Pilihan BASKL: 17 Jan hingga 23 Jan

Gambar paparan adalah tapak lokasi Planting Dreams di Rimbun Dahan, Rawang Selangor. Bagi anda yang berminat, boleh terus membaca artikel ini. Gambar: Facebook - Planting Dreams: In Search of Good Gardener.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Apa khabar peminat seni tempatan! BASKL sekali lagi telah mengumpulkan beberapa acara dan program menarik yang bakal berlangsung pada minggu ini buat anda semua.

Kita masih lagi berada dalam fasa pemulihan daripada pandemik yang telah melanda dunia. Ramai yang sedang meletakkan batu asas bagi sebuah perjalanan yang baharu, ada juga yang sedang membina kerjaya atau karya selepas semangat mereka musnah dek kerana Covid-19. Namun dalam perbezaan rupa, bangsa dan budaya, kita semua mempunyai persamaan, di mana kita semua sedang sibuk mengejar masa yang telah terlewat hampir 2 tahun ini. Dalam melontarkan idea yang telah terkumpul selama bertahun terkurung, pelbagai nukilan menarik yang dapat kami kongsikan buat anda. Antara 5 program menarik yang kami ingin kongsikan minggu ini adalah:

  • Bilik Sejahtera @ KongsiKL (Jan 21-23)

Bilik Sejahtera merupakan sebuah gabungan hasil kreatif anak-anak seni tempatan daripada pelbagai latar belakang. Antara variasi seni yang ingin dipertontonkan meliputi seni halus, seni tari, muzik, penulisan, komik, teater dan macam-macam lagi. Bakal berlangsung di KongsiKL yang juga merupakan sebuah gudang lama yang diubah menjadi tapak acara yang unik dan mempunyai nilai artistik yang tersendiri. Untuk maklumat lanjut berkenaan Bilik Sejahtera anda boleh klik di sini.

  • A Tribute Concert to Stephen Sondheim @ kuAsh Theatre, TTDI (Jan 22-23)

Jika anda merupakan seorang peminat lagu bertemakan orchestra, teater atau dalam erti kata lain lagu yang berunsur dramatik, sudah tentu anda pernah mendengar nama Stephen Sondheim. Beliau yang berasal daripada Amerika Syarikat ini, merupakan antara komposer dan penulis lagu tersohor pada abad ke-21. Beliau telah memenangi pelbagai jenis anugerah sepanjang kerjaya muzik beliau. Konsert yang dibarisi oleh lebih 20 penyanyi dan pemuzik ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan semuanya sangat menjiwai serta mengagumi lagu-lagu mendiang Stephen Sondheim. Peminat alunan irama merdu Stephen Sondheim, klik di sini untuk pembelian tiket.

  • Creature Trilogy @ DPAC (Jan 21-23)

Buat peminat seni tari, anda juga bakal disajikan dengan sebuah aktiviti menarik minggu ini. Creature Trilogy merupakan sebuah persembahan tarian bertaraf tinggi oleh 3 orang yang tidak asing lagi dalam dunia tarian iaitu Raziman Sarbini, Pexstret Liu Yong Sean dan Suhaili Micheline. Mereka bakal mengasyikkan para penonton dengan kepelbagaian tarian mereka yang sudah pasti akan memukau anda semua. Para penggemar seni tari, anda boleh membeli tiket anda di sini.

  • Dead Water @ KLPAC Cloud Theatre (Jan 20-23)

Sudah pasti akan ada di antara kita peminat-peminat seni yang masih lagi khuatir dengan penjarakkan sosial dan keselamatan diri apabila keluar. Jangan khuatir, KLPAC melalui platform Cloud Theatre membawakan kepada anda Dead Water. Sebuah teater online yang boleh disaksikan melalui laman web mereka. Dead Water menceritakan liku-liku kehidupan yang celaru dari segi hubungan minda, jiwa dan dunia di luar. Anda boleh dapatkan pass melayari Dead Water di sini.

  • Planting Dreams @ Rimbun Dahan (23 Jan)

Bagi anda yang tidak mempunyai apa-apa rancangan lagi, 23 Jan merupakan hari terakhir untuk anda menghadirkan diri ke sebuah acara yang begitu unik dan menarik sekali. Ikuti perjalanan artis Shia Yih Yiing dalam penyelidikan beliau di dalam taman Rimbun Dahan yang mempunyai keluasan sebesar 14 ekar! Oleh kerana SOP daripada MKN, hanya 30 penyertaan sahaja yang dibenarkan masuk. Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk merasi sebuah pengalaman seni dalam taman. Rebut peluang untuk menikmati keindahan seni Planting Dreams di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites