Mastura Abdul Rahman tampil dengan pameran tunggal keduanya yang berlangsung di Fergana Art sehingga hujung Julai.
Oleh DANIAL FUAD
Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 1971 telah memacu para seniman untuk menghasilkan karya yang wujud identiti kebangsaan. Salah satu isi kandungan dasar tersebut adalah seni perlu berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini. Terdapat pelbagai tafsiran dalam mencari identiti kebangsaan dan tidak kurang juga reaksi bercampur baur daripada seniman tentang dasar ini.
Salah seorang seniman wanita yang mula berkarya semasa kehangatan Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini adalah Mastura Abdul Rahman yang mula masuk ke latar seni visual Malaysia sekitar pertengahan 80an. Sezaman dengan seniman seperti Ham Rabeah dan Dato’ Sharifah Fatimah Zubir, Mastura cukup terkenal dengan karya yang kuat unsur Melayu.
Walaupun telah berada dalam latar seni sebegitu lama, Mastura lebih bersahaja dalam mengejar nama dalam kerjayanya. Beliau selesa menjadi tulang belakang latar seni dengan menjadi tenaga pengajar yang kini sudah hampir 20 tahun lamanya. Namun begitu, menjadi tenaga pengajar bukanlah alasan untuk berhenti membuat karya dan kini Mastura tampil dengan pameran tunggal keduanya yang berlangsung di Fergana Art sepanjang bulan Julai.
Motif Melayu Identiti Mastura
Sudah tentu para pengunjung yang hadir ke pameran ini akan dapat merasakan aura Mastura dalam penghasilan karya. Semenjak dahulu lagi, beliau sangat rapat dengan identiti Melayu dalam karya-karyanya. Motif dalam lukisannya sentiasa mempunyai nafas Melayu di dalamnya dan menurut Mastura, “saya suka kepada bentuk-bentuk Nusantara seperti Batik, Songket, Anyaman dan lain- lain. Mungkin kerana bentuk-bentuk tersebut dapat mengingatkan/menghubungkan saya dengan masa lampau. Sejak kecil saya terdedah kepada aktiviti membuat sangkar burung secara tradisional oleh arwah datuk dan kemudiannya diambil alih oleh bapa saudara pula manakala arwah ibu pula pandai menjahit dan mengambil upah menjahit pakaian wanita.”
Jadi sangatlah sesuai apabila pameran tunggal terkininya ini diberi judul Pesan Ibu: Alam Dijaga Petua Diingat. Mastura menyatakan bahawa himpunan karya kali ini merupakan sebuah penghargaan kepada kedua-dua arwah ibu kandung dan mentuanya. Beliau menambah, “kedua-dua ibu mempunyai keistimewaan tersendiri. Mereka wanita tabah, pemurah, penyayang, arif lagi alim. Saya yakin nenek moyang saya juga begitu. Mereka memberi nasihat tentang aturan hidup yang merangkumi hubungan manusia dengan alam dan Pencipta Yang Maha Agung.”
Sebanyak 20 karya dipamerkan kali ini dan ia merangkumi jangka masa 15 tahun lamanya. Lukisan unjuran rumah kampung daripada atas ini adalah suatu perkara yang telah lama beliau usahakan semenjak tahun 1991 lagi. Mastura sering memasukkan motif alam Melayu seperti awan larat dan pucuk rebung di samping menghiasi ruang kosong dengan pelbagai subjek daripada buah-buahan, tumbuh-tumbuhan sehinggalah alatan dan juga sastera alam Melayu.
Berkarya sebagai keberadaan diri
Beliau tidak pernah lelah menghasilkan karya sebegini dan pernah menyatakan, “aku amat selesa dengan apa yang aku buat. Aku tidak perlu mengubah atau mengganti seperti orang mengganti pakaian setiap hari. Aku tidak perlu tukar apa-apa seperti suri rumah menukar langsir, alas meja, atau cadar. Catan adalah seperti suatu kepercayaan, keyakinan kepada keberadaan diriku.”
Karya Mastura boleh dikatakan sebagai sebuah kolaj di mana beliau mengukir memori dan pesanan di dalamnya. Orang Melayu juga terkenal dengan sifat berkiasnya dan dapat dilihat identiti tersebut di dalam karya Mastura. Antara contoh dalam pameran ini adalah karya Laungan Biru Resah dari Dasar Laut yang jika dilihat secara permukaan adalah lukisan ceria tentang hidupan laut. Namun karya tersebut menceritakan tentang krisis iklim yang mengancam suasana lautan.
Selain daripada pesanan, karya-karya Mastura juga merupakan diari peribadinya mencatat detik-detik istimewa dalam karyanya. Seperti dalam karya Menunggu Moyang Agung, Mastura menceritakan pengalamannya menerima lawatan moyang agongnya daripada Pulau Bawaeng di Laut Jawa ke rumahnya.
Memori ketika dijaga dan peranan sebagai penjaga
“Hubungan saya dengan Tengku Sabri dan Mad Anuar yang sememangnya mempraktikkan penghasilan karya-karya moden/kontemporari melalui disiplin tradisional menguatkan lagi kepercayaan dan minat saya, untuk menghasilkan karya-karya berbentuk kemelayuan seperti apa yang saya hasilkan sekarang,” ujar Mastura yang bersuamikan Tengku Sabri. Seorang seniman yang tidak kenal erti mengalah dalam berkarya mengikut jiwanya, beliau tidak mengikut arus kemodenan hanya untuk mendapat tempat dalam dunia seni sezaman.
Namun itulah yang menjadi kekuatan kepada Mastura yang mempunyai pelbagai peranan dalam kehidupan sehariannya. “Himpunan sejumlah 20 buah catan ini merupakan hasil dari lebih kurang 15 tahun saya bergelut di antara menjaga suami yang terselamat dari serangan angin ahmar, mengurus rumah tangga, dan mengajar di universiti. Ia umpama suatu penghormatan kepada kedua-dua ibu serta moyang yang selama ini mengilhami saya.”
Pameran Pesan Ibu: Alam Dijaga, Petua Diingat kini sedang berlangsung di Fergana Art, Publika sehingga 31 Jul ini. Galeri dibuka daripada Selasa – Ahad, 11pg – 6ptg. Maklumat lanjut berkenaan pameran boleh didapati di laman Facebook Fergana Art.
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: