Namun bayangannya takkan hilang! Penamatan perjalanan pahit manis Bittersweet dihebahkan melalui laman Instagram rasmi pada Okt 24, 2021.
Oleh NABILA AZLAN
Melihat sendiri hantaran Bittersweet (BTSWT) di Instagramnya tempoh hari, saya turut tergamam atas pembubaran kumpulan tersebut. Entri yang sama turut dikongsikan di laman Instagram peribadi pengasas dan gitaris utama, Hazairi Hamid (Herri), serta vokalis semasa, Hafizan Razali (Fizan).
Sudah waktunya untuk kami umumkan secara rasmi. Kami telah membuat keputusan bahawa kami tidak lagi meneruskan BTSWT. Terdapat banyak faktor untuk melihatnya, tetapi kami tidak akan menjadikannya sebagai alasan. Kita membesar, dan terus maju. Setiap orang mahukan perkara yang berbeza untuk masa depan masing masing.
Petikan entri di Instagram rasmi Bittersweet pada Okt 24, 2021
Pertama kali saya didedahkan dengan kewujudan Bittersweet sekitar tahun 2008 (ya, agak lewat), saya masih di bangku sekolah menengah. Rakan-rakan saling berkongsi lagu-lagu indie yang baharu, termasuklah Capital E yang semakin hangat dimainkan di radio tempatan. Ditubuhkan oleh Herri sendiri bersama pengasas bersama dan vokalis asal, Mohd Zabil Ikhsan (Zabil) di Ipoh, Perak pada tahun 2004, kumpulan ini mula menaiki arus perdana atau mainstream setelah lagunya, Kucing Hitam dijadikan runut bunyi KAMI The Series. Susulan tayangan siri itu yang tidak disangka membawa gelombang indie Malaysia ke pentas awam, Bittersweet turut memenangi tempat istimewa di hati para peminat baharu.
Rentasan diskografi Melayu-Inggeris kumpulan ini merakamkan gabungan bunyi britpop dan rock yang disajikan bersama sentuhan pop yeh yeh. Selepas terbitnya demo pertama, Something Much Greater dan EP, Night and Morning Tales, ia tampil dengan album pertama, Perfect Match (2006) diikuti Empire’s Transition (2011) dan album keluaran terakhir, BTSWT (2016) yang turut mengilhamkan singkatan nama BTSWT.
Mengambil inspirasi muzik dari kumpulan legenda era 90-an seperti Oasis, The Beatles dan The Stone Roses, Bittersweet turut memperjuangkan pembawaan fesyen mod seiring persembahannya yang bertenaga.
Sepanjang hampir dua dekad beraksi, Bittersweet berjaya menawan hati peminat muzik indie di serata Malaysia, juga di luar negara. Selain Zabil, ia juga pernah dianggotai oleh para pemuzik yang antaranya mesra disapa Pijie, Hafiez, Dinie, Moon, Emai, Irfan dan Jimmy. Irama Bittersweet sempat dibawa ke India, Indonesia, Jepun dan Singapura. Single terakhirnya yang keluar pada tahun lepas, Biarlah Mentari, dikatakan hendak disimpan sebagai “habuan” khas sepanjang tour Racun Dunia 2020, seterusnya merasmikan awal penyertaan Fizan. Namun, tour tersebut terpaksa ditangguhkan di ambang COVID-19, seterusnya dibatalkan.
Jatuh bangun Bittersweet telahpun diduga dengan pelbagai macam cabaran sepanjang kelangsungannya, namun tiada yang dapat menjangka betapa besarnya impak pandemik ini kepada industri seni muzik tempatan.
Mengakui noktah perjuangan Bittersweet di arena muzik tempatan, saya sempat mengajukan beberapa buah soalan kepada Herri sebelum dia mengundur diri sebagai tunggak kumpulan ini.
Jika bukan tour Racun Dunia 2020 yang mengakhiri persembahan secara langsung Bittersweet sebagai sebuah kumpulan, adakah lagi persembahan lain yang dirancang namun tidak dapat dilaksanakan?
“Selain tour Racun Dunia 2020, kami ada merancang untuk membuat persembahan di Istana Budaya bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan, tetapi ia juga dibatalkan kerana pandemik COVID-19.”
Walaupun pilu, pembubaran ini tanda kedewasaan Bittersweet. Mungkin terlalu awal untuk saya tanyakan; mungkin juga tidak, tetapi adakah sekilas cadangan untuk keluar semula di scene dengan sesuatu yang baru dalam masa akan datang? Akankah anda sendiri atau anggota lain menukar haluan atau bereksperimen dgn sesuatu yang berbeza?
“Tujuh belas tahun (merupakan masa yang) agak lama untuk sesebuah band untuk bertahan tanpa label rakaman (record label) yang besar. Boleh dikatakan, keadaan sudah berubah. Kami terpaksa akur dengan perjalanan hidup kami yang masing-masing punya anak dan keluarga yang perlu difokuskan. InsyaAllah kalau diberi rezeki dan masa, saya akan keluar dengan produk saya sendiri. Berkenaan bekas ahli yang lain, saya tidak pasti apa hala tuju mereka selepas pembubaran Bittersweet.”
Jika ada sedikitpun ruang anda untuk mengubah sesuatu di dalam kumpulan sebelum ia terpaksa dibubarkan, adakah anda akan melakukannya?
“(Bagi saya) tidak ada ruang lagi untuk putarkan balik masa. Mungkin jika kita tidak ditimpa pandemik, Bittersweet masih ada. Namun, tidak ada yang akan kekal selamanya dan saya redha dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah.”
Terima kasih, BTSWT. Selamat maju jaya diucapkan dan salam perjuangan masa hadapan buat anggota Bittersweet (2004-2021) – melodi anda pasti dirindui!
Gambar utama dari btswt.my.