Ikuti Pyu dan rakan-rakan seni cilik lain dalam lima episod khas, bersempena dengan Hari Kanak-Kanak pada hujung bulan Oktober!
Oleh NABILA AZLAN
Seni memang tidak mengenal umur. Tradisional mahupun moden; muda mahupun tua, sekali diri mulai tertarik dengan suatu bentuk seni, sukar untuk kita pisahkan kedua-duanya! Melalui Seni Cilik BASKL yang terdiri daripada lima episod, kami bawakan barisan seniman muda yang bakal mencorakkan lanskap baharu seni tempatan.
Barangkali anda sudahpun mengenali Tok Dalang Cilik ini, atau pernah menonton salah satu videonya yang tular di media sosial. Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie, 7, yang mesra digelar Pyu, mempunyai bakat yang besar mahupun bertubuh kecil! Berkat dibesarkan dalam keluarga yang menghayati kesenian negeri Kelantan, minat dan kebolehannya dalam seni Wayang Kulit dan Dikir Barat setanding seniman dewasa.
Pendedahan awal
Sekitar umurnya tiga tahun, Pyu mula menunjukkan minat terhadap seni wayang kulit. Kata bapanya, Mohd Sulhie Yusuf, dia dan isteri, Aniza Musa selalu membawa anak bongsu mereka itu untuk menyaksikan persembahan langsung Wayang Kulit dan Dikir Barat. Tidak dinafikan lagi, Sulhie yang juga pemuzik tradisional dan pengarah Akademi Arjunasukma merupakan figura pendedahan awal kesenian Kelantan kepada Pyu. Dia yang berasal dari keluarga seni tradisional tidak pernah memaksa anak-anak beliau untuk turut serta dalam mana-mana acara. Walau bagaimanapun, bentuk seni itu sendiri yang menjentik hati Pyu.
“Seawal tiga tahun, dia sudah pandai memegang dan menggerakkan patung wayang kulit sambil mengenakan karutan sendiri,” kata Sulhie. Melihat kecenderungan Pyu terhadap seni persembahan itu, dia dan isteri mulai bersetuju untuk membenarkan tok dalang cilik ini untuk mengikuti beberapa latihan persembahan.
“Persembahan solo pertama Pyu sebagai tok dalang adalah semasa dia berumur empat tahun. Kumpulan saya pernah dijemput untuk membuat persembahan pembukaan wayang kulit di Lapangan Terbang KLIA sempena program ‘Joyful Malaysia’ oleh Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC),” ulas Sulhie. “Melihat bagaimana Pyu menunjukkan minat pada masa itu, saya dengan beraninya memberikan dia peluang untuk beraksi selama 10 minit pertama persembahan.”
Persembahan ‘debut’ Pyu itu tidaklah dirancang rapi, namun hasilnya hebat sekali. Tambah Sulhie: “Saya yang lihat sendiri dia beraksi agak terkejut! Tak sangka dia boleh beraksi begitu, mampu menghafal berbaris-baris karutan, mentera pembukaan cerita dan sebagainya.”
Jarang-jarang sekali dapat dilihat aksi tok dalang semuda itu, sambutan menggalakkan yang diberikan oleh penonton awal Pyu pada Oktober 2018 membawa persembahan tersebut ke media sosial. Pyu tidak langsung kekok, malah teruja. “Tularnya sahaja aksi dia di laman Facebook dan YouTube,” kata Sulhie, “Bermulalah deretan jemputan persembahan yang diterima oleh kami bagi pihak Pyu.”
Kebolehan mengendalikan persembahan
Anak bongsu dari tiga beradik itu kadangkala kelihatan malu-malu apabila diminta untuk bercakap di hadapan kamera, namun karakternya terus berubah sewaktu dia duduk di belakang kelir, atau layar putih wayang kulit. Dia juga mampu bermain alat muzik seperti gendang, geduk dan gedombak. Kata Sulhie, Pyu sudahpun menghafal lebih kurang 10 lagu Wayang Kulit dan Dikir Barat yang diperlukan untuk persembahan.
“Dia dengan jiwa dia yang tersendiri di kelir,” katanya. “Sebagai tok dalang, hafalan haruslah kuat. Alhamdulillah, dulu dia menghafal dengan cara mendengar dan memerhati sahaja. Sekarang dia sudah boleh membaca, hafalannya makin baik. Setakat ini semuanya berjalan lancar,” terangnya. “Dalam wayang kulit, ada mentera yang perlu dihafal, tak boleh diucapkan spontan begitu sahaja. Pyu sehingga hari ini berjaya menjalankan tugas dia sebagai tok dalang.”
Cabaran kreativiti
Wayang kulit dan dikir barat banyak susur galurnya. Banyak juga pantang larangnya. Namun menurut Sulhie, unsur kontemporari terutamanya dalam penceritaan dan penyampaian persembahan wayang kulit demi menarik minat generasi muda terhadap seni tradisional amatlah penting. “Perlunya elemen moden untuk memperkenalkan seni seperti ini kepada kanak-kanak masa kini. Bayangkan, kalau kita bawa terus cerita yang agak berat, sukar untuk kita tarik minat mereka dari awal. Kalau kurang sesuai, mungkin juga mereka akan mengantuk,” katanya.
Dia mengulas tentang cerita wayang kulit kegemaran Pyu, iaitu kisah pengembaraan seorang pengasuh yang bernama Mat Said. Cerita tersebut boleh digubah olahannya, tiada masalah jika Pyu mahu bawakan ia secara spontan. “Pengembaraan pengasuh ini keluar dari kampungnya boleh digambarkan dengan bermacam-macam senario moden. Contohnya, dia sesat menggunakan aplikasi Waze ataupun babak perjalanannya menuju KLCC,” tambahnya.
Pyu petah membawakan persembahan secara spontan. Perlunya kebolehan ini, terang Sulhie, lebih-lebih lagi jika berlakunya kecemasan sebelum persembahan. Misalnya, patung wayang kulit yang halus boleh terputus tangan. “Tok dalang yang membawa cerita itu harus pandai menambah bahagian yang ‘kena’ dengan senario seperti itu. Mungkin boleh ditambah sama ada watak itu sakit, ataupun adanya pergaduhan dengan jin!” kata Sulhie.
Lapisan baharu seni warisan
Walaupun baru memasuki sekolah rendah, kepetahan dan keyakinan diri Pyu dalam persembahan Wayang Kulit dan Dikit Barat bukan sesuatu yang biasa dilihat. Sulhie sewaktu bercakap mengenai latihan lazim Pyu berkata, “Sebenarnya, kami sebagai ibu bapanya faham. Seperti kanak-kanak lain juga, dia perlukan masa sendiri untuk bermain.” Oleh itu, jadual Pyu dibahagikan dengan kemas antara persembahan dan pelajaran.
“Kami khususkan hari biasa untuk aktiviti persekolahan (atas talian pada masa ini) dan hanya satu jam maksimum di hari minggu untuk latihan seni. Ruang ini kami susun supaya dia peluang menjadi kanak-kanak, kerana dunia tok dalang merupakan dunia yang lain sama sekali,” kata Sulhie.
Jelas Sulhie, dia akui keperluan badan-badan seni yang memperjuangkan kesenian tradisional agar tak lapuk dek zaman. Penubuhan Akademi Arjunasukma yang berpaksi di Klang adalah atas tujuan yang sama, juga untuk membuka ruang kepada pengajaran seni tradisional yang lebih dinamik, seterusnya melahirkan generasi yang cintakan seni warisan seperti Pyu sendiri.
Berminat untuk menyaksikan persembahan Pyu secara langsung? Melalui usaha sama ArtsFAS oleh Yayasan Hasanah dan Persatuan Cinta Seni Budaya, seniman cilik ini bakal bergabung tenaga bersama dua orang lagi warga seni untuk memberikan bayangan tok dalang tiga generasi. Jangan lepaskan peluang ini pada Nov 28!
P.S Adakah anda mengenali mana-mana artis muda atau adik-adik yang meminati seni seperti barisisan Seni Cilik? Kami berminat untuk lihat dan mengenali mereka! Muat naik gambar atau video mereka di Instagram dan tag @CENDANAMalaysia. Jangan lupa untuk hashtag #BASKL, #BASKLsenicilik and #CENDANAMalaysia juga!
Bagi anda yang berminat untuk menonton kesemua siri Seni Cilik, anda boleh menonton di BASKL Seni Cilik.