tertangguh. “Pada waktu-waktu tersebut saya masih tetap melukis di Ipad Pro dan menghasilkan rekaan-rekaan baharu. Ia bukan lah cabaran yang terlalu besar buat saya kerana saya masih boleh melukis di rumah. Orang-orang yang baru memulakan perniagaan kecil-kecilan masih menggunakan khidmat reka bentuk dan doodling saya. Tapi paling penting, apa yang saya lakukan ketika itu adalah berlatih untuk memperkemas serta memperbaiki skil saya. Saya juga terus mempromosi hasil kerja-kerja saya sebelum ini,” katanya.

Nasuha kini sudah mempunyai syarikat hasil seni sendiri yang didaftarkan atas nama Nas Artistry. Bagi soal penentuan harga untuk karyanya, Nasuha menjelaskan ia bergantung kepada tahap kesukaran sesuatu coretan atau lukisan mural serta tempoh yang diambil untuk menyiapkannya. Semakin tinggi tahap kesukaran dan tempoh yang diambil untuk melakukan kerja, semakan tinggi harga yang akan dikenakan kepada klien. Biasanya klien-klien yang berminat dengan hasil kerjanya akan memesan melalui dalam talian atau akan melihat karyanya di media sosial sebelum menghubunginya untuk menjalinkan kerjasama. Sudah tentu bagi Nasuha dia sangat senang sekali jika ada syarikat-syarikat besar ingin menggunakan khidmatnya dan dia memang berniat untuk terus mempamerkan hasil kerjanya di media sosial. Luahnya, “ada perasaan bangga dan satu kepuasan diri jika orang menghargai kerja kita sebagai artis. Itu membuatkan kita semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya.”

Seperti para artis yang lain, Nasuha juga menghadapi cabaran dalam kerjanya. “Ada waktunya saya mengalami kekurangan idea. Ketika ini berlaku saya akan rehatkan minda dengan berjalan di tasik, pantai, sawah padi dan kawasan-kawasan kampung yang cantik. Daripada aktiviti ini saya dapat rehatkan minda seketika dan kembali mencari idea yang terbaik untuk saya terjemahkan dalam bentuk digital atau lukisan dinding. Cabaran untuk lukisan mural pula berbeza. Sebagai contoh lukisan mural untuk hotlink mengambil masa 3 bulan.  Daripada tempoh itu, sebulan adalah musim hujan jadi ada bahagian yang tidak sempat kering. Hal itu membuatkan saya terpaksa membaiki kawasan yang rosak lagi,” ceritanya.

Jenama besar seperti KFC juga tidak terlepas untuk mendapatkan khidmat Nasuha

Jika anda amati, Nasuha tidak pernah mendedahkan wajahnya yang sebenar di media sosial. Hal ini kerana atas faktor keselamatan. Nama pena seni nya juga dieja ‘Nas Suha’. Hal yang paling penting untuk Nasuha adalah orang mengenali karyanya lebih berbanding dirinya sendiri. Nasuha sebenarnya tidak menyangka hasil karyanya akhirnya menjadi sebuah kerjaya walaupun ia bermula dengan hobi sahaja. Namun, apabila dia mula berkongsi hasil kerjanya di sosial media, ia menarik minat ramai orang sehingga mereka sanggup mengupahnya untuk melukis.

Maka dengan premis itu, Nasuha memberikan pesan. “Pada awalnya saya dibayar murah tetapi saya mengerti itu adalah pengorbanan yang saya harus lalui untuk mencapai peringkat yang lebih tinggi. Kita harus bermula daripada bawah. Semakin pandai kita membina jenama dan nama dalam bidang seni, semakin tinggi kualiti kerja yang kita hasilkan, semakin tinggi bayaran yang akan kita terima,” kata Nasuha. Walaubagaimanapun, dia mengakui bahawa tidak semua kerja yang datang kepadanya itu menawarkan nilai yang tinggi. Jika ada kerja yang menarik, dia tetap terima asalkan bayarannya tidak menindas.

Jika anda ingin berhubung atau melihat-lihat hasil kerja seni Nasuha, anda boleh melayari Instagram nya di @nassuha_ atau boleh hubungi artis muda ini di talian 014- 5183312.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites