Hampir dua tahun terkurung di balik sebuah pandemik, pentas seni yang suatu ketika menjadi destinasi tarikan hari minggu memercikkan semula api seni di dalam diri warga kota KL.
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Sebagai seorang warga kota Kuala Lumpur, nama Panggung Anniversari sudah pastinya dapat menjentik suatu perasaan yang indah di lubuk hati apabila kita menggamit memori hujung minggu bersama keluarga atau yang tercinta. Kita boleh terbayang seolah-olah kita berada di sana dan dikelilingi kehijauan alam di Taman Tasik Perdana.
Kita juga boleh tercetus rasa syukur dalam diri dengan betapa indahnya ibu kota kita.
“Banyak kenangan pahit manis orang Kuala Lumpur di Panggung Anniversari” – Inilah emosi yang dikongsikan oleh Fauzi Ahmad, Ketua Unit Kebudayaan dan Kesenian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada sesi media “Konsert Rockestra Nostalgia” yang bakal diadakan pada Okt 30 nanti.
Fauzi dalam ucapannnya pada sesi media “Konsert Rockestra Nostalgia” telah berkongsi bahawa konsert dua jam ini adalah percuma untuk penonton. “Walapun terdapat perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh DBKL, namun konsert ini merupakan antara tanda terima kasih DBKL kepada warga kota yang tidak pernah putus membantu kami dalam menjaga kebersihan dan keceriaan Kuala Lumpur,” katanya.
“Konsert Rockestra Nostalgia” ini akan mempersembahkan barisan seniman-seniman lama atau “otai” rock tanah air seperti Rahim Maarof, Man Bai, Rahmad (Mega), Ruhil Amani, Ito (Blues Gang) dan Asheed (Def Gab C). Kesemua mereka turut hadir dalam sesi media yang telah diadakan di Bangunan Biro Pelancongan DBKL.
Walapun hujan membasahi bumi hampir sepanjang hari pada sesi media itu, namun senyuman yang terukir di wajah setiap mereka yang hadir terserlah dan tidak dapat disorokkan. Man Bai, seorang lagenda rock tanah air, turut mengaku bahawa konsert ini adalah suatu peluang untuk melepaskan geram selepas menjalani PKP di rumah masing-masing. Sahabatnya Rahmad (Mega) pula menambah: “Hampir dua tahun tidak ada persembahan disebabkan oleh Covid-19.”
Fauzi juga telah menceritakan serba sedikit sejarah Panggung Anniversari yang dibina pada tahun 1967 ini. Suatu ketika dahulu, ia pernah menjadi antara pentas seni yang paling unggul di Kuala Lumpur pada era 1970-an sehingga 1980-an. Kini, panggung yang berusia 54 tahun ini telah diberi nafas baharu.
Sistem bunyi yang lebih canggih, sistem lampu yang lebih cerah dan buat yang sudah biasa berkunjung ke Panggung Anniversari sudah tentunya akan tahu bahawa ia merupakan sebuah panggung terbuka dan tidak berteduh. “Panggung Anniversari dah ada bumbung,” secara santai dikongsikan oleh Fauzi. DBKL telah menggunakan ruang dan peluang setahun dua ini untuk membaiki apa yang ada dan menggantikan mana yang rosak. Penonton yang hadir kini dapat menonton artis-artis kegemaran mereka dalam keadaan panggung yang sangat selesa dan cantik.
“Pada tahun 2017, DBKL telah mengadakan Konsert Rockestra Lagenda. Kali ini, Konsert Rockestra Nostalgia merupakan sebuah penyambungan kepada konsert pada 2017 itu” kata Fauzi. “DBKL ingin membantu menghidupkan semula ekosistem seni dan budaya. Dalam konsert ini DBKL juga akan membariskan residen artis DBKL. Kita mahukan kesinambungan kepada usaha kita ini. In shaa Allah kita mahu mengadakan konsert lagenda seperti ini pada setiap tahun,” katanya.
Dalam sesi media ini, BASKL juga telah berpeluang menemu ramah pengarah muzik DBKL, Isabella Pek. “Apa yang menjadi penarik kepada Konsert Rockestra Nostalgia ini adalah 45 orang pemuzik yang akan mengiringi seniman-seniman ini. Saya boleh bariskan dalam lima atau enam orang pemuzik sahaja tetapi hasil muzik dan bunyinya tidak akan sama.”
Jika kita imbas kembali kali terakhir kita disajikan dengan alunan merdu lagu lagu hits tanah air yang popular dibawakan oleh mereka seperti Bayangan Gurauan dan Istana Menanti, ada kemungkinan kenangan itu samar samar di minda. Ini kerana memang telah agak lama pentas dunia seni kita ditutup sepenuhnya.
Tiada sebarang pementasan dibenarkan, tiada sebarang penggambaran dibenarkan, namun yang paling memberi cebisan kesedihan di hati adalah apabila kita melihat rakan-rakan seni kita dibelenggu masalah demi masalah.
Daripada kewangan hingga kekeluargaan, dari sahabat kita yang berada di utara Arau hingga sahabat di selatan Pasir Gudang, amat ramai yang terkesan. Suka atau tidak, kesemua mereka adalah keluarga kita, kita semua rakyat Malaysia.
Bak kata pepatah Melayu, “cubit paha kiri, paha kanan terasanya jua” dan hampir semua dari kita boleh mengaku bahawa tahun 2020, mungkin antara tahun yang paling tidak dapat dilupakan. Kini, kesemua kita Keluarga Malaysia merupakan “survivors”. Kita adalah “survivors” kerana kita telah berjaya melepasi fasa keempat dalam Pelan Pemulihan Negara kita.
Di dalam lagu berjudul We Are The World yang pernah dipopularkan oleh USA For Africa suatu ketika dahulu, “It’s time to lend a hand to life, the greatest gift of all.” Inilah masanya kita memberi sokongan kepada industri kreatif tanah air kerana kita tahu betapa sakitnya tahun 2020. Apatah lagi kepada industri kreatif yang merupakan antara industri yang paling besar terkesan.
Kini mereka kembali, di sebuah panggung lagenda yang telah diperbaharui, diiringi 45 seniman muzik terbaik di Kuala Lumpur, membawakan khas kepada anda barisan artis artis menggamit nostalgia dan yang paling penting buat semua warga ibu kota, dibawakan secara percuma oleh DBKL. Kita hanya perlu memberi sokongan.
Namun jangan lupa patuh kepada segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Walaupun Panggung Anniversari mampu menampung penonton seramai lebih 1,500 orang namun atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN, tempat yang boleh dibuka adalah terhad.
Segera daftar di pautan ini dan dapatkan maklumat lanjut.
Jom ke Konsert Rockestra Nostalgia di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur pada Okt 30 ini jam 9 malam. Marilah kita sama sama menyokong industri seni dan budaya negara kita, Malaysia.