Selamat ulang tahun ke 25 HANDS Percussion!

Tahun 2022, kumpulan muzik gendang HANDS Percussion meraikan ulang tahun mereka yang ke 25! Kumpulan muzik yang dimulakan oleh Bernard Goh ini meraikan ulang tahunnya secara meriah bertempat di Malaysia Grand Bazaar, Bukit Bintang. Baskl telah turut serta untuk sama-sama meraikan majlis tersebut.

Oleh Azuwan Ahmad

Sedikit info mengenai Hands Percussion, mereka merupakan sebuah kumpulan produksi in house, yang membina konsep muzik bagi persembahan mereka sendiri yang mana berasaskan stail 24- gendang festival tradisional, iaitu sebuah konsep yang dipacu oleh isu sosial masyarakat, gabungan ritma daripada pelbagai budaya. Mereka diselubungi oleh keghairahan, semangat dan kepercayaan serta keinginan untuk berbagi.

Bukan senang untuk melihat kumpulan alat muzik yang bertahan sehingga suku abad, tetapi inilah yang telah dibuktikan Bernard Goh bersama kumpulan yang dibimbingnya. Angka 25 tahun turut membawa erti sebuah pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Persembahan daripada kumpulan ini telah membawa mereka menjelajah ke serata dunia termasuk bumi Eropah.

Majlis ulang tahun yang disertai lebih kurang 100 orang tetamu ini dimulakan dengan persembahan berjudul “Wau Bulan” yang sangat mempersonakan. Gandingan kumpulan muzik gendang ditambah dengan permainan gendang Melayu telah mempersembahkan dinamik bunyian yang asyik.  Persembahan kedua pula dipersembahkan oleh HANDS Percussion Academy yang telah berlatih selama 2 bulan. Persembahan tersebut merupakan persembahan secara langsung pertama mereka. Majlis ini turut disertai oleh penaung kumpulan ini iaitu Yang Mulia Tunku Zain Al-Abidin, Putera raja dari Negeri Sembilan.

Foto: Persembahan Wau Bulan dari Kumpulan HANDS Percussion

Sudah tentu kemuncak kepada majlis tersebut adalah ucapan daripada Pengasas dan Pengarah Artistik kumpulan ini, Bernard Goh dengan ucapannya yang berbaur emosi. Bernard berucap dengan isinya mengenang kembali perjalanan kumpulan itu selama 25 tahun. Antara isi dalam ucapannya, dia mengatakan bahawa kata berhenti tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Pergelutan berhadapan dengan tempoh sepanjang wabak Covid-19 yang memberhentikan segala aktiviti seni telah meletakkan kumpulan ini dalam zon selesa untuk jangka masa yang panjang. Hal tersebut menjadi cabarannya yang besar buat Bernard.  Disebalik pergelutan itu, ia membuahkan sebuah idea untuk menubuhkan HANDS Percussion Academy dimana ia tertumpu kepada pembangunan aktiviti di peringkat kanak-kanak.

Foto: Bernard Goh , pengasas Hands Percussion Malaysia

Akademi yang ditubuhkan sejak 2 tahun lalu adalah hasil daripada keresahan Bernard terhadap golongan kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada alat peranti seperti telefon bimbit. Dia mengucapkan rasa syukurnya dengan penubuhan akademi ini kerana dapat melihat golongan kaknak-kanak dan remaja menikmati proses aktiviti latihan yang diadakannya. Bernard memulakan kerjayanya melatih sebuah sekolah Cina yang terkemuka iaitu Chong Hwa Independent High School di Kuala Lumpur dan sekarang dia dan kumpulannya  bertanggungjawab melatih lebih 10 buah sekolah tempatan dan antarabangsa sekitar Selangor, Kuala lumpur dan beberapa buah negeri lain di Malaysia.

Mereka juga aktif mengadakan Drumming Camps dimana kanak-kanak sekolah seluruh negara belajar tentang semangat kebersamaan daripada latihan gendang yang diadakan. Di akhir kem tersebut, kanak-kanak ini akan diminta untuk mempersembahkan permainan gendang. Ia selalu berlangsung selama 5 hari 4 malam. Antara aktiviti lain yang sering dijalankan oleh mereka adalah ‘Balik Kampung’. Sebuah usaha untuk membawa aktiviti ini ke Luar bandar supaya dapat dinikmati oleh masyarakat di luar bandar besar. Anak-anak Orang Asli di Batang Kali, Ulu Yam juga tidak ketinggalan.

Foto: Persembahan julung kalinya oleh Hands Percussion Academy

Melihat pencapaian yang telah dikecap oleh Hands Percussion, mereka telah membuat persembahan dalam dan di luar Malaysia. Di dalam negara, mereka telah menyertai Kaki Seni Art Festival Kuala Lumpur pada tahun 2015 dan World Gamelan Festival di Terengganu pada tahun 2016 dan 2017. Di luar Malaysia, mereka telah membuat persembahan di  Bali Spirit Festival, Indonesia dan 33rd Festival Mondial de Folklore de la ville de Saint Ghislain, Belgium.

Melihat ke depan, Bernard menyatakan bahawa hal yang paling berjaya dan membanggakan baginya adalah kumpulan muziknya terus meletakkan kepercayaan kepadanya dan sanggup untuk menjalani apa jua bersama dengannya. HANDS Percussion dijangka akan mengadakan konsert ulang tahun seawal Januari 2023 dan akan menyertai “Thunder”, Festival Gendang yang akan diadakan di Istana Budaya pada Oktober tahun ini.

Maklumat tentang Hands Percussion ini boleh didapati melalui laman Instagram Hands Percussion Malaysia dan laman web hands.com.my. Baskl mengucapkan selamat ulang tahun ke- 25  kepada Hands Percussion! Semoga maju jaya!

Anda juga boleh membaca artikel lain Goh di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites