Pandangan segar Hijjas Kasturi terhadap Rimbun Dahan

Lebih daripada 300 karya dilukis oleh Hijjas Kasturi sejak dari Perintah Kawalan Pergerakkan pertama.

Oleh DANIAL FUAD

Nama Hijjas Kasturi sangat rapat dengan pembangunan Malaysia, seorang arkitek yang telah menaikkan bangunan ikonik seperti Menara Maybank, Menara Tabung Haji dan juga Menara Telekom. Lahir di Singapura pada tahun 1936, perjalanan hidup beliau amat menarik dan mencabar, di mana beliau menyaksikan penjajahan Jepun di Tanah Melayu serta pergerakkan kemerdekaan di Sumatra, di mana keluarganya berlindung selepas itu.

Kerjaya seni bina beliau bermula sebagai seorang pelukis pelan di Singapore Housing Trust sebelum menyambung pelajarannya di Adelaide dan Melbourne, Australia bagi Ijazah Sarjana Seni Bina dan juga Diploma dalam Perancangan Bandar dan Wilayah.

Hijjas bersama isterinya Angela merupakan pencetus bagi program residensi di Rimbun Dahan, yang merupakan kediaman mereka pada tahun 1994. Tanah sebesar 14 ekar di Kuang ini, telah mereka bengunkan bertujuan untuk menjadikan pusat pembangunan seni tradisional dan sezaman. Dikelilingi dengan pelbagai jenis tumbuhan dan taman herba, Rimbun Dahan mempunyai enam studio dengan tempat kediaman sendiri, sebuah studio tarian, pejabat dan perpustakaan serta galeri bawah tanah yang direka sendiri oleh Hijjas.

Sejak daripada penubuhannya, program residensi Rimbun Dahan telah menerima ratusan seniman visual, penari, koreografer, penulis dan pengurus seni dalam dan juga luar negara sebagai seniman residensi mereka. Ketika keadaan pandemik meruncing di negara ini, program residensi Rimbun Dahan berhenti menerima pemohon baru namun studionya tidaklah sunyi kerana terdapat seorang seniman residensi yang bekerja keras menghasilkan karya iaitu Hijjas Kasturi sendiri.

Perintah Kawalan Pergerakkan & 300 karya

Ramai orang mencari pelbagai cara untuk meluangkan masa ketika Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) diumumkan oleh pihak kerajaan pada Mac 2020. Begitu juga Hijjas yang sibuk meluangkan masa di kala pandemik di studio Rimbun Dahan dan beliau sangatlah prolifik sehingga berjaya menyiapkan lebih daripada 300 buah lukisan. Melukis ini bukanlah sesuatu yang baru buat beliau kerana kerjaya sebagai arkitek banyak menyediakan lukisan tetapi lebih kepada kehendak pelanggan.

“Seniman lebih bebas dalam pemikiran mereka. Mereka sering bereksperimen dengan pelbagai ruang dan cuba untuk mencerminkan kebebasan itu dalam karya mereka,” kata Hijjas dalam bukunya Concrete Metal Glass.

Daripada 300 buah lukisan yang disiapkan oleh Hijjas, Beverly Yong dengan kerjasama Angelas Hijjas dan Bilqis Hijjas telah memilih lebih kurang 75 buah karya untuk dipamerkan dengan tajuk Renewal: Paintings by Hijjas Kasturi. Melalui pemilihan ini, mereka telah menunjukkan betapa luas julat Hijjas dalam berkarya. Terdapat lukisan figuratif seperti Indonesian Workers at Rimbun Dahan, lukisan tumbuh-tumbuhan sekitar Rimbun Dahan seperti Rimbun Series – Biji Kapor dan lukisan mujarad yang berbagai gaya seperti Puncak 1, Canting 4 dan juga Corang-Caring 2.

Pokok dan tumbuhan sebagai inspirasi utama

Rimbun Dahan sarat dengan pokok dan tumbuhan herba atas ikhtiar Angelas untuk menanam pelbagai jenis pokok sebagai usaha pemuliharaan yang bermula sejak dari penubuhan Rimbun Dahan itu sendiri. Mungkin sebelum ini akibat daripada kesibukkan kerja, Hijjas kurang menghayati taman-taman di rumahnya. Namun begitu, kita dapat lihat dalam karya-karyanya kali ini, beliau amat terkesan dengan keadaan sekelilingnya kerana kebanyakkan subjek utama beliau merupakan permandangan sekitar Rimbun Dahan.

Selain itu, lokasi studio kerjanya berhadapan dengan karya arca besi Multhalib Musa, 60 Turns. Hijjas kelihatan terkesan dengan keadaan ini, di mana beliau mencipta dua karya berskala sederhana (61 x 122cm) yang berkisarkan arca besi itu; yang dinamakan After Multhalib’s 60 Turns. Beliau juga mencipta Multhalib Musa’s Maquette for In Bloom atas sebab minat dengan rupa mujarad arca Multhalib.

“Karya tersebut bersifat geometrik dan rumit dan saya mahu mengambarkan rupa dan teksur tersebut dalam bentuk mujarad,” ujar Hijjas.

Hijjas juga merupakan seorang pengumpul karya seni yang sohor di Malaysia dan tentulah beliau telah berhadapan dengan pelbagai jenis karya. Kita juga dapat melihat sedikit sebanyak pengaruh seniman-seniman lain dalam karya yang dihasilkan oleh Hijjas untuk pameran ini. Sebagai contoh, wujudnya pengaruh Latiff Mohiddin dalam siri Puncak beliau dalam pengunaan rupanya. Manakala pengaruh Frank Stella dapat dilihat pula dalam pengunaan warna bagi siri Canting beliau, malahan terdapat sebuah lukisan bertajuk After Stella sebagai sebuah penghargaan terhadap seniman tersebut.

Usia bukanlah penghalang bagi melakukan sesuatu kerana Hijjas mampu melakukan pameran tunggal pertamanya pada umur 86 tahun!

Pameran Renewal: Paintings by Hijjas Kasturi berlangsung sehingga Ahad, 27 Mac di Rimbun Dahan, Kuang dan dibuka dari jam 10pg – 6ptg. Pengunjung haruslah mendaftar sebelum menghadirkan diri ke pameran tersebut di sini atas tujuan pematuhan SOP.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites