Pasar Seni Genta meraikan pedagang seni di Shah Alam

Pasar Seni Genta meraikan hampir 30 pedagang seni. Pelbagai aktiviti juga akan dijalankan pada 26 Feb 2022.

Oleh DANIAL FUAD

Kehadiran wabak COVID-19 pada awal 2020 dahulu telah memberikan impak yang sangat besar terhadap kehidupan seharian kita. Ramai yang terkesan terutamanya para peniaga kerana terpaksa menutup perniagaan mereka ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Setelah dua tahun wabak ini menghantui kita, keadaan makin terkawal dengan adanya vaksin dan ekonomi boleh berfungsi semula.

Kini, pelbagai aktiviti ekonomi diadakan seakan membalas dendam selama dua tahun yang sepi ini. Ekonomi kreatif juga semakin beransur pulih dengan adanya pelbagai acara seperti pesta buku, gig, pameran seni dan pesta makanan yang berlangsung ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Galeri Shah Alam dengan kerjasama Rumah Seni Selangor (RUsSEL) juga tidak ketinggalan mengadakan acara mereka sendiri yang dinamakan Pasar Seni Genta.

Salah sebuah penerbit buku yang menyertai ARToFest x Genta Kecil.

Pasar Seni Genta ini terhasil daripada idea Alina Abdullah yang ketika itu merupakan salah seorang penggerak RUsSEL pada tahun 2019. Genta membawa maksud loceng dan Alina yang kini merupakan pengarah bagi Galeri Shah Alam berkata, “Genta dipilih kerana pesta keramaian seni ini akan bergenta meraikan acara seni rupa, seni muzik, sastera, jualan kraf dan produk mandiri, aktiviti bengkel seni dan pelbagai lagi aktiviti untuk orang dewasa mahupun kanak-kanak.”

Acara pertama mereka telah berlangsung pada Ogos 2019 dengan kerjasama Zine x DIY Fest dan disertai oleh 37 buah vendor yang terdiri daripada seniman, penulis, pelukis dan yang seangkatan dengannya.

Menurut Alina, “Pasar Seni Genta membawa visi untuk menjana rangkaian di antara kumpulan seni atau komuniti setempat dengan komuniti luar. Jadi bagi Pasar Genta yang kedua, RUsSEL telah bekerjasama dengan Arto Movement dan juga Lintas Batas.” Acara ini telah berlangsung sewaktu jangkitan COVID-19 makin meningkat di negara kita iaitu pada Feb 2020. Pasar Genta kali ini diadakan dengan skala lebih kecil dengan nama ARToFest x Genta Kecil.

Untuk tahun 2022, Pasar Seni Genta kembali bagi meraikan anak seni tempatan. “Pasar Seni Genta kali ini dianjurkan oleh Galeri Shah Alam sebagai penganjur utama bagi lokasi dan RUsSEL pula berfungsi sebagai pengisi aktiviti,” ujar M Farez Karim (atau lebih dikenali sebagai Farez) di mana beliau merupakan wakil daripada RUsSEL untuk acara ini.

Hampir 30 peniaga akan terlibat bersama untuk siri Pasar Seni Genta kali ini. Antara seniman dan kraf yang terlibat adalah Uneh Raja Pensel Warna, EBRU Art Malaysia, Seni Kraf Paksu dan Crochet Cuties. Selain itu, terdapat juga pedagang buku seperti The Bibliophile, Bukuku Press, Jurugambardotcom Media, Katapilar Books dan Tukang Puisi. “Kami mendapat sambutan hangat ketika panggilan terbuka bagi pedagang dibuat sehingga kami terpaksa mengehadkan setiap jenis pedagang kepada 10 sahaja,” ujar Farez.

Egy Azira dan Dr. Loh Siew Yim sedang berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang penyakit kanser pada ARToFest x Genta Kecil.

Selain daripada aktiviti penjualan, terdapat juga aktiviti seperti ‘open mic’ di mana panggilan terbuka juga diadakan oleh seorang lagi wakil RUsSEL iaitu Zhafirin Zulkifli. Tidak terhad kepada pemuzik sahaja, pemuisi juga boleh mempamerkan bakat mereka pada acara tersebut.

Sebanyak lima pemuisi yang akan membuat persembahan sewaktu acara berlangsung termasuk Aliff Awan, Syahirah Wasabi, Leia Hassan, Jack Malik dan Mosyuki Borhan. Kumpulan kugiran juga akan memeriahkan acara pada hari tersebut dengan band seperti Motherwit, FUAD, MIM, RUNS dan juga Wani Ardy and the Guitar Polygamy. Persembahan akan dijalankan sepanjang hari bermula dari jam 12:30tgh sehinggalah persembahan terakhir pada jam 9:20mlm.

Wany Ardy and the Guitar Polygamy.

Pasar Seni Genta akan berlangsung pada 26 Feb yang akan bermula pada jam 9pg hingga 10mlm di Laman Budaya, Tasik Shah Alam, Selangor. Sebarang maklumat lanjut dan kemaskini boleh didapati di Facebook, Instagram ataupun Twitter Galeri Shah Alam.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites