Pilihan BASKL: 31 Jan hingga 6 Feb

Oleh AZUWAN AHMAD

Helo masyarakat Malaysia! BASKL mengharapkan anda semua berada di dalam keadaan baik-baik sahaja. Januari 2022 sudah hampir melabuhkan tirai dan masyarakat Tiong Hoa sedang siap meraikan Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai!

Walaupun cuaca tidak menentu di kawasan Lembah Klang dan beberapa tempat dalam negara sejak kebelakangan ini, itu tidak sedikit pun mengganggu kerancakan kegiatan seni dan kreatif untuk terus berjalan.

Baskl seperti biasa ingin berkongsi dengan anda 5 lagi acara seni yang sedang dan akan berlangsung. Antaranya ialah:

  • Pementasan Teater Raja Bersiong
Photo: Akmal Asyraf yang berperan sebagai Raja Bersiong.

Menurut sejarah, Raja Bersiong merupakan seorang raja kerajaan Kedah, yang mana ketika itu ia masih sebahagian daripada Kerajaan Sriwijaya. Menurut cerita, Baginda merupakan seorang yang zalim dan mengamalkan pemerintahan kuku besi. Dek kerana gemarkan santapan bercampur darah manusia sejak tukang masaknya tercampur darah dalam masakan, maka Baginda telah mendapat gelaran itu.

Revolution Stage membuat  percubaan yang berani dengan mementaskan Teater Bangsawan Raja Bersiong ini dalam skala yang kecil dan mereka namakan genre pementasan ini sebagai “Bangsawan Indie”. Penggemar teater bangsawan seharusnya sudah memahami bahawa konsep teater bangsawan ini sering dimainkan dengan skala yang besar dari segi set dan kostum. Hal ini menjadikan pementasan Raja Bersiong arahan Rahim Jo ini sangat unik dan kreatif. Ini menonjolkan lagi kemahiran lakonan pelakon serta kemantapan skil Rahim sebagai pengarah.

Bagi anda yang mahu merasakan pengalaman menonton persembahan teater dengan lebih dekat, anda boleh membeli tiket di Revolution Stage dengan harga RM35. Persembahan yang skripnya ditulis oleh Khairunazwan Rodzy ini bertempat di Studio Revolution Stage, Damansara Utama bermula jam 9 malam. Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk ke studio, anda boleh menonton dari rumah dengan harga RM25.

  • Concert In the City
Foto: Poster Concert In The City, Ipoh yang memaparkan barisan band akan akan membuat persembahan di tarikh tertentu.

Berita gembira untuk warga Ipoh dan sekitarnya! Concert In The City akan mengadakan ‘tour’ yang pertama bagi tahun ini di Bandaraya Ipoh. Terdapat 2 band yang bakal membuat persembahan konsert pada tarikh dan dua lokasi yang berbeza. 

Pada 5 Feb bertempat di Taman Kanak-Kanak, Concert Art In The City akan menampilkan 3 buah kumpulan iaitu Gatera, Jemson dan Modread. Manakala pada 6 Feb bertempat di Dataran KTM, mereka akan menampilkan Cyrus Park, Couple dan The Alif. 

Untuk pengetahuan semua, Concert in the City adalah sebuah inisiatif yang lahir dari program Art In The City oleh CENDANA yang sudah mula terlebih dahulu di Kuala Lumpur sebagai usaha mendekatkan seni dengan rakyat Malaysia. 

Tiada bayaran yang dikenakan bagi menonton persembahan konsert-konsert ini. Namun sebagai langkah keselamatan di musim pandemik ini, anda perlulah mendaftar di Pra Daftar dengan mengimbas kod yang terdapat di laman social media Concert In The city.

  • Pameran Foto oleh Serge Pagano

Alliance Francaise De Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah bagi sebuah Pameran foto bertajuk Klang River Wandering Along The Water. Pameran foto ini menampilkan karya-karya Serge Pagano yang merupakan seorang jurufoto berbangsa Perancis yang merupakan lulusan seni dan fotografi daripada Marseille dan Paris. Serge berpengalaman berkhidmat sebagai jurufoto untuk majalah ternama dan agensi media.

Karya-karya Serge banyak tertumpu pada landskap dan interaksi falasafah manusia terhadap alam sekeliling. Dia mempunyai pendekatan terhadap karyanya dari sudut perkembangan sejarah fotografi medium artistik.  Untuk pameran ini, dia berkongsi perjalanannnya menyusuri Sungai Klang untuk memahami Malaysia dengan lebih baik.

Jika anda berminat dengan karya fotografi yang berunsurkan falsafah dan estetika alam semula jadi, anda boleh ke Alliance Francaise De KL di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur pada hari Selasa sehingga Sabtu bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Kemasukan adalah percuma! Pameran ini sedang berlangsung sekarang dan akan melabuhkan tirai pada 8 Mac nanti. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman web ini.

  • Sunday Workshop – Gold Impasto Paint: Golden Wave
Golden Wave

Ini adalah berita baik bagi anda yang mahu mencuba hobi melukis dan mewarna. Le Masterpiece akan menganjurkan sebuah bengkel seni untuk orang awam pada 6 Feb di Damansara Jaya, Selangor.

Bengkel seni yang menarik ini menggunakan tagline ”Let’s create masterpieces that you will be proud to hang in your home”, di mana peserta akan dibekalkan peralatan seperti berus, warna, kain kanvas, apron serta peralatan melukis dan mewarna yang lain untuk anda cuba sendiri melukis Golden Wave seperti gambar di atas. 

Bagi mereka yang tiada latar belakang seni, anda tidak perlu risau kerana anda akan diajar oleh artis professional supaya anda berpuas hati dengan karya anda sehingga boleh digantung di dinding rumah anda.

Bagi yang berminat, anda boleh membeli tiket berharga RM220/seorang di sini atau anda boleh terus menghubungi pihak Le Masterpiece.

  • Photographic Images and Matter: Japanese Prints Of The 1970’s

The Japan Foundation Kuala Lumpur dengan Kedutaan Jepun di Malaysia sedang menganjurkan sebuah pameran seni ‘Print’ bertempat di tingkat 5 Bangunan GMBB, Kuala Lumpur bermula pada 17 Jan sehingga 27 Feb. Pameran ini dibuka kepada orang ramai 7 hari seminggu dari jam 11 pg hingga jam 6 ptg. 

Pameran ini menonjolkan transformasi seni global serta penjelajahan suasana seni fotografi di Jepun sekitar tahun 1970-an. Karya-karya yang terdapat di dalam pameran ini adalah sebenarnya hasil kerja 14 orang artis yang telah membantu bangunkan “Print Movement” ketika berada dalam era emas seni kontemporari Jepun sekitar tahun 1970. 

Bermula di Kuala Lumpur, pameran ini kemudian akan menjelajah ke Pulau Pinang dan Sabah. Kemasukan adalah percuma! Anda boleh membaca keterangan lanjut mengenai latar belakang sejarah pameran ini di sini.

Dengan perkongsian kami minggu ini, kami harap anda dapat mengisi hari- hari anda dengan aktiviti bermanfaat.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites