Teater Asrama-Ra karya Khairunazwan cemerlang!

Penulis berpeluang menonton persembahan teater di malam terakhir Asrama-Ra Dorm Putra Act 2 arahan Khairunazwan Rodzi. Persembahan pada malam itu meninggalkan penonton dengan banyak perkara untuk difikirkan malah persembahan tersebut terus aktif menjadi ejen penyuburan isu-isu yang berlaku di sekitar kita terutamanya pembulian.

Oleh AZUWAN AHMAD

Asrama-Ra Dorm Putra Act 2 sebuah karya Khairunazwan Rodzi atau lebih dikenali dalam dunia teater sebagai Abang Wan baru sahaja melabuhkan tirai 30 Okt yang lepas. Persembahan yang berlangsung selama 5 hari di PJ Live Arts itu  diterbitkan oleh rumah teater yang sedang menempa nama aktif dalam kegiatan seni ini iaitu Revolution Stage yang diketuai oleh Abang Wan sendiri. Revolution Stage merupakan antara penggiat seni yang mendapat kemudahan geran daripada CENDANA dan MyCreative Ventures.  

Antara nama pelakon yang menjayakan persembahan ini adalah Fimie Don, Anwar Rusdini, Fadhli Masoot, Nesa idrus, Namron dan Sri Idrina. Persembahan teater yang mengagumkan ini mendapat sambuatan yang baik daripada penonton apatah lagi ada nama-nama besar yang sudah pecah masuk ke dunia televisyen turut menjayakan skrip tulisan Abang Wan ini.

Sedikit ringkasan mengenai cerita persembahan teater ini, ia adalah mengenai sekumpulan pelajar sekolah SMK Mulia yang dilantik sebagai pengawas sekolah. Salah seorang daripada kumpulan pengawas tersebut telah dibuli oleh rakan-rakan yang lain sehingga menyebabkan kematian. Watak utama, Ijan yang dijayakan oleh Fadhli Masoot diselubungi dengan rasa bersalah atas kejadian yang menimpa rakan baiknya dan perasaan tersebut telah menghantuinya sekian lama.

Pelakon-pelakon yang menjayakan Asrama-Ra Dorm Putra

Sememangnya tulisan dan pengarahan Abang Wan sering menjadi apa yang penulis selalu sebut sebagai, “premis kecil, bahasnya besar”. Apa yang penulis cuba katakan adalah Abang Wan selalu menggunakan latar atau peristiwa seharian yang biasa seperti sekolah atau tempat serta kejadian yang nampak biasa kita lalui sehari-hari. Namun apa yang berlaku di latar tersebut boleh dibahas secara mendalam dn tidak keterlaluan kalau dikatakan berat dan penting. Ini adalah sebuah kebijaksanaan seorang pengarah dan penulis yang mempunyai pengalaman dan ilmu dalam seni persembahan teater. Teater Asrama-Ra ini bukan yang pertama seumpamanya yang pernah ditulis dimana sebelum ini dia pernah menulis Asrama-Ra versi dorm putrid an Asrama-Ra All Star yang membabitkan nama pelakon besar seperti Siti Saleha.

Tema buli itu sendiri adalah isu yang tidak pernah habis untuk dibicarakan. Sehingga bulan April tahun ini sebanyak 38 rekod kes buli direkodkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Maka, wajar Asrama-Ra mengangkat tema ini sebagai fokus utama kejadian di sekolah terutama di sekolah berasarama. Watak utama, Fadhli Masoot membawakan watak ini dengan baik sekali sedangkan watak yang sarat dengan emosi dan dinamika yang naik turun memang sukar. Berbekalkan pengalaman dan ilmu dari pentas teater dan TV, Fadhli yang membawa watak Ijan kelihatan matang sekali dan berbeza dengan watak yang pernah dibawakannya sebelum ini terutama di TV yang selalu santai dan lucu. Terbaru, Fadhli memegang satu watak pembantu di dalam siri Original Astro Shaw, One Cent Thief. Ada beberapa adegan dimana ia harus berpelakuan lucu apabila menghadapi watak 2 orang gurunya dan sang kekasih hati yang dilakonkan oleh Nesa Idrus. Adegan ‘couple’ antara Fadhli dan Nesa juga diselitkan Abang Wan secara sinis, realiti hubungan bebas antara pelajar lelaki dan perempuan di sekolah.

