Seorang penyanyi merentasi genre, Suki Low membawa BASKL mengenal perjalanan seorang anak seni suara melalui pengalamannya sendiri.
Oleh NABILA AZLAN
“Keluarga saya memang suka menyanyi,” kata Suki Low, Bintang BASKL kami minggu ini, membuka cerita tentang punca minatnya dalam bidang nyanyian. “Saya ingat zaman tadika dulu, suara nenek saya berkaraoke adalah perkara pertama yang saya dengar sebaik pulang ke rumah! Sebab itulah semasa kecil, bukan Twinkle Twinkle Little Star yang selalu saya nyanyikan, tetapi ‘lagu orang-orang tua’ dalam Bahasa Mandarin!”
Pertama kali bersua secara berhadapan, perwatakannya tidak ubah seperti yang dilihat di kaca TV mahupun di layar telefon bimbit (menerusi media sosial) – mesra, lincah dan tidak lokek berkongsi kisah.
Semestinya ramai yang mula mengenali sosok tubuh Suki, atau nama sebenarnya Suki Low Sook Yee (sebutan betul Low adalah ‘lo’, bukan lau’) menerusi program realiti nyanyian, One in a Million pada tahun 2006. Apa tidaknya – penyanyi, produser dan penulis lirik ini berjaya memegang takhta juara musim pertama pada usia enam belas tahun, mengalahkan naib juaranya Faizal Tahir!
“Saya ke uji bakat One in a Million (OIAM) pada hari yang sama saya tahu tentang program itu. Ada seorang wanita yang saya gelarkan Kakak; dia selalu berikan saya baju [Melayu] untuk pakai semasa pertandingan. Kedainya kebetulan terletak di pusat beli belah yang hoskan uji bakat itu. ‘Ada orang buat uji bakat ni, Suki datanglah! Pergi saja,’ katanya melalui panggilan telefon. Saya pun pergilah.”
Album sulungnya yang berjudul Finally | Akhirnya keluaran Monkey Bone Records memuatkan lagu-lagu hit bergenre pop rock seperti Berdiri dan Usah (menampilkan Daly). Sebelum adanya lagi lagu Terlalu Mencintaimu, inilah dua runut bunyi yang melonjakkan namanya di pentas tempatan.
Ulasnya lagi, “Saya sebenarnya bersyukur kerana penyertaan saya ke OIAM berlaku semasa saya berumur enam belas tahun. Tenaga pun masih banyak!” Dia akui, selain menyerap banyak ilmu tentang genre dan pembawaan muzik yang berlainan, pengalaman ‘membawa diri’ ke pelbagai jenis acara mematangkan cara dia berfikir. Ia juga membantu dalam mengenal siapa dirinya – misalnya projeksi diri yang sesuai untuk pentas, gaya dan penampilan yang dia sukai, pengenalan terhadap busana yang selesa dan sebagainya.
Suki yang pandai bermain piano mempunyai latar belakang muzik klasikal. “Cikgu saya memperkenalkan lagu-lagu etnik kepada saya, tetapi dulu, ia lebih kepada lagu Cina. Bila saya mula-mula mendengar lagu Irama Malaysia, saya fikir, ‘Bunyi dan lenggoknya memang tak sama,’” ceritanya tentang minat yang mula bercambah.
“Saya suka kaji [bentuk nyanyian berbeza],” katanya apabila ditanya tentang nyanyian kebanyakan lagunya dalam Bahasa Malaysia. “Misalnya untuk nyanyikan lagu Mandarin, suara kena halus… lain bahasa, lain caranya. Tetapi minat saya bukan ke arah lagu-lagu pop sahaja.”
“Ada contoh-contoh lenggok yang mencabar, contohnya nyanyian qasidah. Berbeza sangat daripada cara menyanyi lagu pop. Sebagai seorang yang dilatih secara klasikal, sampai sekarang saya masih teliti not lagu-lagu yang mencabar menggunakan piano saya, sebelum boleh menyanyi lagu baharu dengan lebih semulajadi.”
Saya yakin, bukan senang untuk menempa nama di arena hiburan yang didominasi artis Melayu (dan lagu Melayu) – tetapi artis genit ini tidak gerun diuji sejak awal kemunculan. Menariknya buat saya, penyanyi berbangsa Cina yang membesar di bandar Seremban ini mengaku, dia betul-betul mula mempelajari Bahasa Malaysia sekitar umurnya 10 tahun. Pendapat saya: Suki tak kedengaran pelat saat bertutur [dalam Bahasa Malaysia], namun ditepis, “Pelatlah! Sangat pelat. Sebenarnya, sejak melangkah ke industri seni, saya rasa sangat segan. Saya masih tak terlalu fasih dalam pertuturan Bahasa Malaysia, walaupun dari segi nyanyian, saya tiada masalah.”
“Cita-cita awal saya adalah untuk menjadi seorang doktor,” usik Suki sewaktu ditanya tentang statusnya sebagai artis sepenuh masa. “Ahli-ahli keluarga saya tak lekang dorongan, dan selalu sangat kami sertai pertandingan menyanyi. Melalui kelas vokal dan pengalaman menjuarai pertandingan, sedikit sebanyak kemenangan ini mengubah kerjaya impian saya.”
Terbiasa dengan pertandingan menyanyi sejak di bangku sekolah lagi, tambahnya, “Lagu Bahasa Malaysia pertama saya, Legenda oleh Datuk Sheila Majid diberikan oleh salah seorang cikgu saya. Boleh tahan juga prestasi saya di pesta nyanyian pertama saya, jadi selepas itu cikgu pun mula mengusik, ‘OK, selepas ni bolehlah kita hantar Suki [ke pertandingan lain] lagi!’” Tak mungkin menyanyikan lagu yang sama setiap kali pertandingan, dia pun mula mendengar lagu-lagu dari artis Melayu. “Misha Omar, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah… VCD dan kaset keluaran mereka sanggup saya beli!”
Penyanyi ini selesa bertutur dan menyanyi dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Mandarin, Kantonis dan Hokkien. Untuk lagu bahasa Korea, Suki siap berguru dengan seorang pengajar bahasa untuk memastikan sebutan yang betul sepanjang nyanyian.
“Saya semakin selesa berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia kerana suami sayalah,” sambung Suki, membuka cerita tentang Jeremy Chong, suaminya – merangkap pengurus dan penyokong terbesar kerjaya seninya. Tanggal 12 Disember 2012, mereka mendirikan rumah tangga dan hari ini pada usia 32 tahun, Suki dan Jeremy mempunyai tiga orang anak (berumur sembilan, lima dan tiga tahun).
“Tak pernah saya ‘tutup’ realiti menjadi seorang penyanyi. Bagi saya, kerjaya ini seperti kerjaya yang lain – cuma sesetengah orang mungkin rasa ‘glamor’ sebab pekerjaan ini kadang-kadang paparkan diri anda di kaca TV. Kalau satu hari nanti anak-anak saya berminat untuk menjadi penyanyi seperti saya, jujurnya saya tak akan halang. Syaratnya, mereka mesti berusaha bersungguh-sungguh dalam mendapatkan tempat mereka. Janganlah mereka usaha sekerat jalan sahaja!”
Berborak mengenai jadual hariannya, saya dapat tahu bahawa Suki tidak terikat dengan mana-mana label atau syarikat muzik. Bangun seawal lima pagi, dia yang tidak lelah menjalankan tugas-tugas harian seorang ibu seperti menghantar anak ke sekolah dan mengatur aktiviti bermain mereka, berkata, “Saya lebih senang dalam mengekspresikan muzik saya dengan jadual sebegini. Lebih selesa untuk saya kawal corak seni saya dari segi perniagaan juga.”
Soalan cepumas saya kepada dia: jika duit, masa dan jarak bukan halangan, siapakah gerangan figura yang dia teringin untuk berkolaborasi? “Banyak sangat…” rungut Suki. “Mungkin saya akan ditelan perasaan hebat kalau betul-betul berlaku, dapat bersua! Dengan Dato’ Sri Siti Nurhaliza, saya teringin menyanyi dengannya. Sepentas pernah, tetapi menyanyi berdua masih belum lagi.”
“Kalau antarabangsa… saya teringin bekerja dengan Hans Zimmer! Tak sekali dalam projek seni pun tak apa, saya cuma nak duduk dan perhati, bagaimana aliran proses kreatifnya. Samalah juga Jacob Collier, Bruno Mars – nama-nama yang ‘mencipta seni sendiri’ – misalnya Taylor Swift.”
Kalau ini pertama kali anda membaca nama Suki Low dan ingin mengenal dirinya melalui suaranya, nasihat artis ini – dengar lagunya yang terbaharu, kemudian barulah mencuba lagu-lagu lama. Lebih mudah untuk perhati ‘bunyi’ dia yang berbeza-beza selama bertahun dia berkarya. Kata Suki, ada lagu baharu yang bakal muncul tidak lama lagi. Tak sabar untuk saya lihat ke mana dia bakal pergi dan bentuk seni yang bakal dia cipta!
DI SEBALIK TABIR BINTANG BASKL
Bintang BASKL: Suki Low
Editor BASKL & Penyelaras: Shah Shamshiri
Teks Bahasa Malaysia: Nabila Azlan
Penata Gaya: Shah Shamshiri
Dandanan, Solekan & Aksesori: Chandra Shegar
Busana: Maswira Majid
Jurugambar & Arahan Seni: Bustamam Mokhtarofficial, White Studio
Lokasi: White Studio, Sungai Lui, Hulu Langat
Reka Letak Sampul Digital: Daniel Abdul Halim
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: