Oleh MIMI SALLEH untuk LENSA SENI
Legasi Jean-Michel Basquiat, bukan hanya namanya disebut-sebut, malah karya dan inspirasi yang ditinggalkan turut dikongsi oleh para artis selepasnya. Meninggal dunia pada usia kurang empat bulan sebelum mencecah 28 tahun, pengaruh seni Basquiat sedikit sebanyak telah membentuk jati diri khalayak artis muda seantero.
Pameran maya Letter to Basquiat yang menemukan 15 orang artis dari empat buah negara, iaitu galeri Artemis Art (Malaysia), Julia Gallery (Taipei), Langgeng Art Foundation (Jogjakarta, Indonesia) dan Vinyl On Vinyl Gallery (Manila, Filipina). Andai ini pameran fizikal, sukar untuk kita menyaksikan kesemua karya. Namun, di sebalik musibah pandemik COVID-19, kita berpeluang untuk menatal satu per satu lukisan yang dipamerkan dari skrin peranti masing-masing di mana sahaja dan bila-bila masa. Memandangkan tajuk pameran ini Letter to Basquiat maka saya memilih untuk tidak terburu-buru bagi menghayati erti legasi Basquiat terhadap setiap artis yang terlibat. Saya mengambil masa tiga hari untuk membaca mengenai Basquiat dan karyanya, mengenali latar belakang para artis yang terlibat, membaca setiap surat yang disertakan (oleh artis Malaysia) dan menghayati setiap calitan warna pada kanvas. Terima kasih kepada galeri Artemis Art dan Greydea Studio yang sudi berkongsi e-katalog pameran Letter to Basquiat ini walaupun ia sudah sebulan tamat.
“Kehadapan Encik Basquiat. Kita semua sama, bukan? Mencari diri dalam kekalutan dan ketetapan. Andai saja kau dan Vincent masih di sini, syurga yang tak sempurna. Kita bukan raja mahupun nabi. Mereka mungkin akan salah tafsir dan mempergunakan kerja kita untuk melampiaskan ego mereka. Sama, tetap sama.”
Itu adalah intipati surat Ajim Juxta, atau nama sebenarnya Raja Azeem Idzham. Menarik mengenai Ajim, pada awal kariernya dia ialah seorang jurutera maka kita boleh lihat pengaruh kariernya itu pada garis-garis calitan akrilik dan struktur pada lukisannya. Merujuk surat itu, ayat akhir iaitu sama, tetap sama (same old same old), yang berkait rapat dengan akronim SAMO yang menjadi identiti grafiti Basquiat.
Selain Ajim, ada enam orang lagi artis dari Malaysia yang terlibat dalam pameran empat negara iaitu Bibichun, Caryn Koh, Haris Rashid, Rekha Menon, Shahbadi Samat dan Tajrin Faruqi. Membaca surat mereka umpama membaca helaian monolog puisi sang pemuja terhadap orang yang memberi mereka inspirasi (muse).
Bibichun di dalam suratnya menyatakan kekagumannya terhadap Basquiat, “You are popular and your works inspired many. Though visually it is not impressive but the attitude that they carry struck me. The attitude of nothing to lose, just create for the sake of wanting it to exist is aspiring.” Kenyataan tersebut adalah bisikan hati seorang yang mendapat kekuatan untuk melakar tanpa perlu ada rasa cuak pada ketidaktentuan dan ketidakyakinan orang sekeliling.
Caryn Koh pula bukan sebarangan artis. Dia adalah seorang doktor perubatan yang menemui nyala rasa dalam seni visual dan terus membuat keputusan untuk berhenti dari profesion doktor. Di dalam suratnya , Koh berkongsi mengenai salah satu temubual Basquiat mengenai tujuan dia melukis dan Basquiat menjawab, “I think I make it for myself, but ultimately for the world, you know.” Detik itu meninggalkan kesan mendalam kepada Koh.
Haris Rashid pula mengungkapkan rasa kagum akan aspirasi yang Basquiat tinggalkan sedangkan dia lahir pada tahun yang sama ikon seni itu meninggal dunia. Pengaruh Basquiat kepada Haris juga boleh dilihat pada simbol-simbol yang wujud pada setiap lukisannya.
Rekha Menon dalam suratnya mengakui dia salah seorang peminat dan melahirkan persoalan andai Basquiat masih hidup kini, mungkinkah Basquiat akan terus menghasilkan karya unik tanpa hirau pada sekatan. Tulisnya, “Would you have continued to create your unique and distinctive art with no boundaries? I believe you would have. You inspire me to not get perturbed by conjured art labels.” Bagi Rekha, sikap Basquiat itu sentiasa memberinya inspirasi untuk terus waras pada kala dirinya binggung dengan kehendak sekeliling.
Sama seperti Shahbandi Samat, di dalam suratnya dia mengaku peminat Basquiat walaupun tidak memahami lukisan abstrak. Ini berlaku selepas menonton filem berjudul Basquiat pada tahun 1996. Selepas menonton filem itu, Shahbandi berusaha untuk berfikiran bebas dan jujur ketika berkarya.
Tajrin Faruqi artis dari Kuching, Sarawak, mempunyai latar belakang akademik dalam bidang undang-undang dan kerana itu, adakala karyanya perlu dilihat dan dianalisis dari pelbagai sudut. Dia gemar menggunakan pelbagai medium dengan memasukkan simbol-simbol dan falsafah tanpa risau akan penilaian estetika di mata umum. Sama seperti Basquiat, Tajrin berkarya mengikut rentaknya sendiri.
Secara peribadi saya dapati karya lapan orang artis dari tiga galeri luar negara iaitu Julia Gallery (Taipei), Langgeng Art Foudation (Jogjakarta, Indonesia) dan Vinyl On Vinyl Gallery (Manila, Filipina) lebih berani berekspresi dengan calitan warna akrilik yang garang, campuran teks dan simbol-simbol yang lebih menampakkan pengaruh besar Basquiat dalam karya mereka. Namun, apabila kita memahami perjalanan hidup Basquiat yang lahir sebagai rakyat kulit hitam campuran Latin di Amerika, kita boleh lihat suara seni Basquiat hadir dari pengalaman dirinya sendiri, dan itu yang ditonjolkan di dalam setiap karyanya. Maka, lebih wajar saya menilai setiap artis atas nilai karya mereka secara individu tanpa membandingkan mereka dengan yang lain. Itu juga legasi Basquiat.
Terima kasih kepada Artemis Art dan Greydea Studio untuk ihsan gambar dan maklumat pameran
Mimi Salleh merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA_ASWARA.