Fadhli Masoot sebagai Ijan

Suatu lagi pelakon yang wajar penerbit di luar sana beri perhatian adalah Anwar Rusdini yang memegang watak Sopi, mangsa kejadian buli ini. Anwar yang merupakan graduan UiTM memikul tanggungjawab yang berat melakonkan watak Sopi yang dari mula sampai habis boleh dikatakan sentiasa dalam keadaan terseksa dek perlakuan rakan-rakannya yang lain. Dikurung, disepak dan dipukul sebegitu rupa memerlukan tenaga persembahan yang sentiasa konsisten. Anwar sebagai pelakon yang baik mengawal tenaga dan emosi dengan begitu cemerlang tanpa setiap waktu perlu menjerit dan menangis meraung-raung. Ini adalah antara sebab mengapa setiap pelakon itu memerlukan pengalaman serta ilmu mengenai lakonan serta bimbingan daripada pengarah yang juga berpengalaman.

Berbalik kepada cerita ini, apa yang penulis dapat lihat adalah bagaimana perebutan kuasa atau power struggle dalam lingkungan yang sekecil itu. Sikap kekuasaan terhadap yang lemah terlihat dengan jelas sekali, di mana kuasa berupaya membuatkan orang menjadi terkulai layu. Ini secara ketara menjadi simbol perlakuan kekuasan di luar sana. Penulis bertanya dengan Abang Wan mengenai perkara ini. Dia menjelaskan, “situasi di sekolah ini diibaratkan sebagai sebuah negara dan isu-isu yang berlaku dalam negara. Itu adalah lapisan yang lebih dalam jika ada yang dapat menangkapnya. Kematian yang berlaku kepada Sopi secara simbol adalah ‘kematian rakyat’ di luar sana. Tapi saya sengaja mengambil latar belakang terlalu berat sehingga memberatkan penonton. Yang penting, kesedaran itu sampai”.

Teknik yang digunakan oleh Abang Wan dalam cerita ini juga sangat menarik. Ia dimulakan oleh watak Ijan yang kemudian membawa penonton ke masa lalu dimana penonton akhirnya dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada sekumpulan pelajar SMK Mulia tersebut dari awal hingga ke kemuncak kematian watak Sopi.

Sudah tentu permainan emosi Ijan sangat dinamik mengahadapi situasi-situasi tersebut mengikut adegan. Abang Wan mengatakan bahawa ia adalah tenik yang dirancang dan disengajakan apabila ditanya penulis. “Ada makna yang tersirat disebalik teknik itu. Ia seolah-olah mengguris rakyat yang tahu mengenai sesuatu kejadian tapi tak mampu atau tidak berbuat apa-apa mengenai hal tersebut. Kalau anda perasaan di akhir persembahan ini, watak Ijan membelakangkan penonton kemudian menoleh sedikit kearah penonton. Itu memberi maksud bahawa ijan juga sebenarnya sama seperti menonton yang melihat tapi tidak mampu berbuat apa-apa,” jelasnya.

Sememangnya kalau dilihat dalam karya-karya Abang Wan, dia sering meninggalkan nilai-nilai murni di dalam ceritanya. Sesuatu untuk dibawa balik oleh penonton untuk direnung serta difikirkan kembali. Menurutnya, prinsip yang diambil adalah seni untuk masyarakat. Ada perkara yang tergantung untuk difikirkan, ada yang memang disuntik langsung kepada penonton. “Ada suatu saat bagi yang menonton, mereka akan sampai ke titik katarsis. Maka ketika waktu tersebut, kalau bahasa Orang Sufi, kita menyentuh jiwa dan perasaan mereka (penonton). Ia adalah waktu yang tepat untuk kita suntik nilai yang cuba kita sampaikan dalam sesuatu persembahan. Sama ada mereka terima atau tidak, itu terpulang kepada penonton”, ceritanya.

Abang Wan memberitahu penulis untuk projek yang seterusnya dia ingin mengarahkan sebuah muzikal. Bagi anda yang mahu menonton persembahan teater di ruang yang intim dan dekat, Revolution Stage sering mengadakan persembahan di tempat mereka saban minggu. Layari laman Instagram mereka Revolution Stage atau di laman sesawang mereka untuk mengetahui persembahan terbaru atau untuk pembelian tiket!

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites